MENU

Comments (0) Aktiviti

Perkhidmatan Warga Emas

Perkhidmatan Warga Emas

Rumah agam itu sunyi lagi. Jika dahulu diisi keriuhan anak-anak dan cucu-cucu namun kini semuanya sudah punya kehidupan masing-masing. Ibu dan ayah yang meniti usia tua kini tinggal keseorangan di rumah agam menanti kepulangan anak cucu di musim perayaan.

Dilema kehidupan di usia warga emas di Malaysia kini kian terasa khususnya golongan yang sudah lama berpencen dan yang menghampiri usia pencen. Apakah sebenarnya hidup yang ingin dikecapi di usia emas? Adakah boleh hidup sendiri mengurus rumah, memasak dan menjaga pasangan masing-masing? Atau sampai ketika sakit tua atau komplikasi penyakit kronik mula menimpa, maka di mana tempat akan mereka mengadu dan bertumpang teduh?

Anak-anak tinggal di kota dengan hiruk-pikuk kesibukan kerjaya dan rumahtangga masing-masing. Pastinya sukar untuk menjenguk ke rumah ayah bonda sekerap dahulu. Hospital pula jauh di Bandar untuk mendapatkan khidmat pakar yang terbaik dan bekalan ubat-ubatan yang mesti diambil setiap hari.

Sejak akhir-akhir ini kita sudah pun mendengar kisah ibu atau bapa yang jatuh sakit di rumah sendirian, malah ada yang tidak dapat dihubungi sehingga ditemui mati keseorangan.

Ibubapa yang sudah tua sampai suatu masa sudah tidak mampu tinggal sendirian. Mereka memerlukan bantuan dalam menjalani kehidupan harian, sama ada pengurusan diri, pengurusan rumah, masak memasak, membeli barangan rumah dan pelbagai lagi mengikut kemampuan mereka dan penyakit yang dideritai.

Bagaimana pula jika tinggal dengan anak-anak di kota? Bimbang tidak selesa dan kadang-kadang rasa menyusahkan mereka. Saya pasti itu dilema warga emas hari ini. Apakah ada alternatif yang terbaik untuk hidup yang berkualiti di usia emas, sama ada di rumah sendiri atau rumah anak-anak atau di rumah orang tua?

Perkhidmatan untuk warga emas adalah bentuk perkhidmatan yang mesti diwujudkan hari ini untuk memenuhi keperluan kehidupan warga emas yang sihat, selamat dan berkualiti. Ini selaras dengan saranan WHO yang mencadangkan cara hidup warga emas yang sihat dan aktif (Healthy and Active Ageing). Ia juga hendaklah bersifat memastikan warga emas tetap sihat dan meniti usia tua di rumah bukan di hospital atau institusi-institusi.

Untuk memenuhi visi ini, servis khidmat sosial dan domestik seperti penjagaan warga emas di rumah, bantuan pengurusan kendiri dan pengurusan rumah adalah servis yang kritikal untuk diwujudkan mulai hari ini. Janganlah pula kita melatah apabila menjelang negara Tua 2030, terdapat 15% warga emas berusia 60 tahun ke atas yang tidak terjaga kebajikan dan Kesihatan mereka, dan di antara mereka TERMASUKLAH DIRI KITA SENDIRI.

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
MPH UKM
Unit Kesihatan Awam i-Medik

#KesihatanAwam
#EkonomiKesihatan

Leave a Reply