Masalah Kekeringan Mata di Bulan Ramadan

MASALAH KEKERINGAN MATA DI BULAN RAMADHA

Mengekalkan hidrasi yang baik ketika berpuasa di bulan Ramadan merupakan satu perkara yang penting untuk terus kekal bertenaga. Terutama sekali, individu-individu yang mengalami masalah mata kering boleh menjadi lebih serius akibat daripada masalah dehidrasi ini. Secara fizikal, kelembapan mata dapat dipelihara melalui ‘tear film’ atau filem air mata yang terhasil secara fisiologi.

1. Struktur filem air mata adalah terdiri daripada 3 lapisan, iaitu lapisan lemak (terluar), lapisan berair (tengah) dan lapisan musin (terdalam). Selain daripada mengekalkan kelembapan mata, ia juga bertindak sebagai satu lapisan perlindungan daripada bendasing dan kuman yang boleh menyebabkan permukaan kornea terhakis.

2. Golongan utama pesakit yang mengalami masalah mata kering ini adalah di kalangan individu yang berusia lebih dari 50 tahun ke atas, di mana penghasilan air mata dari kelenjar air mata berkurangan. Selain itu, individu-individu yang mengalami masalah penyakit autoimun seperti Sjogren’s Syndrome, Rheumatoid Arthritis, Lupus Scleroderma dan Thyroid Eye Disease boleh mengalami masalah mata yang sama.

3. Golongan wanita yang mengambil rawatan hormon bagi mengawal kitaran darah haid atau merancang kehamilan juga berisiko untuk mengalami masalah kekeringan mata. Antara ubat-ubatan lain yang berisiko untuk mengalami masalah ini adalah seperti ubat antihistamin, ubat tekanan darah tinggi, ubat antidepressant dan ubat penyakit Parkinson.

4. Masalah kekeringan mata ini boleh dicegah dan dirawat dengan mengekalkan kelembapan kornea mata melalui pengambilan air minuman harian yang mencukupi. Tambahan lagi, ubat titis air mata juga yang boleh didapati daripada farmasi-farmasi boleh digunakan untuk merawat dan melembabkan kembali mata, tanpa membatalkan puasa.

5. Hal ini berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa kebangsaan 2016, bahawa memasukkan ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa kerana mata tidak termasuk dalam kategori ruang yang sedia terbuka, walaupun dapat merasakan kesan ubat di dalam tekak kerana ia tidaklah mengenyangkan tetapi sebagai keperluan untuk merawat.

6. Di samping itu, elakkan diri dari merokok atau berada hampir dengan orang yang merokok. Hal ini kerana asap rokok juga boleh memecahkan lapisan lemak pada filem air mata dan mengurangkan integritinya. Jadi, bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah bersama-sama kita mengambil peluang ini untuk berhenti merokok yang mana mudaratnya adalah lebih daripada kebaikannya.

Dr Muhammad Zakwan Bin Ilias
Pegawai Perubatan Oftalmologi
Pengerusi I-Medik Negeri Sembilan

Leave a Comment