MENU

e-cig
Tag Archive

1383

Bahaya kandungan cecair vape yang ramai tidak ketahui

Info Sihat

17/08/2017

Pada mulanya e-cigarette atau lebih dikenali dengan panggilan “vape” dianggap sebagai salah satu inisiatif untuk mengurangkan bahaya penggunaan rokok konvensional (tobacco harm reduction). Ianya dianggap sebagai alternatif yang kurang bahaya berbanding rokok konvensional kerana kandungan cecairnya yang mengandungi yang umum ketahui hanya mengandungi propylene glycol, glycerol, air suling, perisa dan nikotin. Propylene glycol dan glycerol dianggap selamat kerana ianya banyak digunakan dalam industri pembuatan makanan dan diakui selamat oleh badan dan institusi yang mengawal selia industri pemakanan.

Namun, kajian terkini berkenaan perisa yang terkandung di dalam cecair vape dikhuatiri menghasilkan bahan kimia toksik yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna vape [Andrey Khlystov, American Chemical Society 2016]. Penghasilan bahan kimia toksik ini dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu suhu, jenis, umur pengunaan alatan. Penguraian haba perisa telah menghasilkan bahan toksik yang dikenali sebahai aldehyde atau lebih spesifik bahan kimia yang dikenali sebagai acrolein dan formaldehyde.

Sumber: Berkeley Lab

Perlu diingat yang walaupun propylene glycol dan glycerol selamat digunakan untuk dimakan, namun cecair vape bukannya diminum, tetapi dipanaskan untuk menghasilkan wap. Wap yang dihasilkan ini dikhuatiri mengandungi sebanyak 31 bahan kimia berbahaya [Hugo Destaillats, Berkeley Lab 2016].

Justeru itu, para perokok diingatkan bahawa tiada alternatif lain selain dari berhenti merokok untuk menjaga kesihatan. Bagi bukan perokok, menggunakan vape bukanlah satu tindakan bijak malah ianya langsung tidak melambangkan anda ini mengikut ‘trend’ terkini. Rokok satu pembaziran, vape pula tiada kurangnya.

Dr. Muhammad Ihsan Bin Suhaidi
Doktor Kesihatan Pekerjaan
I-Medik Pulau Pinang

Pautan rujukan:

  1. http://pubs.acs.org/doi/abs/10.1021/acs.est.6b05145
  2. http://newscenter.lbl.gov/2016/07/27/e-cigarettes-emit-harmful-chemicals-emit-others/

 

Read article

1998

I-Medik Kelantan menyokong penuh pengharaman penjualan vape dan e-rokok di Kelantan

Info Sihat, Kolumnis

07/12/2015

I-Medik (Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia) cawangan Kelantan menyokong penuh cadangan pengharaman penjualan e-rokok termasuklah vape di negeri Kelantan. Ini berikutan vape mempunyai implikasi yang hampir sama dengan rokok dan mampu memudaratkan kesihatan penggunanya.

Budaya penggunaan vape dan e-rokok yang tidak dibendung dari awal berpotensi menular bukan sahaja kepada  golongan muda, bahkan kepada peringkat kanak-kanak dan wanita.

Adalah juga dikhuatiri pengusaha vape yang tidak bertanggungjawab mencampurkan bahan-bahan terlarang seperti dadah atau ganja ke dalam cecair vape yang akan menyebabkan ketagihan lain dan mampu memberi kesan yang memudaratkan.

Kita seharusnya mengikut jejak langkah negara-negara jiran seperti Singapura & Thailand yang sudah pun mengharamkan penjualan vape. Malah terdapat saranan daripada W.H.O (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) untuk menggalakkan negara anggotanya termasuklah Malaysia untuk menghentikan penjualan dan penggunaan vape.

Statistik barah paru-paru di negeri Kelantan

Kebanyakkan vape dan e-rokok mempunyai nikotin sebagai salah satu daripada kandungan utamanya. Sekiranya diekstrapolasikan implikasi nikotin di dalam rokok terhadap vape dan e-rokok pada jangka panjang, ia mampu menyebabkan barah paru-paru sama seperti rokok.

Barah paru-paru

Barah paru-paru

Statistik menunjukkan 87% daripada barah paru-paru berlaku dikalangan perokok. Secara purata, seorang perokok mempunyai 10 kali ganda risiko menghidap barah paru-paru berbanding seseorang yang tidak merokok. Manakala seorang perokok tegar (merokok lebih daripada 40 batang rokok sehari) mempunyai 60 kali ganda risiko menghidap barah paru-paru. Tambahan pula, wanita mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi terhadap karsinogen pada nikotin.

Data daripada Kelantan Cancer Registry Report menunjukkan barah paru-paru menduduki tangga teratas sebagai barah yang paling kerap dihidapi oleh lelaki dengan sebanyak 310 kes direkodkan daripada tahun 2004 ke 2008. Jumlah kes ini lebih tinggi daripada jumlah yang direkodkan 5 tahun sebelumnya.

Barah paru-paru daripada pemeriksaan mikroskopik

Barah paru-paru daripada pemeriksaan mikroskopik

Kebanyakan kes barah paru-paru dikesan berlaku pada pesakit yang lebih muda berbanding statistik sebelum ini iaitu 50 tahun ke atas. Lebih menyedihkan, separuh daripada pesakit baru kanser paru-paru sudah berada pada tahap 4 sewaktu mula di kesan.

Bagi wanita di negeri Kelantan pula, barah paru-paru merupakan barah ke-6 paling kerap dihidapi selepas barah payudara, ovari, pangkal rahim, usus dan kelenjar thyroid.

Kajian juga menunjukkan merokok boleh menyebabkan barah mulut, pharynx, esofagus, pangkal rahim, pundi kencing dan buah pinggang.

Melihat kepada fakta diatas, apakah kita mampu lagi tersenyum dan membenarkan penggunaan vape dan e-rokok di negeri ini? Marilah kita menjadi rakyat yang bijak dengan menyokong usaha murni kerajaan negeri mengharamkam penjualan dan pengunaan vape dan e-rokok.

Keputusan muktamad penjualan vape akan diketahui pada 16 Disember nanti seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan & Alam Sekitar Negeri di mesyuarat exco negeri pada 2 Disember lalu.

 

dr-aniza

Dr.Aniza binti Hassan
Pemangku Pengerusi
I-Medik Kelantan
Pakar Patologi (Kajitisu), HRPZII

Read article