MOHSEN 2.0 Wadah Perkongsian Doktor Muslim Di Sabah

SEMBULAN, 30 April – “I-Medik Sabah adalah sebuah organisasi yang mengumpulkan pengamal-pengamal perubatan Muslim yang berada di Sabah. Antara program yang pernah dijalankan ialah ceramah dan pemeriksaan kesihatan serta aktiviti bantuan perubatan dan kemanusiaan. Kita yakin dengan aktiviti-aktiviti sebegini, taraf kesihatan masyarakat di Sabah akan mampu ditingkatkan. Begitu juga dengan MOHSEN. Dengan misi untuk membangunkan tamadun perubatan Islam, kita percaya program MOHSEN mampu membimbing doktor Muslim untuk menjadi pakar dalam bidang masing-masing,” ujar Dr Abdul Rahman Ramdzan, Pengerusi I-Medik Sabah, dalam program MOHSEN 2.0 yang diadakan semalam.

MOHSEN yang merupakan singkatan kepada Medical Officer (MO) – House Officer (HO) Sharing Session merupakan program tahunan yang diadakan untuk mengeratkan silaturrahim sesama pengamal perubatan Muslim di Sabah dan juga sebagai medium perkongsian pengalaman hidup dan hala tuju seorang doktor Muslim. MOHSEN 2.0 ini pula secara khususnya ingin memberi pendedahan kepada pengamal perubatan tentang pengalaman dan kehidupan bekerja di kawasan pedalaman di Sabah.

“Bekerja sebagai HO dan MO memang kena kuat iman, terutamanya yang bekerja di kawasan pedalaman. Sebab bekerja di hospital daerah contohnya, agak lapang dan memang akan banyak masa kosong. Kalau kita tak kuat iman, memang kita akan ‘syahid’ dan kecundang dengan godaan dunia. Bagi saya, kerja di hospital daerah ni juga sebenarnya satu rahmat sebab boleh banyak muhasabah diri dan menyusun kehidupan,” ujar Dr Mohd Sobri bin Mohd Saupi, salah seorang panel jemputan merangkap aktivis I-Medik Sabah yang berpengalaman bekerja di salah sebuah hospital di kawasan pedalaman.

MOHSEN 2.0 yang berjaya mengumpulkan hampir 40 orang pengamal perubatan di Sabah ini adalah yang kedua kalinya diadakan dan telah menampilkan tiga orang panel yang berkarisma, iaitu Dr Mohd Nor Taufik, MO Klinik Kesihatan Felda Lahad Datu, Dr Hazlini binti Hamid, MO Jabatan Kanak-Kanak Hospital Likas dan juga Dr Mohd Sobri bin Mohd Saupi, yang sekarang bertugas di Jabatan Pembedahan Plastik, Hospital Queen Elizabeth.

Selain forum bertajuk ‘Aku Doktor Muslim?’, program MOHSEN 2.0 turut diserikan dengan sesi soal jawab yang interaktif dan tayangan video korporat I-Medik. Majlis tamat tepat jam 11.00 malam dengan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat menyertai program MOHSEN ini. Sebagai seorang HO, saya merasakan MOHSEN merupakan satu program santai yang sangat bermanfaat dan memberi pendedahan awal kepada saya tentang kehidupan sebagai seorang MO nanti. Bahkan, ia memberi panduan untuk saya menyusun hala tuju kehidupan sebagai seorang doktor Muslim yang mampu menyumbang kepada ummah,” kata Dr Imtinaan Zain Al-Aabideen, salah seorang peserta program MOHSEN 2.0.


Sakinah Sobri
I-Medik Sabah

Leave a Comment