Remaja Sihat, Jauhi Zina

KANGAR, 27 Februari- Ikatan Pengamal  Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik) cawangan Kangar mengorak langkah ke hadapan menganjurkan Kempen Remaja Sihat Aset Negara peringkat negeri Perlis buat pertama kalinya. Kempen tersebut dilancarkan pada 13 haribulan Februari dan melabuhkan tirainya pada hari kemuncak penutup kempen iaitu pada 27 haribulan Februari.

Matlamat utama Kempen Remaja Sihat Aset Negara diadakan adalah untuk memperkenalkan I-Medik sebagai satu wadah baru dalam mencari solusi dan pencetus kepada kerjasama semua pihak dalam memerangi gejala sosial yang semakin meruncing. Isu permasalahan zina yang semakin serius adalah masalah pokok kepada peningkatan  kes pembuangan bayi, kelahiran anak tidak sah taraf yang semakin bertambah dan terkini illegal abortion di pusat perubatan swasta. “Masyarakat perlu jelas dan diberi kesedaran tentang permasalahan masalah sosial yang semakin serius. Pelbagai implikasi yang akan timbul kelak apabila tiada pencegahan primer dilaksanakan”, ujar Pengerusi I-Medik Perlis, Dr Shahfi Fauzee ketika majlis pelancaran Kempen Remaja Sihat Aset Negara di Pejabat ISMA Perlis baru-baru ini.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tempoh kempen  adalah seperti “street dakwah’ dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis pada malam sambutan pasca Hari Kekasih, pengedaran risalah kempen Sayangi Diri Jauhi Zina di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi, pertandingan menulis sajak dan mencipta video kreatif, kuiz jom jauhi zina dan kaji selidik Kempen Remaja Sihat Aset Negara.

I-Medik selaku penganjur utama bersama-sama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Perlis dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Perlis telah berjaya menarik penyertaan seramai 1500 peserta pada hari kemuncak majlis penutup kempen yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Asmaiza binti Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping, Perlis bagi pihak Yang Berhormat Tuan Haji Jafperi bin Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis  bertempat di Dewan Warisan, Kangar. Beliau berucap,” Saya sangat berbesar hati dan berasa bangga program seumpama ini diadakan di negeri Perlis. Saya cukup risau dengan peningkatan kes zina dan kes pembuangan anak yang semakin teruk dari hari ke hari. Program ini sedikit sebanyak dapat memupuk kesedaran dan sikap ‘menjaga tepi kain orang’ perlu disemai semula dalam menangani masalah sosial yang semakin serius. Institusi keluarga perlu diperkukuhkan dan yang paling utama agama Islam mesti dijadikan sebagai satu cara hidup yang syumul”.

Hari kemuncak majlis penutup Kempen Remaja Sihat Aset Negara diserikan dengan Forum Sayangi Diri Jauhi Zina di sebelah pagi di mana panel jemputan terdiri daripada Dr Murizah Binti Mohd Zain, Pakar Perunding Reproduksi dan Perbidanan, Hospital Sultanah Bahiyah bersama-sama Tuan Badius Zaman Bin Ahmad, Timbalan Pendakwaraya Negeri Perlis. Forum tersebut dipengerusikan oleh saudara Nabil Fikri, salah seorang aktivis PEMBINA Perlis. Dr Murizah berjaya memikat hati peserta dengan mengupas permasalahan zina dari sudut kesihatan dan perubatan serta implikasi jangka masa panjang yang dihadapi  oleh seseorang yang bergelumang dengan zina. “Pelbagai penyakit kelamin boleh ditulari yang disebabkan oleh kuman syphilis, gonnorhea dan chlamydia tracomatis serta HIV; yang mana implikasi penyakit-penyakit ini sangatlah banyak termasuklah masalah kemandulan kesan jangka masa panjang walaupun setelah diberi rawatan. Maka pentingnya pencegahan primer yakni ilmu dan kesedaran serta kembali kepada pegangan agama yang mantap”, ujar beliau ketika dipinta ulas dari sudut perubatan. Beliau menambah lagi bahawa pencegahan sekunder seperti baby hatch, rumah perlindungan dan hukuman hanyalah solusi jangka masa pendek. Masyarakat perlu diajak untuk memperkukuh jati diri dan sama-sama berganding bahu membina cara hidup yang sihat.

Dr Murizah juga menekankan cabaran terbaru umat Islam di Malaysia adalah Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender (LGBT) yang sekarang ini disokong oleh COMANGO. Beliau menyeru para peserta menandatangani petisyen menentang usaha COMANGO dalam membawa LGBT ke Malaysia. Seterusnya, Timbalan Pendakwaraya, Tuan Badius Zaman Bin Ahmad mengupas isu salah laku remaja dari sudut perundangan negara termasuklah zina, rogol dan sumbang mahram yang mana pertambahan kes di mahkamah saban tahun amat membimbangkan. Ujar beliau lagi yang mempunyai pengalaman lebih sepuluh tahun di bidang pendakwaan, remaja yang terlibat dalam kes-keas sebegini seolah-olah tidak menampakkan sesalan walaupun telah mencemarkan maruah ibu bapa serta memusnahkan masa depan sendiri.

Sepanjang forum berlangsung, pelbagai pameran disajikan oleh badan NGO terlibat bersama-sama agensi kerajaan yang lain seperti I-Medik, PEMBINA, ISMA, Aman Palestin, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Unit Jenayah & Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM),  Tabung Darah Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Pada sebelah malamnya, forum yang bertajuk ‘Remaja versus Seks’ diadakan. Panel jemputan terdiri daripada Cikgu Noorzamri bin Ibrahim selaku Presiden Ikatan Guru-guru Muslimin Malaysia (i-Guru), Al Fadhil Ustaz Tuan Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Nor menjawat sebagai Pengurus Baitulmal negeri Perlis dan Dr. Yusni binti Yusuf, Pakar Perunding Psikiatri Kanak Kanak dan Remaja, Hospital Sultan Abdul Halim. Forum tersebut dipengerusikan oleh saudari  Farah Alina, tokoh Beliawanis PEMBINA 2012. Cikgu Noorzamri banyak mengupas tentang peranan ibu dan ayah dalam memantau aktiviti dan pergaulan anak-anak. Beliau juga menekankan tentang peranan sekolah dalam memberi input dan pengisian yang membina sahsiah pelajar.  Para pelajar perlu disibukkan dengan aktiviti bermanfaat dalam membina jati diri yang hebat.

Manakala ustaz Mohd Nazim banyak menekankan tentang ayat-ayat Al Quran dan hadis yang menceritakan tentang larangan menghampiri zina dan bahana yang akan ditimpakan kepada seseorang yang melakukan perbuatan yang dilaknat Allah. Dr Yusni Yusuf betah membicarakan perbincangan forum remaja versus seks dari sudut psikologi dan pendidikan seks. Beliau berkata peningkatan kes zina dan pembuangan bayi agak merisaukan. Beliau turut membawa statistik terkini Jabatan Pendaftaran Negara mengenai anak tidak saf taraf yang meningkat secara mendadak untuk lima tahun. Beliau banyak memberi nasihat khususnya kepada para pelajar tentang peranan mereka sebagai pelapis kepimpinan negara. Selain sikap mahu mencuba di kalangan remaja, pengaruh kawan juga antara faktor besar kepada permasalahan ini selain institusi keluarga yang rapuh. Beliau juga menasihati remaja agar menjauhi zina dengan kata-kata azimat, ‘’sesaat gembira, derita selamanya”, ujar beliau sebelum mengakhiri perbincangan.

Kempen Remaja Sihat Aset Negara yang dijalankan selama dua minggu telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama utuh dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jabatan Agama Islam Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jabatan Pembangunan Wanita, Majlis Keselamatan Negara, Yayasan Islam Perlis, IM4U foundation, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Kangar.

I-Medik Perlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau pun tidak langsung terutamanya kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran kempen ini  berlangsung. Setinggi-tinggi penghargaan dizahirkan kepada seluruh rakyat negeri Perlis yang hadir menyokong Kempen Remaja Sihat Aset Negara. Diharapkan program seumpama ini dapat diadakan dan diperluaskan lagi di masa akan datang.

Disediakan oleh: Dr Mohd Shahfi Fauzee bin Ismail,  Pengerusi I-Medik Perlis.

Leave a Comment