MENU

Comments (0) Info Sihat, Kolumnis

Kempen Remaja Cegah Rokok TIDAK GAGAL

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penemuan penyimpanan rokok seludup di dalam kandang babi dan dikatakan seolah–olah mencemarkan imej agama terutama kepada individu Islam yang menghisap rokok seludup. Namun sebenarnya, yang memalukan Islam bukanlah penyimpanan rokok tersebut di kandang babi, yang memalukan Islam adalah terus-terusan merokok walaupun fatwa dengan jelas menyatakan pengharaman merokok.

Mutakhir ini, penggunaan rokok tidak sah kian berleluasa. Masalah rokok yang murah ini menunjukkan penguatkuasaan yang lemah, kerana terdapat dipasaran jenis counterfeit (fake or imitation) atau contraband (smuggled goods) yang lebih murah dan dapat dibeli dengan mudah. Pada tahun 2015, kajian anggaran rokok tidak sah di Malaysia oleh International Tax and Investment Center (ITIC) dan Euromonitor International menunjukkan penggunaan rokok tidak sah daripada keseluruhan penggunaan rokok adalah di antara 30% hingga 55%. Data daripada Euromonitor International turut menunjukkan penggunaan rokok tidak sah meningkat dari 39.2% pada tahun 2014 kepada 53.1% pada tahun 2015. Hukuman penjara serta penalti denda yang berat sepatutnya dikenakan kepada penyeludup bagi membendung gejala ini.

Menurut kajian oleh Tobacco & E-Cigaratte Survey Among Malaysia Adolescents (TECMA) 2016, penggunaan rokok di kalangan remaja (10-18 tahun) di Malaysia adalah seramai 524,232 orang dengan kadar prevalen 14.2% di mana 94.3% daripada mereka menghisap kurang daripada 10 batang sehari. Selain itu juga, data turut menunjukkan majoriti golongan remaja membeli rokok dengan harga kurang daripada RM 9. Ini menjelaskan kemampuan remaja untuk membeli rokok pada harga di bawah RM 9. Kerana itu tidak hairan ada tekanan daripada industri tembakau memperkenalkan penjualan rokok dalam bungkusan kecil atau kiddie pack supaya remaja mudah mendapatkannya.

Justeru itu, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa agar pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan mengambil serius isu penggunaan rokok tidak sah. I-Medik juga menyeru agar pengharaman penjualan rokok kiddie pack. Tekanan daripada industri tembakau memperkenalkan kiddie pack untuk membanteras penyeludupan rokok haram serta penggunaan rokok tidak sah bukanlah langkah penyelesaian menangani gejala rokok di negara ini.

I-Medik berpandangan Kempen Katakan Tidak Kepada Rokok anjuran KKM yang melibatkan pelajar sekolah dan remaja tidak gagal, perlu diteruskan dengan hebat kerana ia dapat membentuk kesedaran lebih awal. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited di dalam membendung amalan merokok serta mengawal tembakau dan produk tembakau. KKM telah mensasarkan penurunan prevalen merokok kepada 30% pada tahun 2025 dan seterusnya menuju ke penghujung permainan atau ‘End Game of Tobacco’ iaitu prevalen kurang dari 5% pada tahun 2045. Matlamat ini akan dicapai melalui program yang telah diaturkan menerusi aktiviti Generasi Bebas Amalan Merokok atau ‘Smoke Free Generation’ yang mensasarkan kanak-kanak yang lahir tahun 2009 dan ke atas.

Selain itu, pihak KKM juga melaksanakan operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) bagi melindungi kesihatan orang awam serta meningkatkan kesedaran orang awam dan para peniaga mengenai peruntukan-peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Menurut KKM, sebanyak 45,799 Notis 32B dan 23,531 kompoun telah dikeluarkan ke atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pada tahun 2017.

Dr Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim
Ketua Unit Kawalan Rokok & Vape
Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Leave a Reply