MENU

Comments (0) Kolumnis, Mesej

Remaja dan Bahaya Rokok: Fakta yang Anda Perlu Tahu

Tahukah anda kajian mendapati setiap seorang dari tiga pelajar lelaki sekolah menengah melaporkan pernah merokok sekurang-kurangnya sekali seumur hidup? Kajian terkini berhubung status kesihatan rakyat Malaysia menerusi National Health and Morbidity Survey 2015 telah memberi gambaran terhadap keseriusan isu budaya merokok di kalangan remaja Malaysia. Fakta yang kurang mendapat perhatian serius ini harus diberikan fokus yang selayaknya agar kita dapat melihat isu ini dari perspektif yang menyeluruh.

Berikut merupakan antara dapatan kajian semasa berhubung isu ini di Malaysia:

  • 22.8% (4,991,458) dari kalangan rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. 43 peratus dari kalangan lelaki merokok, sementara perokok wanita pada kadar yang lebih rendah iaitu 1.4 peratus.
  • Pada tahun 2015, 1 daripada 10 rakyat Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun merokok.
  • Perokok dikalangan pelajar lelaki sekolah menengah adalah 33.2 peratus.
  • Sebuah kajian di salah sebuah negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia menunjukkan 11.8 peratus dari kalangan pelajar sekolah rendah pernah terlibat dengan aktiviti merokok dan 3.8% dari kalangan mereka adalah perokok aktif.
  • Sebuah kajian yang dilakukan dikalangan pelajar sekolah menengah di tanah rancangan FELDA menunjukkan kadar pernah merokok yang lebih tinggi iaitu 42.9 peratus berbanding dapatan yang sama di kalangan pelajar Bandar/luar Bandar (20.3 peratus).
  • Tinjauan yang dibuat dikalangan remaja sekolah mengenai keinginan atau hasrat untuk merokok pada masa akan datang menunjukkan 10.7 peratus dari mereka memiliki hasrat tersebut.
  • Penggunaan rokok tanpa asap seperti e-cigarette telah meningkat secara mendadak dari 1.0 peratus pada tahun 2011 kepada 21 peratus pada 2015.

Mengapa Remaja Merokok?

Tidak ada apa yang luar biasa dengan jawapan berhubung sebab remaja hari ini cenderung kepada mencuba budaya merokok. Kajian kualitatif Al-Sadat dan Binns (2008) menunjukkan empat sebab utama – pengaruh rakan sebaya, pendedahan terhadap tabiat merokok dikalangan ibu/bapa, salah faham bahawa merokok dapatmengurangkan stress dan tekanan hidup serta anggapan bahawa merokok merupakan gaya hidup yang hebat. Kajian yang sama juga mendapati pengaruh media turut menyumbang secara tidak langsung kepada tabiat ini.

Kajian juga secara konsisten menunjukkan risiko merokok adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki, remaja yang dating dari kelompok sosioekonomi yang rendah, mempunyai ahli keluarga terdekat yang merokok, serta kefahaman yang kurang terhadap bahaya rokok.

Apa yang menarik, kajian oleh Naing et. Al (2009) menunjukkan pegangan agama yang kuat merupakan antara faktor yang penting dalam melindungi remaja dari terlibat dengan gejala merokok. Oleh itu, adalah tidak menghairankan apabila kajian lain juga mendapati pegangan terhadap agama merupakan antara pendorong seseorang berhenti dari tabiat merokok.

Pencegahan dan Rawatan

Merokok bukan sahaja terbukti sebagai pintu kepada pelbagai masalah kesihatan seperti kanser dan masalah jantung, bahkan American Psychiatric Association menggariskannya sebagai antara bentuk ketagihan (tobacco-related disorder). Menjadikan rokok sebagai penyelesaian kepada masalah tekanan dan stres dikalangan remaja juga menjadikan isu masalah mental dikalangan remaja tidak dapat diurus dengan baik.

Antara langkah praktikal pencegahan dan rawatan adalah seperti berikut:

  1. Peranan ibubapa dan ahli keluarga menjadi contoh dengan menolak budaya merokok dalam keluarga
  2. Pembentukan disiplin dan syakhsiah dari usia seawal mungkin. Ini kerana pengabaian terhadap didikan agama turut menyumbang kepada risiko budaya merokok dikalangan remaja
  3. Kawal pengaruh rakan sebaya dengan mendidik remaja memilih rakan dengan betul dari usia seawal mungkin
  4. Libatkan diri secara aktif dalam pendidikan kesihatan mengenai bahaya rokok pada peringkat keluarga
  5. Pastikan remaja mempunyai kaedah sihat dalam menangani stress dan tekanan hidup
  6. Kawal pengaruh media dalam menularkan budaya merokok dengan membina persepsi negatif terhadap budaya merokok.
  7. Dapatkan khidmat profesional sekiranya sukar memberhentikan diri dari tabuat merokok – klinik berhenti merokok di klinik-klinik kesihatan, terapi gantian nikotin dan talian Quitline berhenti merokok anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia.

Proses pembinaan generasi akan datang tidak harus terhalang dengan budaya-budaya tidak sihat yang merencatkan proses transformasi sesebuah negara. Tabiat merokok tidak mencerminkan identiti budaya dan agama kita, bahkan sebenarnya menjadi antara lambang kepada kelemahan sesebuah bangsa yang mudah terpengaruh dengan anasir yang tidak sihat. Ibubapa dan masyarakat secara umumnya dinasihatkan tidak memandang ringan isu ini melihat kepada peningkatan statistik semasa yang membimbangkan ini akan mencerminkan generasi yang akan terbentuk pada masa akan datang.

Dr Rozanizam Zakaria
MBBS (Adelaide), MMed(Psy)(USM)
Aktivis I-Medik

 

Rujukan

  • Institute For Public Health. National Health and Morbidity Survey 2015 – Report on Smoking Status Among Malaysian Adults. Kuala Lumpur; 2015.
  • Al-Sadat, N., & Binns, C. W. (2008). Exploring why girls smoke in Malaysia–a qualitative approach. Asia-Pacific Journal of Public Health/Asia-Pacific Academic Consortium for Public Health, 20, 6-14.
  • Naing NN, Ahmad Z, Musa R, Hamid FRA, Ghazali H, Bakar MHA. Factors related to smoking habits of male adolescents. Tob Induc Dis. 2004; 2(3): 133-40.
  • Norbanee TH, Norhayati MN, Norsa’adah B, Naing NN. Prevalence and factors influencing smoking amongst Malay primary school children in Tumpat, Kelantan. Southeast Asian J Trop Med Public Health 2006; 37(1): 230-5
  • Hock LK, Ghazali SM, Cheong KC, et al. Prevalence and factors associated with smoking intentions among non-smoking and smoking adolescents in Kota Tinggi, Johor, Malaysia. Asian Pacific J Cancer Prev 2014; 15: 4359-66
  • Lim KH, Sumarni MG, Kee CC, Norhamimah A, Wan Rozita WM, Amal NM. Prevalence of smoking habit and factors related to smoking and nicotine addiction among lower secondary school males. Malaysian J Public Heal Med 2010; 10(1): 28-37.
  • Ministry Of Health Malaysia. Institute for Public Health. The Third National Health and Morbidity Survey (NMHS III) 2006: executive summary. Kuala Lumpur, Malaysia: Ministry of Health Malaysia, 2008. Kuala Lumpur; 2006.
  • Hum, W. L. (2016). A Review of Smoking Research In Malaysia. Med J Malaysia, 71, 29.

Leave a Reply