PKP 3.0 akan gagal jika tak tutup kilang!

BANGI, 29 Ramadan 1442H, Selasa – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara dipercayai tidak mampu menangani penularan COVID-19, sekiranya kerajaan tidak menutup sektor perkilangan dan pembinaan yang merupakan penyumbang kes tertinggi.

Berdasarkan laporan Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan (KKM), kluster pekerja di kilang dan tapak pembinaan meningkat mendadak melebihi 83 peratus berbanding sektor pendidikan dan sosial.

Kajian Galen Centre sehingga 24 April menunjukkan hampir 50 peratus kluster baru adalah dari kilang-kilang, pembinaan (11 peratus) berbanding kluster sosial (12 peratus) dan pendidikan (5 peratus).

Atas dasar itu, seharusnya kawalan di kilang dan penutupan sementara industri ini mesti dilakukan sepenuhnya, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Ihsanuddin Abbas.
Beliau berkata, terdapat tiga faktor utama menyebabkan peningkatan sehingga 3,000 ke 5,000 sehari dalam dua minggu.

Antaranya kemasukan varian dari India dan Afrika Selatan pada awal April, pembukaan sektor ekonomi dan sektor sosial secara sepenuhnya pada Mac lalu. Memetik laporan NIH KKM, Dr Ihsanuddin berkata, ini membuktikan kerajaan masih gagal mengawal penularan kes di kalangan pekerja-pekerja kilang khususnya di asrama kilang seperti mana yang berlaku pada kilang Top Glove tahun lalu.

“Adakah kerajaan masih membuat pemantauan SOP di kilang dan memeriksa asrama-asrama pekerja, sama ada majikan sudah melakukan sesuatu untuk mengurangkan kepadatan dan menutup kilang jika terdapat kes positif?

“Sektor sosial seperti pendidikan dan keagamaan dilihat lebih terjaga kerana tindakan pantas penutupan premis apabila berlaku kes positif, namun adakah tindakan yang sama ke atas kluster kilang?,” soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PKP seluruh negara sememangnya tidak boleh dielakkan lagi apabila kes harian masih tinggi melebihi 3,000 kes dan kes aktif melebihi 37,000 kes pada 10 Mei.
Justeru katanya, PKP ini sepatutnya dilakukan lebih awal lagi iaitu sebulan yang lepas – ketika kes masih tidak dapat diturunkan – walaupun PKP 2.0 telah dilaksanakan selama tiga bulan.

“Perlu diingat pengurusan pandemik bukan hanya di bahu KKM semata, tetapi kerajaan seluruhnya melibatkan semua Menteri Kabinet khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Semua mereka bertanggungjawab dalam kementerian masing-masing yang turut menyumbang kepada peningkatan kes harian COVID-19,” katanya.

*Dr Mohd Ihsanuddin Abas adalah Ketua Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan juga pensyarah perubatan UniSZA.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net

Leave a Comment