Lebih daripada sekadar merawat pesakit

Saya pernah mengalami pengalaman pahit apabila dimasukkan ke sebuah hospital daerah di Johor ketika berusia 5 tahun. Hiba rasanya hati apabila terpaksa berpisah dengan ibu yang sentiasa mengambil berat dengan anak lelakinya yang nakal ini.

Saya dinasihatkan supaya berpuasa selama 3 hari (NBM) sambil dibekalkan air melalui ‘IV drip’ disebabkan radang usus akibat kenakalan sendiri. Namun layanan yang saya terima daripada kakitangan hospital adalah baik.

Pada hari yang ke 4, saya didatangi oleh seorang doktor muda yang murah senyuman. Bukan sahaja dia membawa berita baik bahawa saya boleh mula makan dan minum secara berperngkat, bahkan dia telah menyuapkan beberapa sudu air ‘milo’ ke dalam mulut saya yang sangat kering.

Subhanallah, Alhamdulillah, nikmatnya dapat meminum air setelah 3 hari berpuasa. Apatah lagi disuapkan oleh seorang doktor muda itu sendiri. Sebaik sahaja keluar dari hospital, saya memberitahu abah dan emak bahawa saya ingin menjadi doktor apabila dewasa kelak dengan hasrat untuk merawat dan menggembirakan para pesakit…..

(Entah siapa nama dan di mana doktor yang sangat baik itu agaknya? Yang pasti saya meyakini bahawa pahalanya sangat banyak kerana dia telah berjaya membentuk laluan hidup saya dengan izinNya).

Setelah 2 dekad bekerjaya di bidang yang mulia ini, saya tidak pernah sekali pun merasa kesal atau menyesal dengan memilih kerjaya yang memerlukan ketabahan dan pengorbanan yang berpanjangan. Bahkan saya dapati bahawa laluan kerjaya yang
panjang ini memberikan banyak peluang untuk memberatkan timbangan mizan di akhirat kelak melalui :

1-Merawat pesakit, masyarakat, juga untuk ahli keluarga sendiri
2-Mendidik para penuntut perubatan dan sains kesihatan
3-Melatih pengamal perubatan muda (juniors)
4-Menghasilkan kajian untuk kegunaan masyarakat dan negara.
5-Memberikan khidmat sosial dan kemanusiaan di peringkat lokal, regional dan internasional.
5-Memberi nasihat, pandangan dan kritikan terhadap polisi dan dasar pentadbiran kepada pembuat polisi.

Dr Nazri Kahar Lebih daripada sekadar merawat pesakit....

Apa yang saya harapkan daripada para pengamal perubatan dan sains kesihatan bersekutu yang memilih kerjaya ini agar berusaha melakukan penambahbaikan terhadap diri sendiri, meningkatkan etika dan profesionalisma dalam bekerjaya serta bersedia untuk berkorban untuk masyarakat dan negara yang memerlukan perkhidmatan dan kemahiran anda.

 

Oleh Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin

Leave a Comment