Pastikan Tiada Lagi Korban Pemandu Mabuk

PADA 5 April lalu, seorang lelaki memandu dalam keadaan mabuk, merempuh sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bintulu.

Lima hari kemudian, seorang warga emas memandu di bawah pengaruh alkohol merempuh kereta polis di sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Petaling Jaya.

Pada 24 April pula, dua lelaki ditahan polis selepas melanggar PKP dengan seorang daripadanya didapati memandu dalam keadaan mabuk di Laluan Sungai Pari.

Terbaru, seorang anggota polis maut dirempuh dan dihempap pacuan empat roda dipandu lelaki mabuk ketika bertugas dalam sekatan jalan raya Ops COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi Ahad lalu.

Itu antara kes yang berlaku pada April dan Mei ini, iaitu ketika PKP dilaksanakan.

Kita amat kecewa dan kesal kerana kejadian terbaru membabitkan kematian petugas barisan hadapan yang membantu menangani wabak COVID-19.

Hakikatnya, pada Januari tahun ini sahaja, 158 individu ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk di ibu negara berdasarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Alkohol sering digambarkan sebagai keperluan budaya sesuatu kaum. Hakikatnya, ia mempunyai kesan jangka pendek dan panjang terhadap setiap organ dalam badan.

Kertas fakta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan tiada paras selamat bagi minuman alkohol dan setiap kali seseorang mengambilnya, ia meningkatkan risiko kerosakan organ badan.

Alkohol juga melemahkan sistem daya tahan badan menyebabkan mudah mendapat jangkitan. Alkohol turut meningkatkan risiko Sindrom Pernafasan Akut (ARDS), antara komplikasi COVID-19 paling teruk.

Ketika ini terdapat mitos mengenai alkohol berlegar ketika COVID-19 menyebabkan WHO terpaksa mengeluarkan panduan.

Kononnya alkohol membunuh coronavirus yang menyebabkan COVID-19 dan meminum alkohol membunuh virus dalam udara disedut serta menyah kuman mulut dan kerongkong.

Ia mitos semata-mata. Lebih 700 orang di Iran terbunuh kerana mempercayai mitos ini apabila mengambil metanol toksik.

Mitos lain, minuman beralkohol merangsang imuniti badan dan ketahanan terhadap virus. Hakikat sebenar berlawanan, iaitu ia menurunkan kekuatan imuniti.

Sekolah Perubatan Universiti Washington melaporkan terdapat tiga juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan penggunaan arak pada 2016.

Kajian mereka menyimpulkan tiada paras selamat bagi mereka yang minum arak, bermaksud tiada jumlah minimum disyorkan pakar kesihatan untuk menyatakan ia selamat diminum.

Afrika Selatan baru-baru ini menguatkuasakan larangan penjualan dan pengedaran alkohol ketika menguatkuasakan perintah berkurung.

Pihak polis dan kesihatan Afrika Selatan menganggarkan alkohol penyebab 40 peratus kemasukan kes ke wad kecemasan.

Sebelum perintah itu, Afrika Selatan menyaksikan 34,000 kes trauma berkaitan alkohol (pergaduhan, pemanduan mabuk, keganasan rumah tangga) setiap minggu.

Selepas penguatkuasaan perintah itu, ia berkurang sebanyak dua pertiga dengan hanya 12,000 kes dilaporkan seminggu.

Pihak Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan mengatakan perubahan ini signifikan dan memberi amaran, pembatalan dasar larangan akan menyebabkan peningkatan kes trauma dan jangkitan COVID-19 kerana sukar menjaga penjarakan sosial dalam kalangan mereka yang mabuk.

Melihat saban tahun kita berhadapan kes kematian mangsa tidak bersalah akibat pemandu mabuk, sudah tiba masanya kita menguatkuasakan dasar serta undang-undang lebih ketat berhubung alkohol.

Kita wajar mencontohi Brunei yang melarang premis menjual dan meminum alkohol secara terbuka.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei pula mengenakan syarat bukan Muslim hanya boleh membawa dua botol standard arak dan 12 tin kecil yang perlu dihabiskan tempoh 48 jam.

Dari sudut undang-undang, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan individu memandu di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan boleh dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

Hukuman sedia ada tidak setimpal dengan sikap cuai dan berbahaya yang turut meragut nyawa orang lain.

Taiwan baru-baru ini menyediakan draf cadangan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Sesungguhnya trauma dan kesengsaraan kepada keluarga mangsa akibat pemandu mabuk tidak dapat dibayangkan.

Era COVID-19 mengajar kita bagaimana larangan tegas ke atas arak perlu dalam menangani pelbagai risiko jangkitan dan berjaya menurunkan kes berkaitan individu mabuk.

Pasca COVID-19 sewajarnya menjadikan dasar kawalan dan larangan ke atas arak, sebagai satu normal baharu. Ia bermanfaat untuk setiap manusia tidak kira bangsa dan agama.

Selain menangani masalah kesihatan, biar Koperal Safwan Muhammad Ismail menjadi korban terakhir pemandu mabuk. Al-Fatihah.

Penulis adalah Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri Universiti Sains Islam Malaysia yang juga merupakan Naib Presiden 1, I-Medik

Leave a Comment