IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Mengapa anak saya selalu batuk?

Batuk adalah cara badan kita melindungi salur pernafasan, dan mengeluarkan kahak, debu dan kotoran dari salur pernafasan.

Batuk adalah sebenarnya satu tindak balas yang terhasil apabila ada benda asing yang cuba memasuki saluran pernafasan kita sama ada kahak atau makanan. Ia adalah satu cara pertahanan badan kita untuk mengelak daripada paru-paru dicemari dengan benda asing atau mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat yang boleh membawa kepada masalah pernafasan atau jangkitan.

Batuk dengan sendirinya tidak berbahaya, tetapi puncanya perlu dikenalpasti. Jadi batuk tidak semestinya tidak elok dan perlu dirawat. Tanpa batuk, kemungkinan jangkitan paru-paru akan menjadi lebih berleluasa.

 

 

Antara punca batuk dalam kanak-kanak adalah jangkitan kuman di hidung, tekak dan paru-paru, penyakit lelah (bronchial asthma) atau hingus yang menitis di belakang hidung (postnasal drip)

Masalah jangkitan virus yang menyebabkan batuk, selesema dan demam sering berlaku kepada bayi antara 6 bulan hingga 2 tahun.

Ini kerana sistem pertahanan badan (immune-system) mereka masih belum matang, lalu menyebabkan bayi kecil lebih mudah menghidapi jangkitan salur pernafasan. Apabila kanak-kanak membesar dan sistem ketahanan badan menjadi matang, kadar jangkitan virus biasanya berkurangan.

Badan kita juga akan melawan jangkitan tersebut dan beransur pulih. Jangkitan virus biasanya tidak memerlukan rawatan antibiotik. Ubat demam, iaitu Paracetamol, boleh diberikan sekiranya kanak-kanak demam. Ubat batuk, selesema dan ubat cair kahak tidak sesuai digunakan pada kanak-kanak kecil, terutama di bawah umur dua tahun. Ubat ini, yang dipanggil ‘antihistamine’ boleh menyebabkan kesan buruk yang berbahaya, termasuk masalah pernafasan, kanak-kanak terlalu mengantuk, dan sawan.

Puan harus membawa anak SEGERA untuk pemeriksaan doktor sekiranya terdapat masalah seperti:

• Demam tinggi
• Kurang minum / muntah berterusan
• Kurang aktif
• Pernafasan lebih laju dari biasa, atau susah nafas
• Batuk berterusan lebih seminggu
• Ibu bapa berasa risau tentang kesihatan anak

Kenapa anak saya kerap batuk  pada waktu malam dan kurang pada masa siang? 

Terdapat 2 kemungkinan:

  • Asthma

Ini disebabkan oleh perubahan suhu dari siang ke malam (menjadi lebih sejuk) dan perubahan ini menyebabkan serangan ‘asthma’ yang dizahirkan dalam bentuk batuk. Apabila serangan ‘asthma’ berlaku, otot-otot saluran pernafasan akan mengembang dan radang terhadap saluran tersebut akan terjadi. Ini akan menghasilkan kahak. Kesannya kepada pesakit adalah kesesakan nafas dan batuk. Tahap keseriusan serangan adalah berbeza-beza.

Oleh itu untuk rawatan serangan ‘asthma’ ini jika serius dan teruk di mana pesakit menjadi sesak nafas, bernafas laju sehingga nampak letih maka pesakit perlu di bawa segera berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan segera yang antaranya adalah ‘nebulisation’ ataupun dipanggil rawatan ‘gas’.

Jika pesakit tersebut hanya batuk-batuk tetapi masih boleh tidur dan selesa, pesakit masih perlu mendapatkan rawatan tetapi tidaklah perlu segera dan rawatannya boleh diberi di rumah dalam bentuk ‘inhaler’. Bagaimanapun pesakit masih perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengesahkan penyakitnya, mendapatkan ubat ‘inhaler’ dan untuk diberi tunjuk ajar cara penggunaan ‘inhaler’.

 

A child on a Nebuliser

 

a child using a Metered-Dose-Inhaler ( MDI ) with a spacer

  • Post-Nasal Drip

Ini berlaku apabila anak mengalami jangkitan selesema, maka terhasil hingus di dalam rongga hidung.

Semasa tidur pada waktu malam, anak akan berada di dalam keadaan terlentang dan disebabkan graviti, hingus tersebut akan mengalir ke belakang kerongkong dan cuba untuk memasuki saluran pernafasan. Ini akan mengakibatkan refleks batuk seperti yang diterangkan pada perenggan pertama.

Untuk rawatan, ada beberapa jenis ubat yang boleh diberi yang boleh sama ada mengeringkan hingus tersebut atau membersihkan rongga hidung dari hingus. Tetapi ubat-ubat ini sama sekali tidak akan merawat jangkitan selsema tersebut, ia hanya melegakan masalah hidung tersumbat dan batuk. Jangkitan virus selesema biasanya akan hilang sendiri selepas 3-5 hari tetapi kesan jangkitan selesema boleh berlarutan sehingga 1-2 minggu.

Semoga dengan maklumat ini, para ibu bapa lebih memahami dan peka akan tahap kesihatan anak-anak. Allahua’lam.

Oleh:

Dr. Noor Zaimie Mior Muhammad Ariffin

i-Medik Perak

Leave a Reply