MENU

Comments (0) Mesej

Kenyataan Rasmi I-Medik Berhubung Rawatan Pergigian Palsu, Tanpa Tauliah

Bismillahirrahmanirrahim..

Rawatan Pergigian Palsu, Tanpa Tauliah

1. I-Medik berpendapat tindakan memberi perkhidmatan “braces” tanpa daftar & tanpa sijil kelayakan yang sah oleh sesiapa pun adalah bersalahan dengan undang-undang. Tambahan lagi, perbuatan tersebut adalah sangat berbahaya kepada orang awam yang memilih untuk membuat rawatan dengan pihak ini dengan alasan kos rawatan yang lebih rendah dan mudah didapati berbanding di klinik pergigian berdaftar.

2. Masyarakat perlu diberi kesedaran akan kepentingan mendapatkan rawatan professional berbanding rawatan yang indah khabar dari rupa.

3. Bukan setakat “fake braces” atau pendakap palsu, mendapatkan rawatan pergigian seperti gigi palsu, tampalan atau cabutan di rumah juga kini berleluasa. Kebanyakan pesakit gigi akan hanya akan datang mendapatkan khidmat pergigian professional sekiranya terdapat komplikasi kerana kelazimannya pihak yang memberi rawatan palsu atau tiada kelayakan ini akan mengambil tindakan berlepas tangan atau enggan bertanggungjawab.

4. Pemasangan pendakap palsu dan beberapa rawatan asas pergigian perlulah dilaksanakan secara steril di klinik berdaftar bagi mengelakkan komplikasi rawatan. Masalah akan timbul apabila jangkitan silang penyakit berjangkit mula tular semula seperti Hep B, Hep C, TB dan lain-lain lagi. Di samping itu, susunan gigi yang tidak teratur hanya akan menjadi lebih teruk jika pendakap palsu dipasang tanpa ilmu dan berdasarkan ilmu YouTube sahaja.

Kita pastinya tidak mahu keadaan ini berterusan kerana akhirnya apabila berlaku komplikasi, mangsa akan mula datang kepada pegawai pergigian berdaftar untuk betulkan semula apa yang telah rosak.

Gigitan atas dan bawah tidak boleh bertemu, gigi goyang dan terpaksa dicabut, serta muka dan gusi bengkak kerana jangkitan – semuanya boleh berlaku jika tidak ada penjagaan yang baik sepanjang proses rawatan berlaku.

5. Berikutan kes wanita tersebut yang dilepaskan dari penjara 6 bulan atas bantuan NGO seperti PPIM, PPEM dan orang awam, pihak I-Medik merasakan ianya bukanlah tindakan wajar untuk membiarkan pesalah laku ini bebas dan diberi peluang kedua. Malahan kita bimbang sekiranya perkara ini berulang lagi, pesalah laku sudah lali dengan hukuman yang dikenakan undang-undang, hanya kerana mendapat sokongan belakang dari orang ramai.

Kita gusar jika tiada tindakan tegas dikuatkuasakan, akan lebih ramai lagi orang awam yang bakal menjadi mangsa kerakusan pihak tidak bertanggungjawab seperti mereka ini.

6. Sebagai individu muslim, kita seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab ke atas setiap tindakan yang kita lakukan. Perkhidmatan yang diberikan tanpa sijil akhirnya akan memberi lebih mudarat kepada orang ramai yang tidak bersalah. Harta yang dicari dengan cara yang tidak halal adalah tidak berkat dan menjadi asbab kepada azab seksa di akhirat.

Oleh yang demikian, pihak I-Medik bahagian Pergigian menggesa agar:

(1) Semua pengguna berhati-hati dengan sebarang perkhidmatan pergigian tidak berdaftar. Gunakanlah khidmat kesihatan pergigian kerajaan atau swasta yang terbukti pendaftarannya dengan pihak autoriti.

(2) Orang awam juga dinasihati agar memboikot sebarang khidmat pergigian di rumah-rumah, hotel-hotel, dan premis tidak berdaftar. Laporkan sebarang kegiatan mereka kepada pihak kementerian dan sama sekali jangan menyokong aktiviti haram ini.

Katil dan alatan pergigian yang digunakan semasa rawatan tanpa pentauliahan.

(3) Semua pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan diharap dapat menyokong inisiatif dan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan dan seruan-seruan yang dilaungkan mestilah tidak bertentangan dengan polisi dan undang-undang yang telah digariskan.

Wabillahitaufiq walhidayah.

 

DR. NABILAH BINTI MOHD YAAKOB
Pegawai Pergigian
Ahli I-Medik

Leave a Reply