IMEDIK

MEMBANGUN TAMADUN PERUBATAN ISLAM

Sukarelawan Banjir Dinasihat Ambil Langkah Berjaga Elak Penyakit Berjangkit

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Sukarelawan dan individu yang terlibat dengan kerja-kerja pasca banjir dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyakit berjangkit.

Setiausaha Agung Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Prof Dr Azizi Ayob berkata orang ramai yang berada di kawasan yang dilanda banjir berisiko mendapat penyakit berjangkit seperti cirit birit, jangkitan bakteria Escherichia Coli atau E.coli serta leptospirosis (penyakit kencing tikus).

“Selain mangsa banjir, sukarelawan dan individu yang terlibat juga mudah terkena penyakit yang berkaitan dengan alahan dan infeksi kulit iaitu gatal-gatal dan luka berdarah akibat terpijak paku, kayu tajam dan serpihan kaca yang tidak nampak di dalam air.

“Tidak dinafikan ada di kalangan mereka turut mengalami batuk dan selesema yang mengakibatkan jangkitan saluran pernafasan,” katanya selepas menjadi tetamu jemputan program ‘Dalam Radar’ Radio24 Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, orang ramai yang terlibat dengan banjir perlu menjaga kebersihan dengan memastikan mendapat sumber air bersih untuk diminum, serta meminimumkan penggunaan air tidak masak.

Azizi berkata, selain itu, orang ramai juga perlu mengurangkan mengunjungi kawasan yang mempunyai air yang masih berlopak dan bertakung semasa dan selepas banjir kerana dikhuatiri air tersebut telah tercemar dan menyebabkan jangkitan berlaku.

I-Medik merupakan badan bukan kerajaan (NGO), dianggotai oleh pengamal perubatan, pergigian, farmasi, jururawat dan pengamal kesihatan sains kesihatan bersekutu yang menjalankan program-program kemanusiaan dan khidmat masyarakat.

Media sebelum ini melaporkan Pejabat Media Perdana Menteri menerusi Twitternya memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak terkena penyakit bawaan air, E.Coli semasa melawat mangsa banjir baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penjagaan kebersihan diri dan persekitaran adalah penting bagi pencegahan penyakit berjangkit seperti keracunan makanan, cirit-birit dan leptospirosis.

— BERNAMA

 

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1098208

Leave a Reply