IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Pelupusan ubat yang betul elak pencemaran

Baru-­baru ini, Malaysia dikejutkan dengan penemuan beribu­-ribu kotak ubat yang telah luput dan dibuang di kawasan Hutan Simpan Ulu Gombak seperti yang dilaporkan di akhbar kontemporari Khamis lalu. Dipercayai, ubat darah tinggi dan sakit mental itu telah dibuang sekitar awal tahun ini berikutan tarikh ubat itu luput adalah November 2014.

Isu pelupusan ubat adalah isu penting yang jarang-­jarang dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia. Ubat merupakan bahan farmaseutikal yang mengandungi bahan kimia aktif, digunakan untuk merawat penyakit tertentu manusia dan juga binatang. Bahan kimia ini mampu mengubah kitaran fisiologi manusia dan hanya boleh diambil atas nasihat doktor merawat yang arif berkenaan ubat itu.

Ubat-­ubatan amat berbahaya jika diambil oleh manusia yang normal dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Justeru, pelupusan ubat­-ubatan yang tidak digunakan dengan cara yang betul amatlah penting untuk mengelakkan pencemaran bahan kimia yang terdapat di dalam ubat-­ubatan itu kepada alam semulajadi. Di dalam kes pembuangan ubat yang telah luput di Hutan Simpan Ulu Gombak itu, kemungkinan untuk ubat-­ubat itu dimakan oleh binatang liar adalah tinggi dan ini boleh memberikan kesan sampingan sehingga boleh membunuh. Ubat­-ubatan ini juga akan mencemari air yang akhirnya akan digunakan semula oleh kita. Kajian geologi di Amerika Syarikat (U.S. Geological Survey) yang dijalankan pada tahun 2002 mendapati ubat tekanan jiwa, darah tinggi dan kencing manis, ubat sawan, ubat kontraseptif dan hormon, ubat kemoterapi, antibiotik dan codeine (ubat tahan sakit berasaskan morfin) ditemui mencemari sumber air di bandar-­bandar utama di Amerika Syarikat. Pencemaran alam akibat perbuatan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Oleh itu, pelupusan sisa ubat-­ubatan perlu dilakukan dengan cara memulangkannya melalui kaunter­-kaunter farmasi dan hospital. Sisa-­sisa ini akan dilupuskan secara incinerator atau dibakar pada suhu tinggi untuk mengelakkan sisa­-sisanya mencemari alam semulajadi.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Perkhidmatan Farmasi telah melancarkan Program Pemulangan Ubat pada tahun 2010 untuk menggalakkan dan memberi kesedaran tentang kepentingan untuk memulangkan ubat-­ubatan yang tidak lagi digunakan sama ada telah luput atau tidak ke kaunter­-kaunter farmasi di seluruh negara. Ini adalah untuk mengelakkan pencemaran akibat pelupusan yang tidak betul. Rakyat Malaysia diseru untuk memafaatkan program ini dan mengelakkan alam semulajadi dicemari sisa ubat yang berbahaya ini.

Disediakan oleh,

Cik Shafnah Adnan

Pegawai Farmasi HKL

Leave a Reply