Misi kemanusiaan Rohingya di Kem Pelarian Balukhali dan Kutapalong

27 Jan, Cox’s Bazaar BANGLADESH – Seramai 6 orang sukarelawan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Yayasan Ikhlas telah bersama dalam misi kemanusiaan untuk membantu etnik minoriti Rohingya dari Arakan, Burma yang kini menjadi pelarian di beberapa kem pelarian di Cox’s Bazaar terutamanya kem Balukhali dan Kutapalong. Misi kali ini berjaya mengagihkan bekalan makanan kering, selimut musim sejuk, ubat-ubatan, susu bayi dan kanak-kanak selain meninjau pembinaan masjid, sekolah, jambatan dan pam air dalam tanah yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui Yayasan Ikhlas.

Sukarelawan I-Medik yang disertai oleh doktor pakar dan pengamal-pengamal perubatan Malaysia, dengan kerjasama Chittagram International Medical College and Hospital (CIMCH) sebuah kolej perubatan dan hospital swasta dari Chittagong telah berjaya melawat klinik-klinik sementara dalam kawasan kem pelarian. Sebanyak 5 buah klinik berjaya di lawat dan sukarelawan I-Medik telah membantu doktor-doktor dan petugas kesihatan dari CIMCH memberikan rawatan primer kepada pesakit-pesakit bangsa Rohingya di dalam kem. Setiap hari anggaran sekitar 150 hingga 200 pesakit dilihat oleh doktor yang bertugas di satu kem. Hanya dengan ubatan dan peralatan rawatan asas, tanpa bekalan elektrik petugas perubatan telah memberikan rawatan yang baik kepada pesakit-pesakit, ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak yang kekurangan zat.

Para sukarelawan I-Medik dan Yayasan Ikhlas juga berkesempatan berkunjung ke Chittagram Medical College and Hospital di bandaraya Chittagong yang terletak kira-kira 150km dari Cox’s Bazaar dan diterima sebagai tetamu kehormat kolej. Perbincangan meja bulat dengan prinsipal dan ketua-ketua jabatan dari CIMCH berjaya membina jambatan dan dirakamkan sebagai “end of the begining” oleh pengurusan tertinggi CIMCH yang membawa maksud kerjasama yang telah bermula dalam pelbagai aspek perubatan, kesihatan dan amal sukarelawan dilapangan terutamanya di kem-kem pelarian Rohingya.

I-Medik juga dijemput bersama-sama dalam majlis pelancaran kutipan dana dan penubuhan hospital buah pinggang pertama di Chittagong oleh Chittagram Kidney Foundation. Dana-dana telah disampaikan oleh badan-badan korporat dan bank-bank sekitar bandar Chittagong.

Dalam misi kali ini sukarelawan I-Medik dan pegawai-pegawai Yayasan Ikhlas sempat berkunjung ke hospital medan yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia yang terletak di Cox’s Bazaar dan tidak jauh dari kem pelarian Kutapalong. Hospital ini dilengkapi kemudahan yang baik dan dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang kepakaran utama. Hospital medan Malaysia di sini boleh mempunyai wad-wad dan mampu melakukan pembedahan kecemasan dan elektif. Selain dari Malaysia, negara-negara Islam lain seperti Turki, Arab Saudi dan Indonesia juga giat membantu etnik Rohingya di sini.

Sumbangan orang ramai dari kalangan rakyat Malaysia yang prihatin amat diperlukan untuk menjayakan misi yang seterusnya.

I-Medik

 

Leave a Comment