SAYANGI NIKMAT KESIHATAN ANDA

SAYANGI NIKMAT KESIHATAN ANDA

Kesihatan merupakan aset atau anugerah yang terlalu tinggi nilainya yang dikurniakan oleh ALLAH kepada setiap individu bergelar manusia. Namun begitu,  kesihatan adalah satu nikmat yang ramai manusia alpa untuk menghargainya sehinggalah ianya diuji dengan hilangnya nikmat tersebut seperti ditimpa sakit atau ditimpa musibah kemalangan yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh menjalankan aktiviti harian yang normal.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) mentakrifkan erti SIHAT itu sebagai ‘satu keadaan sempurna fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketika ketiadaan sakit’. Bagi manusia, untuk merasai sihat, seseorang itu perlu merasakan dirinya sihat dan tiada risiko dalaman atau luaran yang boleh menggangu kesihatannya.

 

STATISTIK KESIHATAN DI MALAYSIA

Tahukah anda, laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kira-kira 5.6 juta orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan manakala 3.3 juta individu lagi disahkan obes. Jumlah penghidap obesiti di Malaysia begitu besar jumlahnya dan setanding dengan Amerika Syarikat (AS).

Tahukah anda, statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada  Januari 2019 menyatakan bahawa 10,000 rakyat Malaysia yang mati setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan secara langsung dengan tabiat merokok.

Selain itu, statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa sejumlah 111,916  keseluruhan kes HIV yang telah dicatatkan di Malaysia dari tahun 1986  sehingga tahun 2016 di Malaysia.

Tahukah anda, bahawa merujuk kepada Laporan Kementerian Kesihatan 2017, rakyat negara ini mendapat penyakit jantung pada usia yang lebih muda iaitu pada umur 58 tahun berbanding rakyat Thailand (65 tahun), China (63 tahun), negara Barat (66 tahun) dan Kanada (68 tahun).

Tambahan, di Malaysia, kajian oleh Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan 2009 menunjukkan kadar bunuh diri masih lagi rendah (1.18 bagi setiap 100,000 penduduk). Namun begitu, ramai pakar berpendapat jumlah sebenar jauh lebih tinggi. Anggarannya, hampir 2,500 kes bunuh diri setiap tahun atau secara puratanya tujuh kes setiap hari.

Kesemua contoh diatas adalah sebahagian kesan daripada kurangnya kesedaran dalam menghargai nikmat kesihatan tidak kira dari segi pemakanan, masalah pengurusan emosi mahupun tabiat buruk individu seperti merokok.

 

KEPENTINGAN MENJAGA KESIHATAN

Kesihatan amat penting dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Kepentingan baik dari

segi rohani mahupun jasmani. Setiap insan perlu menjaga kesihatan diri agar kehidupan lebih sempurna dan terjamin. Harta yang melimpah tidak bermakna jika badan tidak sihat.

Agama Islam turut menganjurkan kepada semua umat manusia untuk menghargai nikmat kesihatan diri. Bertepatan dengan hadis nabi saw,Orang mu’min yang kuat lebih disukai oleh Allah berbanding orang mu’min yang lemah dan kata-kata pujangga Arab : “Akal yang selamat (sihat) datangnya daripada badan yang sihat”.

 

 

CARA MENJAGA KESIHATAN ANDA

 

Perkara yang perlu diutamakan ialah memilih makanan yang seimbang dan sihat . Pilihlah makanan yang banyak mempunyai zat yang diperlukan oleh tubuh badan seperti karbohidrat, protein, vitamin dan sebagainya. Elakkan makanan yang banyak mempunyai garam, lemak dan gula. Selain itu, senaman merupakan salah satu cara untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Bersenam tiga kali seminggu selama 20 minit setiap kali dipercayai dapat menjamin kesihatan diri. Peluh yang keluar ketika bersenam dapat mengeluarkan toksin dalam badan melancarkan pengaliran darah. Pengurusan emosi juga penting dalam membentuk kesihatan yang sejahtera. Berjumpalah dengan pakar jika anda menghadapi tekanan emosi yang boleh merosakkan diri anda jika ianya tidak dikawal dari mula.

Hindarilah diri anda daripada amalan-amalan negatif seperti merokok, menghisap dadah, mengambil minuman keras, aktiviti seks bebas dan sebagainya. Gejala-gejala ini banyak mendatangkan keburukan bukan sahaja terhadap kesihatan individu, malah mampu meruntuhkan insititusi kekeluargaan dan masyarakat. Oleh itu, kita perlulah mengamalkan cara hidup yang sihat kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

 

 

KESIMPULAN

 

Bersempena dengan Hari Kesihatan Sedunia 2019 bertemakan pada tahun ini iaitu ‘LIPUTAN KESIHATAN SEJAGAT: setiap orang, dimana sahaja’ dan slogan yang dilaungkan adalah ‘KESIHATAN UNTUK SEMUA’, kita seharusnya  mengambil kesempatan untuk mula lebih cakna dan sedar tentang kepentingan dalam menjaga kesihatan diri kita tidak kira dari segi mental, emosi dan fizikal supaya kita tidak tergolong menjadi sebahagian daripada statistik masalah kesihatan di Malaysia.

Di sini, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia cawangan Pahang mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua umat manusia supaya lebih menghargai kesihatan diri anda dan bersama-sama dalam menjaga kesihatan diri agar kita boleh menjadikan diri kita lebih bermanfaat kepada orang lain. Tambahan, I-Medik Pahang juga akan terus bersama-sama dengan kerajaan dalam usaha memberikan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan, bahaya tabiat merokok dan masalah sosial dikalangan remaja kepada seluruh masyarakat di Malaysia.

 

Disedikan oleh ,

Dr. Muhammad Faysal bin Tajurudin

Pengerusi

Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia I-Medik Pahang

Leave a Comment