Pesanan Buat Yang Terlupa

Sebuah pemerhatian kehidupan oleh RN Rohaniza Naihi

Wahai manusia,
Ini nasihat untukmu dan aku.

Tubuh badanmu amanah darinya,
Jangan siakan begitu saja,
Tiada pengganti itulah satu-satunya,
Pabila tercela merana segalanya.

Hormati pula orang tua,
Sayangi mereka selagi ada,
Berbaktilah sampai bila-bila,
Kerna mati tak kira usia.

10 anak mampu dijaga,
Takkan mak ayah orang lain yang jaga?
Pernahkah terfikir perasaan mereka?
Menunggu si anak yang tak kelihatan di mata.

Ilmu dunia berlumba dicari,
Pangkat dan harta itulah penyeri,
Ilmu akhirat pudar di hati,
“Alah.. Apa susahnya. Ustaz, meh sini.”

 

 

Sajak ini ditulis berdasarkan beberapa situasi yang memang berlaku sampai kini dalam kalangan kita.

PERTAMA

Nikmat yang sering kita lalai iaitu kesihatan dan masa lapang.

Jagalah kesihatan diri sebelum terlambat. Tiada apa yang dapat dilakukan lagi setelah nikmat kesihatan diberikan disia-siakan. Kadangkala kita tahu apa yang kita buat itu salah namun kerana nafsu menguasai diri, badan yang binasa.

Sebagai contoh, kita tahu merokok itu membahayakan kesihatan, gambar pada kotak rokok itu ibarat tiada kesan kepada perokok. Selagi tak kena pada diri, selagi itu masih merokok. Cuba bayangkan muka-muka ahli keluarga yang kita sayang terpaksa menanggung kesan sampingan dari tindakan kita. Kata sayang, tapi apa buktinya?

KEDUA

Hormati dan sayangilah kedua orang tua kita. Tak kan lampin ibubapa sendiri pun tak dapat nak tukar? Takkan mandikan mereka pun suruh orang lain buatkan? Apakah perasaan mereka kita layan sebegitu?

Sebagai contoh di hospital, apabila perlu untuk menukar lampin ibu atau bapa, semua yang anak-anak keluar dari bilik dan meminta misi atau orang gaji menukarkan lampin. Ada tak terfikir tentang aib mereka? Jika tidak, berubahlah sekarang. Aib mereka mungkin sekali menjadi bahan cerita orang. Mungkin sehari dua orang dapat merahsiakannya, tapi cuba fikirkan selepas sebulan? Setahun?

KETIGA

Manusia berlumba-lumba mencari ilmu dunia. Sampai setinggi-tinggi peringkat hendak digapai.  Namun sayangnya, ilmu dunia sahaja tidak memadai tanpa ilmu agama. Ilmu agama kian dilupai. Hanya sampai habisnya silibus di sekolah menengah, maka habislah pembelajaran ilmu agama.

Ada yang berpangkat tinggi tapi masih culas untuk belajar ilmu fardhu kifayah seperti menguruskan jenazah. Sampai bila kita bergantung kepada  ustaz dan ustazah? Semua orang akan mati. Begitu juga ustaz dan ustazah. Siapa yang kita boleh harapkan selepas mereka, kalau bukan kita sendiri?

Pesanan ini untuk kita bersama, kerana kita selalu terlupa.

ROHANIZA BINTI NAIHI
Aktivis I-MEDIK Sarawak
Jururawat Berdaftar, Malaysia

Leave a Comment