Methamphetamine Gejala Penagih Urban

Media semalam melaporkan mengenai kematian enam orang peserta konsert festival musik Asia yang dianjurkan di sebuah stadium di ibu negara.

Empat dari enam orang yang disahkan meninggal dunia berbangsa Melayu Muslim berumur diantara 22 hingga 28 tahun, seorang lelaki dan tiga yang lain perempuan.

Laporan awal mengesahkan mereka semua mengambil methamphetamine, sejenis dadah kristal jernih diproses berbentuk pil yang sebenarnya diluluskan dan digunakan untuk merawat attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) dan obesiti.

Methamphetamine atau biasa dipanggil meth tidak asing bagi mereka yang kaki ‘clubbing’, kerana meth mampu meningkatkan keupayaan seksual, meningkatkan mood dan tenaga serta memungkinkan seseorang melakukan aktiviti seksual sehingga beberapa hari lamanya.

Dalam dos rendah dadah moden ini membantu meningkatkan keupayaan, fokus dan konsentrasi tetapi dalam dos tinggi akan menyebabkan psychosis (khayal), rhabdomyolysis (kerosakan sel otot) and cerebral hemorrhage (kerosakkan sel otak).

Dalam kes seperti didalam konsert tersebut, kematian disebabkan pengambilan meth berlebihan (‘overdose’) yang mungkin menyebabkan tekanan jantung tidak normal, tekanan darah turun naik, hiperthermia, dysuria (susah membuang air kecil) dan kekeliruan (‘confision’).

Apa yang merisaukan kita ialah trend mengambil dadah jenis ini dikalangan remaja dan belia sebagai aktiviti hiburan, pengambilan yang melampau kerana mahukan stamina tinggi atau ‘party hard’.

Lebih mendukacitakan ramai dikalangan mereka ialah belia Muslim, yang sepatutnya menggunakan masa, tenaga dan kemampuan mereka kearah pembangunan diri, keluarga dan masa depan tetapi sebaliknya terjebak dengan gejala keruntuhan akhlak, hiburan melalaikan dan akhirnya kematian akibat penyalahgunaan dadah.

Dikala negara bersedih dengan kehilangan MH370 dan suasana jerebu yang belum pulih, mereka masih boleh menganjurkan dan menyertai parti ‘outdoor clubbing’ yang bagi saya sengaja dilabel festival musik untuk menghalalkan aktiviti itu, yang saling tak tumpah seperti di dalam kelab malam.

Kejadian ini perlu diambil sebagai pengajaran penting oleh semua pihak termasuk belia, ibubapa, bahkan pihak berkuasa agar berhati-hati dengan penularan gaya hidup ala barat yang sememangnya bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.

Islam menganjurkan agar kita menggunakan sumber alam ini untuk tujuan kebaikkan, perubatan dan merawat penyakit, bukan untuk disalahguna.

Raihlah kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat bukannya bahagia sementara di dunia dan menanggung azab di akhirat kelak.

Hidup hanya sekali, fikirlah banyak kali, bertindaklah berhati-hati, agar kebahagian kekal abadi.

 

Yudi Kurniawan bin Budi

Leave a Comment