Puasa dan Ubat: Apa Nasihat Ahli Farmasi?

Di suatu pagi pada awal April 2021.

 

” Assalamualaikum encik. Ini ubat untuk adik Amir Syahmi (bukan nama sebenar).

Ubat fludrocortisone tablet ini makan separuh biji sekali sehari selepas makan.

Ubat hydrocortisone tablet ini, ambil separuh biji 3 kali sehari, selepas makan.

Hmmm.. ada ubat prednisolone juga. Adik Amir Syahmi berpuasa ke Ramadan ini?”, tanya si Pegawai Farmasi.

 

” Aah puan, anak saya boleh puasa,” jawab si Ayah.

 

“Alhamdulillah bagus Adik Amir Syahmi. Jika begitu, semasa bulan puasa, Amir Syahmi perlu berhentikan dulu ubat hydrocortisone ini dan Doktor beri ubat prednisolone tablet ini untuk makan sepanjang tempoh berpuasa. Yang besar 5mg ini makan separuh biji selepas sahur, yang kecil ini 1mg makan selepas berbuka puasa. Nanti sudah habis Ramadan, boleh sambung semula dengan ubat hydrocortisone ini ya. Tak perlu lagi makan prednisolone”.

 

Ini adalah contoh nasihat yang kami sebagai Pegawai Farmasi kerap berikan kepada pesakit atau penjaga sebelum dan sepanjang bulan Ramadan. Sangat penting bagi pegawai farmasi untuk teliti samada seseorang pesakit dewasa, remaja atau kanak-kanak tersebut boleh berpuasa atau tidak di bulan Ramadan. Ini disebabkan oleh ketika berpuasa, pengambilan ubat mungkin perlu diubah bagi menyesuaikannya dengan waktu berpuasa di Malaysia (iaitu kira-kira 14 jam) bagi memastikan kesihatan pesakit berada dalam keadaan yang optima.

 

Perkara yang paling utama adalah bertanyakan pesakit atau penjaga samada doktor membenarkan pesakit untuk berpuasa. Bagi pesakit yang mempunyai paras gula yang tidak terkawal, tekanan darah yang tidak optima, dehidrasi atau kesihatan yang makin merosot, pesakit adalah dinasihatkan untuk tidak berpuasa bagi mengurangkan kemudaratan atas dirinya. Keringanan untuk tidak berpuasa ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 184:

 

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

 

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.

 

Pesakit boleh mengambil rukhsah ini jika berpuasa itu membahayakan kesihatannya atau melewatkan penyembuhan dirinya dari penyakit tersebut. Walaupun begitu, individu tersebut wajib menggantikan puasanya selepas bulan Ramadan sebanyak hari yang ditinggaalkannya. Akan tetapi, bagi individu yang keadaan kesihatannya tiada harapan untuk sembuh dan disahkan doktor tidak boleh berpuasa langsung, pesakit boleh diingatkan bahawa tidak perlu berpuasa tetapi mesti membayar fidyah pada tahun tersebut.

 

Kembali semula kepada pengambilan ubat semasa berpuasa.

 

Dos ubatan mungkin perlu diubah bergantung kepada tekanan darah, paras gula dan kadar pengambilan air pesakit. Ini memerlukan perbincangan rapi antara doktor, pegawai farmasi dan pesakit bagi memastikan perawatan dalam keadaan optima.

 

Pesakit perlu diingatkan simptom-simptom berikut yang perlu diperhati dan dinasihatkan segera berbuka puasa jika berlaku. Simptom kurang gula dalam darah (hipoglisemia) adalah pening atau mudah pitam, keliru, peluh dingin, menggigil, mengantuk, terlalu lemah atau lapar. Simptom hiperglisemia (gula tinggi dalam darah) adalah sangat dahaga, kerap membuang air kecil serta sangat letih. Jika simptom ini masih berlanjutan setelah berbuka, pesakit perlu segera ke bahagian kecemasan hospital atau klinik terdekat.

 

Antara cabaran lain yang dihadapi adalah apabila terdapat ubat yang perlu diambil sebelum makan seperti ubat injeksi insulin short acting, ubat Levothyroxine (untuk rawatan hipotiroid) atau ubat darah tinggi Perindopril. Saya akan mengingatkan pesakit jika ubat perlu diambil di waktu pagi, pesakit perlu ambil ubat setengah jam ke satu jam sebelum sahur. Bagi dos petang pula, pesakit boleh berbuka puasa dengan air dan sedikit kurma dahulu dan ambil ubat. Makanan utama hanya diambil setengah jam kemudian. Pegawai Farmasi boleh menyelitkan nasihat sementara menunggu waktu makan tersebut, pesakit boleh menunaikan solat Maghrib dahulu.

 

Rata-rata pesakit tiada masalah jika ubat perlu diambil sekali atau dua kali sehari kerana pesakit boleh memilih untuk mengambil pada waktu sahur atau/dan waktu berbuka mengikut kekerapan yang ditetapkan doktor. Cumanya, perlu ingatkan mereka bahawa ubat perlu diambil pada waktu yang sama sepanjang bulan Ramadan.

 

Bagaimana pula jika ubat tersebut perlu diambil tiga kali atau lebih sepanjang hari? Ini agak rumit dan memerlukan lebih penelitian. Para doktor, pegawai farmasi dan pesakit boleh berbincang jika ubat yang dipreskrib sesuai dengan mana-mana teknik di bawah:

 

  • Ada sebahagian ubat yang perlu diambil 3 kali sehari, pesakit boleh mengambil ubat ketika waktu sahur (kira-kira 5 pagi), dos kedua ketika waktu berbuka puasa (sekitar 7.30petang) dan dos ketiga sekitar 4 jam selepas dos kedua.

 

  • Bagi sesetangah ubat seperti Hydrocortisone tablet dalam kisah di atas atau beberapa jenis antibiotik, ubat alternatif boleh diberikan dengan kekerapan pengambilan ubat yang kurang (sekali atau dua kali sehari).

 

  • Ubat jenis insulin short acting secara umumnya perlu diambil 3 kali sehari. Jumlah dos yang dicucuk setiap kali mungkin perlu diubah berdasarkan kuantiti makanan yang diambil atas nasihat doktor. Dos pertama adalah setengah jam sebelum makan sahur. Jika pesakit tidak bersahur atau hanya minum air kosong semasa bersahur, dos ini tidak perlu diambil bagi mengelakkan hipoglisemia. Dos kedua (yang selalunya diambil sebelum makan tengah hari) boleh ditinggalkan semasa pesakit berpuasa. Dos ketiga boleh dicucuk selepas berbuka puasa dengan air dan kurma. Makanan berat hanya diambil setengah jam kemudian.

 

  • Bagi pesakit yang mengambil ubat pengkelat fosfat seperti tablet kalsium karbonat, dos pertama dikunyah semasa makan sahur. Jika pesakit tidak makan ketika sahur, dos ini boleh ditinggalkan. Dos ketika makan tengah hari juga boleh ditinggalkan jika pesakit berpuasa. Ketika berbuka puasa, pesakit dinasihatkan mengunyah tablet kalsium karbonat ketika suapan pertama makanan berat.

 

  • Bagi ubatan yang perlu diambil pada waktu tertentu ketika waktu siang setiap hari disebabkan keadaan pesakit (contohnya ubat rawatan anti parkinson atau ubat rawatan psikiatrik), pesakit tidak dinasihatkan untuk berpuasa bagi mengelakkan kesihatan makin merosot.

 

  • Untuk ubatan yang perlu diambil dengan kekerapan setiap sejam hingga ke 6 jam sekali, pesakit juga dinasihatkan tidak berpuasa dan patuh kepada arahan pengambilan ubat bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Contohnya adalah ubat Aciclovir untuk rawatan jangkitan virus varicella zoster.

 

Isu pengambilan ubat ketika berpuasa di bulan Ramadan adalah sangat luas. Ini memerlukan penelitian dan perbincangan rapi antara pesakit, pegawai perubatan, jururawat dan ahli farmasi bagi memastikan kesihatan pesakit berada dalam keadaan yang optima dan tidak makin merosot.

 

Para ahli farmasi serta penolong pegawai farmasi digalakkan bersikap proaktif dalam bertanyakan pesakit atau penjaga

tentang pengambilan ubatan pesakit semasa berpuasa.

 

Paling penting sekali, jangan lupa nasihatkan pesakit jika berada dalam keadaan dehidrasi, mengalami simptom tekanan darah tidak terkawal atau simptom paras gula terlalu tinggi atau rendah, pesakit perlu berbuka puasa untuk menjaga keselamatan nyawa pesakit.

oleh:

‘Aisya Nabilah binti Abd Rahman
Wakil Sektor Farmasi, I-Medik

 

Rujukan

 

  1. https://www.maij.gov.my/baitulmal/golongan-dikenakan-fidyah
  2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/1050-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-80-orang-yang-diberi-keuzuran-makan-secara-terbuka-di-siang-hari-ramadhan
  3. https://www.drugtopics.com/view/ramadan-medications-and-pharmacist
  4. https://pku.upm.edu.my/artikel/puasa_ubat-49315

Leave a Comment