Seminar “From Zero To Hero” di MRSM Tumpat

TUMPAT, 18 November – Satu seminar “From Zero To Hero” anjuran bersama MRSM Tumpat, I-Medik Kelantan dan KRIM Kota Bharu telah diadakan hari ini bertempat di Pusat Sumber Pelajaran, MRSM Tumpat. Seminar yang berkonsepkan motivasi ini bertujuan mendedahkan para pelajar tentang perjalanan hidup manusia secara umum dan matlamat pelajar cemerlang secara khusus serta beberapa teknik untuk menetapkan sasaran seterusnya kaedah untuk mencapainya.

pelajar mendengar

Seminar dimulakan dengan perasmian oleh Cikgu Hanafi, Guru Kanan Ko-Kurikulum merangkap pemangku pengetua MRSM Tumpat dan diserikan dengan bacaan doa oleh wakil pelajar. Slot pertama seminar disampaikan oleh aktivis I-Medik Kelantan, Puan Hanis Sadikin yang merupakan pegawai farmasi Klinik Kesihatan Tumpat yang memberikan perkongsian dalam sesi “Sharing Session: Saya Anak MRSM”. Puan Hanis yang merupakan bekas pelajar MRSM Taiping serta graduan Universiti Otago berkongsi pengalaman beliau semasa belajar di MRSM Taiping dan di New Zealand sebagai perangsang semangat kepada para pelajar untuk berjaya dalam pelajaran.

Slot kedua diteruskan oleh Pengarah KRIM Kota Bharu merangkap AJK I-Medik Kelantan, Dr Wan Muhd Riduan yang bertajuk “Remaja: From Zero To Hero”. Slot ini banyak menekankan tentang halatuju kehidupan manusia secara umum dan matlamat serta peranan pelajar untuk menjadi ‘hero’. Dr Riduan juga menerangkan beberapa resepi untuk para pelajar terapkan dalam kehidupan mereka untuk menjadi ‘hero’.

photo_2015-11-18_23-11-51

Pada slot yang terakhir iaitu LDK: “My Dreams”, para pelajar diajarkan teknik untuk merangka impian untuk dicapai dalam tempoh unjuran setahun, lima tahun dan sepuluh tahun. Beberapa pelajar dipilih untuk membentangkan impian-impian mereka di hadapan rakan-rakan sebagai bukti keazaman mereka untuk mencapai impian masing-masing. Hampir kesemua pembentang mengunjurkan impian untuk mencapai kejayaan gemilang samada di dalam bidang akademik, kerjaya dan juga keluarga pada masa yang akan datang.

Kira-kira 120 pelajar tingkatan empat MRSM Tumpat terlibat dalam seminar ini. Diharap para pelajar yang menyertai seminar ini telah mendapat ilmu dan pengalaman berguna daripada para pembentang seterusnya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian untuk menjadi hero remaja Muslim sejati yang cemerlang seterusnya dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara di masa akan datang.

“Remaja Muslim Adalah Hero”

-I-Medik Kelantan-
18 November 2015.

Leave a Comment