IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Puasa Ramadhan untuk pesakit diabetes

diabetes

Bulan Ramadhan merupakan bulan mulia bagi umat Islam dan merupakan bulan Al Qur’an. Pada bulan ini pahala amalan digandakan dan doa diterima. Bagi meningkatkan darjat takwa, umat Islam diwajibkan berpuasa, menahan diri dari lapar, dahaga dan perbuatan-perbuatan dosa yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.

Di Malaysia, umat Islam berpuasa sehingga 14 jam sehari. Sudah tentu, ini amat mencabar bagi penderita pelbagai penyakit terutama pesakit kencing manis atau diabetes.

Diabetes seperti yang diketahui umum ialah masalah kadar gula berlebihan dalam darah yang disebabkan oleh gangguan hormon insulin sama ada secara kuantiti atau kualiti. Menderita sakit Diabetes tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa. Semua pesakit diabetes yang terkawal digalakkan berpuasa kecuali pada keadaan yang tidak terkawal dan boleh memudaratkan pesakit. Islam sebagai agama rahmat juga memahami kondisi ini. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 184:

(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

Berikut merupakan klasifikasi pesakit diabetes mengikut risiko:

  • Pesakit Diabetes berisiko sangat tinggi:
  1. Gula darah sangat rendah dan sejarah ketoasidosis (keadaan darah menjadi terlebih asid) sewaktu 3 bulan terakhir sebelum berpuasa
  2. Gula darah sering turun mendadak
  3. Pesakit Diabetes Type 1
  4. Pesakit Diabetes yang sedang mengandung
  5. Menjalani rawatan cuci buah pinggang (dialysis)
  6. Melakukan aktiviti berat
  7. Sedang mengalami jangkitan kuman
  • Pesakit Diabetes berisiko tinggi
  1. Mengalami gangguan buah pinggang
  2. Tinggal bersendirian
  3. Usia tua dengan kesihatan tidak menentu
  4. Kawalan gula darah sederhana ( HbA1C 7.5 hingga 9.0%)
  • Pesakit Diabetes berisiko sederhana
  1. Gula darah terkawal dengan insulin bertindak segera
  • Pesakit Diabetes berisiko rendah
  1. Sihat dan gula terkawal melalui kawalan diet atau ubat kencing manis jenis makan

Secara amnya, pesakit diabetes tidak berisiko tinggi digalakkan berpuasa namun dibenarkan berbuka jika mengalami komplikasi. Pesakit- pesakit diabetes berisiko sangat tinggi tidak digalakkan berpuasa manakala pesakit diabetes berisiko tinggi boleh mencuba untuk berpuasa dahulu. Dicadangkan agar bangun bersahur dan berniat puasa namun jika merasa tidak mampu meneruskan puasa atau mengalami komplikasi, boleh berbuka pada bila-bila masa.

Apakah komplikasi diabetes?

  • Hipoglisemia (gula rendah)

Hipoglisemia adalah gejala gula dalam darah yang terlalu rendah (kurang daripada 4mmol/L). Pesakit yang mengambil suntikan insulin berisiko tinggi untuk mengalami kejadian ini.

Tanda-tanda Hipoglisemia:

  1. Lemah, menggigil.
  2. Berpeluh.
  3. Pening.
  4. Lapar.
  5. Penglihatan Kabur.
  6. Letih-lesu.
  7. Sakit kepala.

Penyebab Hipoglisemia:

  1. Tidak makan atau lewat makan selepas makan ubat atau suntikan insulin.
  2. Tidak ambil sumber karbohidrat yang mencukupi.
  3. Aktiviti fizikal yang tidak dirancang.
  4. Senaman yang lasak.
  5. Dos insulin atau ubat diabetes yang berlebihan.

Bagaimanakah Untuk Mencegah Hipoglisemia?

  1. Ambil ubat / insulin mengikut dos yang diarahkan.
  2. Makan secara tetap mengikut waktu dan kuantiti yang cukup.
  3. Aktiviti fizikal seperti senaman yang aktif atau sederhana adalah tidak digalakkan.
  4. Memantau paras gula dalam darah.

Cara-cara Mengatasi Hipoglisemia:

  1. Sekiranya mengalami tanda-tanda hipoglisemia, minum ½ cawan air manis atau hisap 3 biji gula-gula atau 3 sudu teh gula/madu.
  2. Kemudian, rehat 10 hingga 15 minit. Jika paras gula darah tidak kembali paras normal, sila ulangi langkah 1 sekali lagi.
  3. Jika jarak masa makan yang seterusnya adalah lebih dari 20 minit, sila ambil 1 hidangan karbohidrat kompleks seperti 1 keping roti atau 1 keping sandwich atau 3 keping biskut kraker krim atau 1 biji buah atau 1 cawan susu.

Tanda-tanda Hiperglisemia (Gula berlebihan dalam darah):

  1. Kerap buang air kecil.
  2. Terlalu dahaga.
  3. Sangat letih.

Tanda-tanda Dehidrasi? (Kekurangan air dalam badan)

  1. Amat dahaga.
  2. Kulit dan lidah yang terlalu kering.
  3. Fikiran terganggu.

Tips Bagaimana Untuk Menyesuaikan Diri Semasa Berpuasa:

  1. Jangan tinggal waktu bersahur.
  2. Waktu bersahur perlulah selewat mungkin sebelum waktu imsak.
  3. Ketika bersahur digalakkan mengambil karbohidrat kompleks (seperti roti, gandum,nasi) berbanding karbohidrat segera
  4. Jangan melambatkan waktu berbuka.
  5. Memadai waktu berbuka dengan 2 biji kurma terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada karbohidrat.
  6. Hadkan pengambilan makanan yang tinggi gula.
  7. Digalakkan mengambil hidangan utama selepas solat Maghrib.
  8. Minum malam selepas solat tarawih.
  9. Boleh diambil sebagai pengganti snek sebelum tidur.
  10. Sertakan buah-buahan dan sayur-sayuran ketika sahur dan berbuka.
  11. mengandungi serat yang tinggi dan digalakkan untuk setiap hidangan utama.
  12. Hadkan makanan yang bergoreng dan berlemak, contohnya: Masakan berlemak yang menggunakan santan, ayam goreng, mi goreng dan lain-lain.
  13. Hadkan makanan yang tinggi garam. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko kekurangan air.
  14. Minum air secukupnya.
  15. Disarankan untuk mengambil 8 gelas air sehari ketika masa tidak berpuasa

Oleh:
Dr Noor Tahira Abdul Karim
Aktivis I-Medik Negeri Kedah

Nota: Dr Noor Tahira merupakan Pegawai Perubatan di Jabatan Pediatrik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Kedah.

Sumber: I-Medik Kedah

Leave a Reply