MENU

Comments (0) Mesej, Utama

Mendidik Masyarakat Menghargai Ubat

Isu pembaziran ubat hospital dan klinik kerajaan kini semakin hangat diperkatakan dan dikongsi di dada-dada akhbar dan media sosial. Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Berita Harian pada 17 Januari yang lalu, Rakyat Malaysia dikesan membazirkan ubatan bernilai puluhan juta ringgit setiap tahun. Hampir setiap hari pegawai farmasi di fasiliti kesihatan kerajaan menerima ubat-ubatan yang dipulangkan daripada pesakit dalam kuantiti dan jenis yang berbeza. Umum mengetahui bahawa ubat-ubatan merupakan elemen penting dalam penjagaan dan rawatan kesihatan. Namun persoalannya, mengapakah hal sedemikian berlaku dan apakah langkah terbaik yang boleh dilaksanakan dalam menangani isu kritikal ini?

Di Malaysia, menurut Dr Mohamed Azmi Hassali, Pakar Penyelidik Farmasi Universiti Sains Malaysia, ubat-ubatan dibekalkan secara percuma kepada pesakit di mana mereka hanya perlu membayar RM1  untuk rawatan pesakit luar di klinik-klinik kerajaan atau hospital kerajaan. Dianggarkan nilai ubat yang dibekalkan bagi penyakit akut atau ringan adalah antara RM5 hingga RM40 seminggu. Bagi rawatan klinik pakar atau penyakit kronik, pesakit hanya perlu membayar RM5 dengan kos ubat-ubatan mencecah RM400 sebulan bergantung kepada tahap rawatan dan jenis ubat yang dibekalkan.

Sumber: Google images

Menurut Kaji Selidik Kebangsaan Mengenai Penggunaan Ubat-ubatan (NSUM) oleh Pengguna Malaysia 2015 terhadap 3081 responden, didapati 73% daripada mereka tidak mematuhi arahan pengambilan ubat sepanjang tahun 2015 dan 30% daripadanya adalah mereka yang mengambil ubat-ubatan untuk penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Tambahan, berdasarkan temubual ketika sesi kaunseling yang dijalankan oleh pegawai farmasi untuk penilaian kepatuhan atau komplians terhadap ubat-ubatan, kebanyakan pesakit gagal untuk mematuhi arahan yang diberikan. Terdapat pesakit yang mengurangkan kekerapan dan kuantiti dos ubat yang telah ditentukan oleh doktor (tidak mengikut preskripsi), tidak mengambil ubat apabila berasa sihat, tidak membawa ubat apabila keluar melancong dan faktor lupa yang seringkali dijadikan alasan.

Antara sebab lain yang menyebabkan lambakan ubat di rumah adalah kerana persepsi masyarakat yang percaya bahawa ubat-ubatan yang mereka ambil untuk jangka masa yang panjang akan menyebabkan komplikasi lain pada tubuh. Ini hanyalah mitos sedangkan hakikatnya, penyakit kronik yang tidak terkawal itu sendiri akan mencetuskan pelbagai komplikasi lain yang tidak diigini. Kesan sampingan yang dialami daripada ubatan juga menjadi penyebab sesetengah pesakit memberhentikan rawatan dan tidak mengambil ubat. Justeru, adalah sangat penting untuk para pengamal perubatan menjelaskan kepada pesakit mengenai perkara ini untuk pencerahan mereka.

Lambakan ubat sebenarnya boleh diatasi dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya antara pesakit dan pengamal perubatan. Di Kementerian Kesihatan, pelbagai program dilaksanakan bagi tujuan tersebut antaranya Program Pemulangan Ubat, ceramah, dialog dan pameran berkenaan kenali ubat anda. Melalui Program Pemulangan Ubat, pesakit boleh memulangkan semula ubat yang berlebihan sama ada disebabkan oleh kesan sampingan ubat, pertukaran rawatan atau kematian. Pesakit harus peka dan peduli terhadap ubat-ubatan yang diambil sepanjang rawatan. Program Kenali Ubat pula memberi ruang kepada masyarakat agar ubat yang diambil digunakan secara rasional melalui konsep amalan 5B iaitu pengguna, ubat, dos, cara pengambilan dan masa pengambilan yang betul.

Selain itu, polisi penukaran balik ubat-ubatan setelah habis digunakan seperti ubat sedut, ubat sembur hidung dan insulin juga diimplementasi di fasiliti kesihatan kerajaan bagi memastikan pesakit menggunakan ubat secara berkualiti dan patuh pada rawatan yang disarankan. Melalui polisi ini, pesakit hanya akan dibekalkan ubat yang baru apabila pesakit memulangkan semula vial, kanister atau pen ubat yang kosong. Terdapat juga khidmat kaunseling dan nasihat oleh pegawai farmasi kepada pesakit yang memulakan ubat baru atau ubat susulan untuk memberi input mengenai ubat-ubatan yang diambil agar tidak berlaku kekeliruan dan menilai semula kefahaman dan kepatuhan pada rawatan.

Akhirnya, kata kunci kepada isu ini adalah kesedaran daripada semua pihak untuk sama-sama menggembleng tenaga mengelakkan ubat dari dibazirkan. Seharusnya, setiap dari kita mengambil peduli kos rawatan yang ditanggung secara bersubsidi oleh hospital dan klinik kerajaan. Menyedari hakikat bahawa nikmat sihat itu satu anugerah yang tidak ternilai, maka  sepatutnya ujian kesakitan itu menjadikan kita seorang insan yang lebih menghargai terutamanya pada nilai ubat itu sendiri sebagai ikhtiar kepada kesembuhan seseorang. Sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan negara ini sifar pembaziran ubat dengan kualiti dan cara hidup yang sihat.

 

Nur Fauziana Binti Abu Bakar
Pegawai Farmasi UF44
Klinik Kesihatan Alor Janggus
Alor Setar Kedah.

Leave a Reply