MENU

Comments (0) Kolumnis, Mesej, Utama

MERUNGKAI MISTERI KEMATIAN

Autopsi. Bedah siasat. Curi organ. Kalimah yang kerapkali dikaitkan dengan perkhidmatan forensik. Bidang perubatan forensik memang selalu dimomokkan dengan fenomena-fenomena yang tidak enak didengar. Seringkali juga dikaitkan dengan kejadian mistik dan aneh.

Bagi orang kebanyakan, perbincangan mengenai mati ibarat satu pantang nenek moyang. Seboleh-bolehnya tak mahu disebut langsung. Hakikatnya, kematian merupakan satu perkara rutin, dan bilangannya semakin meningkat seiring dengan peningkatan populasi setempat. Dengan peralihan zaman, pengurusan kematian juga terevolusi membentuk satu bidang yang memerlukan satu sistem yang terancang.

Jabatan forensik, atau dulunya lebih dikenali dengan panggilan rumah mayat, diwujudkan untuk mengurus proses keluar masuk mayat-mayat di hospital. Bagi kematian dalam hospital, biasanya mayat akan terus diserahkan kepada waris, kecuali jika melibatkan isu-isu sensitif. Lain pula halnya jika mayat itu dibawa masuk oleh polis.

Kes mediko legal melibatkan soal undang-undang dan penyiasatan polis, yang mana kebiasaannya memang memerlukan bedah siasat. Perlu ditekankan bahawa pihak hospital TIDAK BERHAK untuk melakukan bedah siasat tanpa kebenaran waris, kecuali dengan arahan polis atau majistret. Sekiranya arahan dikeluarkan, maka bedah siasat perlulah diteruskan, kecuali dengan arahan polis untuk membatalkannya. Soalnya disini, kenapa perlu dibedah siasat?

for

Di forensik, kami dilatih untuk berfikir diluar kotak. Sebagai contoh, dalam satu kemalangan kereta yang melibatkan kematian pemandunya. Antara persoalan yang timbul adalah, adakah dia mati disebabkan kemalangan, ataupun kematiannya yang menyebabkan kemalangan? Atau adakah terdapat unsur jenayah?

Umumnya, bedah siasat bertujun untuk mencari sebab kematian. Mudah bunyinya. Sebab kematian boleh menentukan samada insurans bernilai ratusan ribu ringgit layak dituntut atau tidak. Ia juga menentukan samada kes kematian mengejut berubah menjadi kes berprofail tinggi seperti pembunuhan, dera, rogol dan sebagainya. Kalau anda masih ingat nama-nama ini: Canny Ong, Noritta Samsudin, Altantuya Shariibu, Sosilawati Lowiya, Nurin Jazlin. Sayangnya, kes-kes sebegini selalunya berakhir dengan misteri.

nurin

Dengan kemajuan sains, pemeriksaan bedah siasat bukan sahaja terbatas kepada pembedahan mayat. Pemeriksaan dibuat dengan teliti menggunakan teknologi masakini seperti toksikologi, radiologi, histologi, entomologi, DNA dan sebagainya. Kadang-kadang keadaan mayat tak sempurna seperti yang diharapkan, contohnya seperti mayat reput, terbakar, terpotong-potong, tertanam dalam simen, dan banyak lagi. Ini menyukarkan proses pengecaman dan penyiasatan, dan menjuruskan kepada perlunya kepakaran dan kemahiran dalam mengendalikan kes-kes seperti ini.

Seiring dengan kemajuan, penjenayah juga semakin kreatif untuk menghindar daripada tindakan undang-undang. Oleh itu, pihak berwajib juga perlu lebih kreatif bertindak untuk menghadapkan golongan ini ke muka pengadilan. Setakat ini, belum ada kaedah yang mampu menggantikan bedah siasat dalam penyiasatan mayat. Memang berat hati menjalankan pembedahan ke atas mayat, tapi ianya terpaksa juga dilakukan demi keadilan dan kemaslahatan waris si mati. Teknologi seperti autopsi virtual yang sekarang ini diaplikasikan kepada mumia  agak berpotensi untuk menggantikan bedah siasat ke atas mayat, akan tetapi setakat ini ia belum mampu menandingi ketepatan hasil siasatan melalui bedah siasat.

Muhd Yazid b Abdul Suhaimi
Pegawai Sains Forensik,
Jabatan Forensik, Hosp Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Ketua Unit Media, I-Medik Kedah.

Leave a Reply