Konvensyen Kesihatan Mental Dan Psikologi (PSIKOFIQH) Menyarankan Pendekatan Holistik Menangani Isu Ketagihan

Kuantan, 28 April 2018 – “Kaedah terbaik untuk menangani permasalahan ketagihan dadah adalah dengan penglibatan pelbagai pihak sama ada penguatkuasa, profesional bidang kesihatan mahupun ilmuan agama untuk bersama turun padang mendekati golongan penagih dan mengubah stigma masyarakat kepada golongan ini dari pandangan jijik dan benci kepada empati dan ingin membantu”, demikian menurut Dr. Rohaya binti A Rahman, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam ucapan perasmian beliau ketika mewakili Pengarah JKNP untuk merasmikan Konvensyen Kesihatan Mental dan Psikologi (Psikofiqh) anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan Pahang Mental Health Club (PAMEC).

Konvensyen ini yang telah dihadiri 300 peserta terdiri dari kalangan pengamal perubatan dan sains kesihatan, pelajar, pendidik serta ibu bapa telah memilih tema “Ketagihan Dari Perspektif Islam dan Psikologi” telah memberi fokus kepada isu-isu sekitar masalah ketagihan dari perspektif sains, perubatan, psikologi dan juga sudut pandang Islam. Selain pembentangan teori, objektif utama konvensyen ini adalah untuk membincangkan solusi-solusi praktikal bagi mengatasi masalah ketagihan dalam masyarakat berdasarkan prinsip rawatan dan pencegahan yang holistik, di mana pendekatan rawatan moden diintegrasikan dengan penyelesaian sosial dan spiritual.

Antara tajuk dan penceramah yang telah dijemput adalah Dr. Norharlina Bahar, Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Selayang yang membincangkan isu ketagihan gajet dan internet di kalangan kanak-kanak dan remaja, Profesor Dr. Ramli Musa, Ketua Jabatan Psikiari Universiti Islam Antarabangsa membentangkan tajuk Ketagihan; Dari Perspektif Neurobiologi dan Psikologi dan Profesor Dr. Azizi Ayob, Timbalan Presiden I-Medik dengan tajuk Ketum; Polemik Ketagihan atau Manfaat Perubatan. Timbalan Pengetua Pondok Inabah II Kuala Terengganu, Ustaz Mansur pula telah berkongsi pengalaman yang diaplikasikan di institusi tersebut dalam merawat para penagih yang memberi penekanan kepada aspek penyucian jiwa dan spiritual.

“Penting untuk kita mengenal pasti punca sebenar kepada masalah ketagihan sama ada ketagihan dadah, video porno, seks bebas, internet dan gajet dan merawat punca permasalahan ini secara menyeluruh, bukan sekadar aspek luaran semata-mata”, demikian menurut Dr. Rozanizam Zakaria sebagai panel forum ‘Terapi Ketagihan; Antara Rumah, Hospital dan Pusat Serenti’ yang juga merupakan Pengarah Psikofiqh. Panel forum kedua Ustazah Dr. Norsaleha Mohd Salleh turut menekankan kepentingan institusi kekeluargaan sebagai benteng utama untuk mencegah penglibatan anak-anak dan remaja dalam masalah ketagihan kerana kurangnya perhatian, pantauan dan kasih sayang ibu bapa merupakan antara faktor anak-anak terlibat dalam gejala ketagihan.

Konvensyen yang bertempat di Auditorium Utama, Kuliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Kuantan ini telah mendapat sokongan penuh dari pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang yang sentiasa mengalukan penglibatan badan bukan kerajaan dalam usaha-usaha mendidik masyarakat untuk bersama membendung isu ketagihan.

Sempena Psikofiqh 2018 juga, I-Medik telah melancarkan buku hasil penulisan pakar-pakar perubatan di kalangan tokoh-tokoh I-Medik bertajuk ‘Isu Kontemporari Perubatan Menurut Perspektif Islam’ dan pelancaran buku ini telah disempurnakan oleh Sahibus Samahah Dato’ Dr. Zulkifli Muda, Mufti Terengganu yang turut dijemput untuk menyampaikan ucaptama dalam konvensyen ini.

 

Psikofiqh 2018 juga telah melakar sejarah apabila dokumen laporan ‘Universal Periodic Review’ (UPR) yang akan dihantar kepada Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diserahkan kepada Presiden I-Medik, Prof. Dr. Azmi Md Nor oleh Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, Naib Presiden 2 I-Medik yang telah ke Geneva untuk sesi latihan UPR bersama seorang lagi wakil I-Medik, Dr. Norzila Baharin. Laporan ini akan dihantar ke PBB pada November 2018 bagi sesi semakan berkala yang ketiga.

I-Medik berharap dengan penganjuran Psikofiqh 2018, pendekatan yang lebih holistik dapat diaplikasikan dalam menangani isu ketagihan yang kian serius dalam masyarakat.

Leave a Comment