MENU

Comments (0) Aktiviti, Motivasi

Sukarelawan banjir perlukan persiapan fizikal, mental dan emosi

KUANTAN, 14 Dis. – Setiap sukarelawan banjir bukan sahaja perlukan persediaan dari segi fizikal, malah mereka juga perlu melakukan persediaan dari segi mental dan emosi kerana ia amat penting bagi mereka yang ingin menjadi sukarelawan.

Demikian menurut Dr. Norbaiyah Mohamed Bakrim, Setiausaha Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Pahang di Bengkel Persediaan Sukarelawan Banjir anjuran I-Medik Pahang dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan semalam.

photo_2015-12-15_12-39-39-601x1024

Dr. Norbaiyah yang juga merupakan salah seorang fasilitator bengkel tersebut turut berkongsi dengan para peserta betapa pentingnya untuk mereka melengkapkan diri dengan kemahiran asas kaunseling seperti persediaan untuk mendengar, memberi motivasi dan kata-kata semangat terutama apabila berinteraksi dengan kanak-kanak dan remaja yang berada dalam keadaan tertekan lantaran bencana banjir.

“Hakikatnya, bencana banjir bukan sekadar memusnahkan harta benda, malah ia juga turut memberi impak yang besar kepada emosi mangsa-mangsa banjir yang terlibat,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, seorang lagi fasilitator bengkel tersebut, Dr. Mohd Ghaddafi Wahab yang merupakan Ahli Jawatankuasa I-Medik Pahang juga telah berkongsi dengan para peserta tips-tips praktikal untuk memastikan kesihatan dan keselamatan sukarelawan tidak terjejas dalam keterujaan mereka untuk membantu mangsa banjir.

Salah seorang peserta bengkel, Nur Qamarina, pelajar perubatan Tahun Empat Kolej Universiti Shahputra ketika ditemui juga berharap dapat menimba pengalaman dan turun padang untuk membantu masyarakat dengan menjadi sukarelawan banjir I-Medik nanti.

Bengkel yang diadakan di Kuliyah Farmasi, UIAM ini telah mengumpulkan wakil-wakil sukarelawan yang terdiri daripada kalangan pelajar-pelajar dari UIAM, Kolej Universiti Shahputra dan juga Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Para peserta telah didedahkan dengan realiti sebenar suasana ketika banjir, tugasan-tugasan sebagai seorang sukarelawan banjir dan juga aspek-aspek yang perlu dititikberatkan oleh sukarelawan untuk mengelakkan diri mereka daripada trauma serta jangkitan penyakit.

photo_2015-12-15_12-39-29

“Adalah diharapkan, I-Medik dan PEMBINA dapat menjadi platform kepada golongan belia khususnya mahasiswa-mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Kuantan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu mangsa banjir pada tahun ini,” ujar Dr. Norbaiyah ketika penutup program bengkel tersebut.

Leave a Reply