Misi Bantuan Banjir di Sebuah Kampung Terpencil

#PrayForKelantan #PrayForPantaiTimur

Hashtag yang sering dilihat sohorkini di media sosial pada penghujung setiap tahun susulan bencana banjir yang menimpa bumi Kelantan dan Terengganu.

Kebiasaannya penulis hanya menulis sebagai seorang yang melihat dari jauh tetapi kali ini berbeza. Penulis ingin berkongsi pengalaman sebagai salah seorang sukarelawan yang terlibat secara langsung dalam misi bantuan banjir di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.

Sebaik selesai sesi taklimat oleh ketua misi dan pihak bomba, para sukarelawan bergerak menuju ke perkampungan yang terletak agak terpencil dan dikatakan jarang sekali menerima bantuan pihak luar oleh kerana lokasinya yang sukar untuk dicapai dengan kenderaan darat termasuk kereta pacuan empat roda. Pihak bomba menyediakan sebuah lori sebagai kenderaan yang membawa kami bersama-sama bekalan makanan dan minuman serta peralatan mencuci ke tempat sasaran misi ini. Misi yang sepatutnya bertujuan untuk bantuan pasca banjir berubah kerana banyak rumah di kawasan kampung tersebut yang masih digenangi air sehingga kedalaman 2 meter. Perjalanan yang begitu mencabar kerana jalan yang dilalui sendiri masih dinaiki air, dan ada yang sehingga 1 meter, menyebabkan pemandu sukar untuk melihat laluan.

Setelah sampai di perkampungan tersebut, kami dapati para penduduk berkumpul di sebuah dewan kecil yang terletak di kawasan tinggi dan bebas dari banjir. Mangsa banjir telah berkampung di sana sejak beberapa hari, membawa barangan keperluan asas harian. Para sukarelawan I-Medik yang terdiri daripada doktor pelatih dan pegawai perubatan telah membuat pemeriksaan kesihatan bagi mangsa banjir dan mendapati terdapat beberapa mangsa yang mengalami masalah kesihatan di antaranya jangkitan kuman pada kaki, darah tinggi dan kencing manis. Nasihat kesihatan dan ubat-ubatan telah diberikan oleh pasukan I-Medik kepada mangsa yang memerlukan. Sementara itu, sukarelawan yang lain telah membuat pemantauan di sekitar kampung dengan menaiki sampan untuk melihat kerosakan yang berlaku akibat banjir dan juga untuk menyampaikan pek bantuan kepada mereka yang terperangkap.

Amat menyentuh hati apabila riak muka kebanyakan mangsa di sana tidak langsung menunjukkan kesedihan, malahan dapat bergurau-senda bersama dengan para sukarelawan walaupun dalam keadaan harta benda yang sudah punah dilanda banjir. Penulis kagum melihat betapa besarnya jiwa para mangsa yang tidak menjadikan harta benda dan kekayaan duniawi sebagai penentu kepada kebahagiaan hidup mereka.

Kerjasama antara masyarakat kampung berganding bahu meringankan beban satu sama lain dalam keadaan sebegitu membuatkan mereka terus kuat semangat dan tabah mengharungi ujian dari Allah. Benarlah firman Allah SWT, hamba-hambanya tidak diuji melainkan dengan ujian yang sesuai dengan kemampuannya. Misi ini telah membuka mata penulis untuk mensyukuri nikmat Allah  yang sebegitu banyak telah dikurniakan buat hamba-Nya. Para sukarelawan meninggalkan tempat tersebut selepas sesi bergambar dan barangan makanan disampaikan kepada mangsa banjir.

Muhammad Harith bin Md Aini
Graduan Pergigian
Ahli I-Medik Kelantan

Leave a Comment