Schizofrenia, Syurga dan Kasih Seorang Ibu

Seorang ibu datang bersama untuk temujanji anak gadisnya di klinik psikiatri. Mereka masuk ke bilik saya dan kemudian masing-masing mengambil tempat. Setia sang ibu ini tak pernah luntur mengiring anak perempuan tunggalnya ke klinik bertemu pakar psikiatri untuk rawatan susulan. Begitulah rutin saban kali sejak anaknya disahkan menghidap penyakit schizophrenia.

Kini anak gadisnya itu sudah stabil, namun beliau masih belum yakin sepenuhnya untuk kembali berdikari dari bayang sayap ibunya. Kemana sahaja dia pergi ibunya akan ada di sisi dek kerana bimbangnya ibu tadi kalau-kalau anaknya kembali sakit. Ibunya terlalu risau kalau-kalau episod anaknya mengamuk, tidak mahu makan dan meracau tak keruan berulang kembali.

Seusai berbincang tentang perkembangan kesihatan dan ubat, ibu tadi membuka bicara. Kisahnya berkitar pada rajuk hati mereka pada apa yang berlaku terhadap anak gadisnya itu.

“Kadang-kadang makcik terfikir, kalau tak jadi sakit ni, anak makcik ni tentu dah boleh bekerja, tolong makcik…”

“Ada juga kadang-kadang terlintas, lebih baik kalau Allah uji dia dapat penyakit kanser ke apa ke… Tak adalah seberat ini ujian kami. Mana taknya, orang kata anak saya gila, keturunan gila… Orang tak nak berkawan dengan dia.”

Pada detik yang sama dua beranak ini berpandangan dan saling menitiskan air mata.

“Saya pun tak tahu kenapa Allah bagi kat saya sakit ni… Kesian mak saya, dahlah ayah dah meninggal, dah tua kena jaga saya pula,” sambung si anak menyahut perasaan yang sama.

Saya yakin mereka berdua sangat mengerti liku yang mereka tempuh. Jauh sekali untuk bersangka yang mereka ingkar pada takdir. Namun sesekali duka yang melintas mesti disuarakan agar tak bersarang dalam hati.

“Makcik, Fatimah (bukan nama sebenar)… Kalaulah dunia ni habis dekat sini sahaja, maka benarlah sangkaan kita; Tuhan itu tak adil, tidak menyebelahi kita dan macam-macam lagi sangkaan. Tapi kita orang Islam yang percaya dunia ini hanyalah tempat persinggahan. Ada lagi yang lebih besar menunggu kita. Apa-apa yang Allah tak bagi pada kita di dunia ni, yakinlah Allah tangguhkan untuk masa yang lebih lama di Akhirat kelak,” saya mencelah dalam bibit-bibit kedukaan mereka.

“Allah bagi mengikut bahagian yang dia dah tetapkan. Ada yang kaya tapi anak derhaka, ada yang kerja hebat tapi isteri curang, ada yang dapat kanser, ada yang dapat kemalangan…” Sambung saya lagi.

“Itulah, mak cik selalu ingatkan Fatimah, Dia ni ahli syurga… Biarlah makcik jaga. Nanti dekat Akhirat dia pula tolong makcik.”

Kemudian keduanya berpandangan kemudian ketawa kecil. Agaknya bayangan bersama di syurga itu cukup menghiburkan mereka. Lupa sebentar pada perit yang mereka alami tika ini.

 

Itulah sebahagian kisah benar coretan kehidupan pesakit schizophrenia. Ia merupakan penyakit mental yang serius digejalai dengan tanda-tanda seperti halusinasi dan delusi. Kedua-dua gejala ini termasuk dalam gangguan psikosis di mana pesakit tidak dapat membezakan di antara realiti atau sebaliknya. Halusinasi merupakan gangguan persepsi yang tidak wujud seperti suara ghaib. Delusi pula adalah gangguan fikiran dalam bentuk kepercayaan yang tidak benar seperti paranoid atau sangsi terhadap orang lain.

Sebahagian besar kes skizofrenia adalah disebabkan faktor keturunan. Namun ada juga kes-kes yang disebabkan oleh faktor biologi lain seperti masalah kesihatan sewaktu proses kelahiran. Skizofrenia merupakan penyakit yang boleh dirawat dengan menggunakan ubatan dan rawatan terapi psikososial yang khusus.

Ramai pesakit skizofrenia dan keluarga mereka mengalami tekanan hidup akibat kesan langsung dan tidak langsung dari penyakit ini. Ada sebahagian yang tidak dapat meneruskan hidup dengan fungsi yang sepenuhnya akibat gangguan gejala penyakit. Ada juga yang menerima tekanan akibat stigma dan diskriminasi yang mereka alami.

Sokongan spiritual, seperti yang digambarkan dalam kisah ini merupakan antara aspek penting dalam perawatan, terutama dalam kes pesakit yang beragama. Kebergantungan mereka pada Tuhan memberikan kekuatan dalam bentuk yang tersendiri menghadapi ujian yang mereka hadapi.

Adalah menjadi tanggungjawab perawat untuk mengambil tahu akan kepentingan sokongan spiritual dalam perawatan pesakit mental. Ini penting agar rawatan yang diberikan bersifat holistik.

Dr Rozanizam Zakaria
Pakar Psikiatri dan Pensyarah UIAM
I-Medik Pahang

Leave a Comment