Punca dan Kesan Rokok pada Mulut Manusia

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan bahawa larangan merokok di semua premis makanan akan dikuatkuasakan bermula Januari 2019.

Maka sebelum kita melangkah masuk ke tahun 2019 ini, apakata kita cakna sikit kesan-kesan merokok ini terhadap kesihatan mulut kita. Manalah tahu boleh memangkin semangat azam baru untuk berhenti merokok tahun hadapan ?

Merokok sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit seperti kanser, penyakit peparu contohnya Chronic Obstructive Pulmonary Disease dan lain-lain. Tetapi tahukah anda kawasan mulut juga turut menerima akibat buruk daripada merokok?

Rongga mulut merupakan organ pertama yang di’sapa’ asap rokok. Maka rongga mulut boleh dikatakan sebagai menerima asap yang fresh atau segar berbanding organ-organ dalaman yang lain yang menerima asap rokok ini.

Maka manifestasi samada seseorang itu perokok atau tidak lebih cepat dan senang dikenalpasti dengan melihat mulutnya. Bibirnya berwarna gelap kehitaman, begitu juga dengan gusi. Bau mulutnya juga berbau asap rokok. Giginya pula berwarna kekuningan dan boleh jadi keperangan seperti karat atau hitam. Dan sekiranya dilihat lebih mendalam ke rongga mulut, lelangitnya turut menampakkan bintik-bintik kemerahan dan kehitaman. Manakala bahagian dalam bibir pula terdapat tompok-tompok gelap.

Apakah puncanya?
Kerana asap rokok yang panas seakan membakar tisu dalam mulut dan mencederakan kelenjar-kelenjar air liur yang kecil terutama di bahagian lelangit (smoker’s palate/nicotinic stomatits) dan juga rokok itu sendiri mempunyai kandungan kimia yang pelbagai yang boleh melekat dipermukaan gigi dan merangsang produksi melanin dalam tisu mulut (smoker’s melanosis). Ia juga turut menyebabkan kondisi ‘hairy tongue’ iaitu tisu papilla lidah membesar dan berwana gelap yang boleh menyumbang kepada masalah mulut berbau (halitosis).

Selain kesan estetik, rokok juga mempengaruhi kesihatan mulut secara keseluruhannya. Tabiat merokok dikenalpasti sebagai punca berlakunya kekeringan mulut atau ‘dry mouth’. Mulut yang kering terjadi kerana kelenjar air liur menjadi semakin tidak efisien dalam merembeskan air liur. Air liur penting sebagai agen untuk meneutralkan pH mulut lalu menghalang pembiakan bakteria dalam mulut.

Apabila pH asidik dalam mulut tidak dapat diatasi oleh sebab rembesan airliur yang semakin berkurang, maka risiko untuk mendapat penyakit gusi dan gigi berlubang bertambah. Persekitaran yang asidik merupakan keadaan yang sangat digemari oleh bakteria dan kulat seperti candida. Merokok juga boleh mengurangkan sistem imun seseorang, maka proses penyembuhan penyakit mulut juga akan terjejas sekiranya anda merokok. Sebab itu doktor gigi anda melarang anda merokok sebaik sahaja anda mencabut gigi.

Selain itu merokok juga menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kanser mulut. Ramai antara kita yang maklum akan hal ini kerana rokok terdiri daripada bermacam-macam jenis bahan kimia karsinogenik yang boleh menghasilkan pelbagai tindakbalas merbahaya terhadap tisu dan sel dalam badan kita. Menurut American Cancer Society, 48.5% daripada 12 jenis kanser adalah disebabkan oleh rokok, termasuk kanser mulut.

Kanser mulut boleh terjadi di bahagian bibir, gusi, lidah, lelangit, pipi dan boleh menjangkiti sehingga ke tulang rahang serta masuk ke dalam salur darah membentuk metastasis atau dalam kata lain, sel kanser merebak ke organ lain. Pesakit kanser mulut lazimnya akan mengalami simptom seperti ulser yang mengambil masa yang sangat lama untuk sembuh (lebih daripada 2 minggu), mulut terasa ketat dan wujud ketumbuhan dalam rongga mulut. Pada peringkat yang lebih tinggi, pesakit kanser mulut boleh kehilangan fungsi mulut seperti makan, minum, bercakap, senyum dan kesukaran untuk bernafas.

Pendek kata, terlalu banyak kesan buruk merokok yang boleh terjadi kepada diri kita. Dan jangan kita lupa bahawa asap rokok kita juga boleh hinggap kepada orang lain dan meletakkan kesihatan dan nyawa orang sekeliling kita dalam bahaya.

Berhenti merokok selama lebih daripada 3 tahun akan mengurangkan risiko kanser mulut sebanyak 50%. Bau nafas anda lebih baik, gusi anda lebih sihat, gigi anda lebih putih dan senyuman anda lebih menawan. Jadi kenapa tidak anda berazam untuk berhenti sekarang?

Rujukan:
1. www.myhealth.gov.my
2. American Cancer Society
3. Wen JL, Rong SJ, Shih AL. Smoking, Alcohol and Betel Quid and Oral Cancer: A Prospective Cohort Study. Journal of Oncology 2011
4. Sham AS, Cheung LK, Jin LJ, Corbet EF. The effects of tobacco use on oral health. Hong Kong Med J. 2003; 9(4): 271-7.
5. Chandra A. How Smoking Affects the Mouth.
www.myvmc.com
6. Millar WJ, Locker D. Smoking and Oral Health Status. J Can Dent Assoc 2007 Mar; 73(2):155 (pubmed)

 

Penulis:

Dr Dhuha Binti Mohd Shahrain

Pegawai Pergigian KP Bandar Kuantan

Leave a Comment