IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Percepatkan Puasa 6 Syawal – Antara Galakan dan Hikmah Perubatan

Kita baru sahaja menghabiskan puasa di bulan Ramadhan. Dan seminggu berhari raya di bulan Syawal mengembalikan kita ke ‘fitrah’ atau kebiasaan kehidupan pengambilan makanan dan juga amalan ibadah diluar Ramadhan. Jadi kesan ‘tarbiah’ di bulan Ramadhan bukan hanya pada sudut roh akibat beribadah, fisiologi badan juga turut berubah sewaktu berpusasa. Namun, kembali kepada kebiasaan dalam keadaan yang ‘abrupt’ atau tergesa-gesa tidaklah sesuai kepada sistem tubuh kita. Oleh yang demikian, pastinya ada hikmah kenapa Islam sangat menggalakkan umatnya terus berpuasa 6 di bulan syawal bermula pada seawal Syawal ke-2.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” (Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Menurut kajian sains puasa bulan Ramadhan selama 30 hari boleh memberi kesan kepada berat badan dan beberapa parameter fisiologi darah1. Ini termasuklah perubahan pada paras glukos, urea, total kolesterol, trigliserides, LDL kolesterol, dan HDL kolesterol. Namun begitu tidak semua mereka yang berpuasa Ramadhan boleh mendapatkan kesan baik pada penurunan parameter tersebut. Ada diantara kita berat badannya bertambah sewaktu akhir bulan ramadhan dan disusuli dengan pengambilan makanan tanpa kawalan sewaktu berhari raya. Ini memberi kesan yang agak buruk kepada sistem pencernaan badan yang telah ‘berehat’ disiang hari selama sebulan dan terus didedahkan dengan pelbagai jenis makanan serta juadah sebaik sahaja tarikh hari raya diistiharkan. Ini juga bertepatan dengan beberapa kajian sains dimana ada dikalangan individu tidak mendapat manfaat kesihatan selepas berpuasa2. Tabiat pemakanan yang tidak terkawal beserta pelbagai jenis menu hari raya, sedikit sebanyak mempengaruhi roh kita untuk terus konsisten melakukan ibadah sepertimana yang diamalkan sewaktu ramadhan. Itulah cabaran dan hikmahnya!

Justeru itu, Islam satu agama yang syumul memperkenalkan 6 hari berpuasa di bulan syawal sebagai pelengkap kepada puasa sebulan syawal. Dengan berpuasa 6 ini dan dilakukan seawal yang mungkin memberi ruang masa yang cukup untuk sistem badan dan sel-selnya kembali ke ‘fitrah’. Puasa ini boleh diamalkan secara berterusan atau diselang selikan. Ianya memberi ruang masa untuk ‘progressive adjustment’ oleh sistem pencernaan secara semulajadi.

Berpuasa 6 syawal juga memberi kebaikan detoksifikasi setelah kita mula mengambil makanan sewaktu berhari raya. Oleh itu ianya harus diamalkan secepat yang mungkin. Kajian sains juga membuktikan dengan berpuasa secara berturut-turut dalam beberapa hari akan meningkatkan paras hormon tertentu dalam badan. Ini sangat baik kerana badan telah mula membuat ‘adjustment’ kepada perubahan puasa-raya-puasa iaitu sebahagian daripada konsep kembali ke ‘Fitrah’. Inidvidu itu akan berasa lebih mudah untuk mengekalkan momentum puasa dan perasaan ‘general mental wellbeing’ yang sangat baik sekalipun tarikan luar untuk berhari raya dengan segala menu dan rumah terbuka.  Semoga kita terus mendapat rahmat di bulan yang mulia ini sambil bermaaf-maafan sesama muslim. Amen.

 

 

 

1 Mossa M. Marbut et al Tikrit. Effect of Ramadan fasting on some physiological parameters Medical Journal 2005 ; 11(2): 6-8

2 Nomani AZ. Dietary fat, blood cholesterol & uric acid levels during. RF. Inter. J. RF Research. 1997; 1(1): 1-6.

Leave a Reply