Osteoporosis Di Kalangan Wanita

Osteoporosis merupakan penyakit tulang reput yang berisiko besar mengakibatkan patah tulang. Ini adalah kerana tulang tersebut telah hilang ketumpatannya dan kurang kualiti dari segi kalsium atau yang dikatakan kurang “bone mass density “(BMD). BMD biasanya paling maksima pada umur 30an dan berkurangan dengan bertambahnya umur terutama selepas putus haid (menopos).

 

Patah tulang boleh berlaku di mana-mana tulang tetapi kebiasaannya berlaku pada tulang belakang, pinggul dan pergelangan tangan. Patah tulang biasanya memerlukan pembedahan, kemasukan ke hospital dengan kadar lama, serta boleh mengakibatkan kecacatan yang kekal, kesakitan yang teruk, terlantar di katil dengan agak lama dan kemungkinan kematian.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya 1 dalam 3 orang rakyat berisiko tinggi mendapat osteoporosis. Juga didapati bahawa sekurang-kurangnya separuh atau 50% daripada wanita berumur 50 tahun ke atas mengalami patah tulang disebabkan osteoporosis di mana kaum Cina yang paling tinggi diikuti kaum Melayu dan India.

Oleh itu, kita perlu tahu apa faktor-faktor penyebab dan bagaimana hendak mengelak dari mendapat penyakit ini.

PATOLOGI OSTEOPOROSIS

Osteoblast versus osteoclast aktiviti

clip_image002

Daripada gambarajah di atas, didapati bahawa osteoblast, iaitu sel tulang bertugas untuk membina tulang dengan memasukkan kalsium ke dalam tulang sementara osteoclast juga sel tulang bertugas sebagai memakan tisu tulang dengan menarik keluar kalsium dari tulang. Kedua-dua sel ini adalah penting untuk menjaga keseimbangan kalsium dalam darah serta menjaga kedinamikan dan kesihatan tulang Aktiviti osteoblast dikawal oleh hormone calcitonin dan osteoclast dikawal oleh hormone parathyroid. Ketidakseimbangan yang berlaku di antara kedua-dua hormone dalam beberapa penyakit ini menyebabkan salah satu sel bertugas dengan lebih aktif dari yang lain. Kalau osteoclast lebih aktif, maka BMD rendah dan osteoporosis boleh berlaku.

Klasifikasi Osteoporosis

Terdapat 2 jenis iaitu Primer (Primary) dan Sekunder (Secondary) :

 

1. Osteoporosis Primer

Antara sebab-sebabnya ialah:-

1.Selepas menopos atau putus haid – kurang estrogen sebabkan BMD rendah

2. Berkaitan dengan umur – umur yang meningkat, semakin tinggi risiko dapat osteoporosis

3.Tidak diketahui- jarang berlaku

 

2. Osteoporosis Sekunder

Antara penyebabnya ialah:-

1.Penyakit endocrine seperti Cushing’s Syndrome, hypogonadism, thyrotoxicosis dan hyperparathyroidism.

2.Ubat-ubatan seperti Glucocorticoids atau steroids ( 5 mg sehari untuk lebih dari 3 bulan), Heparin yang digunakan untuk waktu lama dan ubat sawan seperti Phenytoin

3.Penyakit-penyakit kronik seperti kerosakan ginjal atau buah pinggang, penyakit hati seperti liver cirrhosis, penyakit malabsorption iaitu selepas pembedahan buang perut dan penyakit sendi kronik spt Rheumatoid arthritis

4.Lain-lain seperti nutritional iaitu kurang pengambilan zat kalsium dan juga penyakit barah.

FAKTOR-FAKTOR RISIKO (RISK FACTORS)

Faktor-faktor berikut di bawah boleh menyumbang kepada osteoporosis iaitu:-

Faktor-faktor Non-modifiable / yang tidak boleh diubah

    1. Umur yang meningkat
    2. Kumpulan ethnik- orang berketurunan Cina dan “orang putih”
    3. Menopos sebelum masanya iaitu umur kurang dari 45 tahun termasuk menopos disebabkan pembedahan rahim dan ovary
    4. Saiz badan yang sediakala kecil
    5. Keturunan- Sejarah ahli keluarga spt ibu, ayah dan adik beradik yang pernah mengalami osteoporosis

Faktor-faktor modifiable/ yang boleh diubah

    1. Pengambilan kalsium dan Vit D yang rendah- masyarakat di Malaysia kurang minum susu
    2. Tahap aktiviti – kurang senaman boleh reputkan tulang
    3. Merokok berlebihan
    4. Mengambil minuman berakohol
    5. Mengambil caffeine berlebihan
    6. BMI yang rendah iaitu kurang dari 19 kg/m2 ( BMI= Berat (kg) / tinggi(m) x tinggi (m)
    7. Kekurangan hormone estrogen
    8. Makanan yang terlalu asidik – darah perlu pada ph neutral, maka, hormone parathyroid akan rangsang osteoclast ambil kalsium dari tulang

 

 

DIAGNOSA

Osteoporosis dikatakan “silent disease”, di mana biasanya tiada tanda apa-apa. Hanya setelah mengalami patah tulang baru diagnosa dibuat.

Walaubagaimanapun, antara tanda-tanda yang biasa dilihat ialah bongkok yang keterlaluan (dorsal kyphosis) macam dalam gambar awal, patah tulang ketika kecederaan yang minima, kurang ketinggian disebabkan tulang belakang dihimpitkan, dan sakit tulang belakang.

Osteoporosis Primer hanya dibuat setelah di kecualikan sebab-sebab Osteoporosis Sekunder yang telah disebutkan tadi.

Antara penyiastan yang boleh dilakukan ialah:-

  • Bone mineral density test (BMD) – guna mesin X-Ray spt DXA, SXA, juga menggunakan Ultrasound tulang tumit mudah didapati di hospital swasta
  • X-Ray tulang belakang, pinggul
  • Ujian darah/ air kencing – tahap kalsium, fungsi ginjal dan penyakit2 lain
  • Tahap hormone dalam darah – hormone T4, TSH, FSH, LH, testosterone
clip_image004 Contoh x-Ray tulang pinggul seorang pesakit yang mengidap sakit di pinggul kiri menunjukkan tanda osteoporosis tulang pinggul sebelah kiri
clip_image005 Contoh x-Ray tulang peha menunjukkan osteoporosis tulang femur (peha) yang ditunjukkan dalam segi tiga.

clip_image006

LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN

a)Pengambilan kalsium dan Vit D yang mencukupi

Rakyat Malaysia dikatakan mengambil hanya 300-500 mg susu sehari sedangkan,

Bagi wanita 19-49 tahun – 800 mg sehari diperlukan

Bagi wanita lebih dari 50 tahun – 1000 mg sehari diperlukan

Antara makanan yang mengandungi kalsium termasuk:-

1.Yogurt biasa 2% 1 cawan – 415 mg

2.Susu tinggi kalsium 1 cawan – 500 mg, susu biasa cuma 300 mg

3.Susu skim 1 cawan – 300 mg

4.Keju 1 cawan – 217 mg

5.Kacang soya ½ cawan – 88 mg

6.Broccoli ½ cawan – 89 mg

7. Buah oren – 52 mg

8. Ikan salmon 3-4 oz – 225 mg

Dicadangkan agar di samping minum susu, diambil juga tambahan pil kalsium karbonat atau kalsium sitrat.

Vitamin D pula, kalau kita terdedah pada matahari selama lebih dari 15 minit sehari, maka sudah mencukupi untuk kita. Bagi, wanita yang berumur, terlantar di katil atau yang kuran membuat aktiviti di luar, maka diperlukan 800 IU sehari yang boleh didapati dalam pil multivitamin atau kalsium. Vit D juga boleh didapati dalam telur, daging dan ikan salmon dan sardin.

b) Tingkatkan berat badan bagi wanita yang BMI kurang dari 19 kg/m2

c) Tingkatkan senaman “weight bearing” atau aktiviti fizikal tetapi jangan keterlaluan

Seeloknya 3-4 kali seminggu untuk 20-30 minit setiap kali untuk mengekalkan

keseimbangan hormone.

Contohnya, lebih baik jalan kaki daripada naik kereta apabila ke kedai berdekatan,

naik tangga daripada naik lif bila ke pasaraya dan berdiri daripada duduk

d) Kepentingan postur atau cara yang betul untuk duduk, jalan dan berdiri, juga untuk angkat

barang, di mana pamphlet boleh didapati di klinik dan hospital.

e) Elakkan minuman berakohol

f) Kurangan pengambilan kopi, teh dan coklat

g) Elakkan merokok

h) Bagi wanita berumur, elakkan daripada mudah jatuh dan tercedera

 

 

 

 

 

 

RAWATAN

Osteoposorosis Primer

1.Rawatan hormone untuk tingkatkan BMD

– Progestin dan oestrogen untuk wanita yang masih ada rahim

– Ostrogen untuk wanita yang tiada rahim

* Kaedah ini hanya untuk merawat dan mengelakkan osteoporosis dalam wanita yang

sudah menopos

2.Biphosphonates. Tablet allendronate 10 mg sehari selama 3 tahun

3. Suntikan hormone parathyroid (FORTEO) – agak mahal, RM 1800 sebulan selama 18 bulan

 

Osteoporosis Sekunder

1.Pesakit yang mengunakan ubat steroids contohnya asthma, boleh mengurangkan risiko dengan  mengambil steroid secara sedutan. Pesakit yang mengunakan ubat yang menyebabkan osteoporosis perlu mengamalkan senaman secara berkala seperti di atas, elakkan aktiviti yang boleh memberi risiko kemalangan yang boleh menyebabkan tulang patah.

2. Bagi pesakit ginjal/ buah pinggang, perlu rawat komplikasi yang timbul dan kalau perlu pesakit perlu rawatan dialysis

3. Mengambil Kalsium dan Vitamin D yang mencukupi setiap hari, dengan dos seperti diberikan di atas untuk mengekalkan BMD dan mengelakkan patah tulang.

4. Mengambil Calcitonin melalui sedutan

5. Amalkan senaman “weight bearing” seperti brisk walking( jalan cepat) sekurang-kurangnya 3-4 kali seminggu bersama keluarga

Kesimpulannya, bagi wanita yang belum menopos dan tiada faktor-faktor risiko yang telah disebutkan tadi, kesedaran tentang penyakit perlu ada dan eloklah diambil langkah-langkah pencegahan yang telah dinyatakan seperti  meminum susu dengan secukupnya. Sementara itu, bagi wanita yang ada factor-faktor risiko, tumpukan usaha untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan seperti dalam osteoporosis sekunder sebaik-baiknya.

Bagi wanita yahg sudah menopos, jangan bertangguh untuk membuat ujian BMD, jaga kesihatan anda, amalkan senaman “weight bearing”, elakkan dari aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan dan patah tulang. Puan digalakkan untuk mendapatkan nasihat dari doktor pakar tentang  pengambilan hormon yang boleh mengelak dari osteoporosis.

Akhir kata, sekiranya puan sedang mengalami osteoporosis dan mengalami patah tulang serta kesakitan yang teruk, jangan berputus asa, teruskan rawatan dan sentiasalah berdoa dan bertawakkal dengan Allah.

Artikel telah disunting oleh:

Dr Mohd Nasiruddin Johari, Pakar Otopedik

Kuantan Medical Centre, Kuantan, Pahang.

Leave a Comment