MENU

kemurungan
Tag Archive

3235

Tular: Bentuk Baru Buli Siber

Kolumnis

08/02/2018

Sememangnya sifat semulajadi manusia menggemari sesuatu yang mengujakan, melucukan ataupun menyentuh emosi. Sifat ini biasanya disusuli dengan tolakan yang kuat untuk menyebarkan dan menghebahkannya akibat keterujaan untuk berkongsi perasaan yang sama. Mungkin di sinilah bermulanya kebanyakkan video, gambar dan cerita yang  tular dalam masyarakat harini. Kewujudan alam tanpa sempadan atas nama internet, media sosial dan seangkatan dengannya pula menjadi katalis bagi fenomena ini.

Minggu-minggu awal persekolahan ini media sosial dihujani dengan video-video lucu gelagat anak murid di sekolah. Kebanyakkannya datang dengan tema yang kononnya lucu dan menghiburkan ditambah perisa dengan coretan-coretan jenaka. Termasuklah video kanak-kanak yang gagal membaca dengan betul, menangis di kelas, dan mengungkap kata-kata yang melucukan bagi sesetengah dewasa. Tidak kira yang siapa yang merakam atau menyebarkannya, apa yang kita tahu ialah ianya telah tular ke segenap kumpulan-kumpulan media sosial dan laman-laman web seperti Facebook, twitter dan sebagainya. Ianya disambut dengan senyuman, tawa dan akhirnya kembali tular.

Namun sisi lain fenomena ini yang sering kita terlepas pandang ialah akibat dan kesannya kepada mangsa yang dirakam. Dalam kes ini, kanak-kanak itu sendiri. Perbuatan merakam dan menyebar tanpa izin itu sendiri bukan sahaja menyalahi sempadan privasi individu malah lebih teruk mengesani mereka secara langsung. Dimalukan, menjadi bahan tawa dan diejekan merupakan komplikasi yang lumrah hasil tangan manusia itu sendiri. Apa yang lebih malang, semua ini akan kekal dalam simpanan alam siber sehingga kanak-kanak ini dewasa.

Inilah bentuk baru buli siber yang jelas, sebagaimana yang digariskan dalam definisi buli siber itu sendiri. Raskauskas dan Stolz (2007) mendefinisikan buli dalam kategori ini sebagai sebarang serangan bukan fizikal yang termasuk menghina, mengejek, menipu, mempersenda, menyebar berita palsu atau mengancam seseorang menggunakan medium siber. Nyata dalam kes ini, pembulian berlaku tanpa segan silu dalam bentuk memalukan mangsa, tidak kira apa jua niat pembuli tersebut. Sekalipun tidak ada sebarang kecederaan fizikal yang ditinggalkan dalam kes ini, apa yang nyata adalah kajian secara konsisten menunjukkan buli siber boleh memberi kesan yang lebih serius berbanding fizikal. Ini termasuk menggangu perkembangan emosi kanak-kanak, menyebabkan rasa rendah diri dan termasuklah risiko mengalami masalah mental yang serius seperti kemurungan dan keinginan untuk membunuh diri.

Peningkatan kes-kes masalah mental dan bunuh diri oleh mangsa buli siber di luar negara juga dikhuatiri akan merebak ke Malaysia akibat fenomena yang sama. Ini tidak menghairankan memandangkan laporan Kajian Kebangsaan Mengenai Keselamatan Siber Sekolah di Malaysia sendiri menunjukkan lebih daripada 70 peratus pelajar sekolah, berusia antara 13 hingga 15 tahun, terlibat dalam buli siber. Kajian oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pada tahun 2017 pula menunjukkan hampir 40 peratus belia berusi 19 hingga 30 tahun mengaku pernah menjadi mangsa buli siber.

Teknologi seharusnya menjadi alat pemacu pembangunan manusia dan bukannya pemusnah kepada nilai kemanusian. Garis panduan dan etika manusia jelas menggariskan kepentingan menjauhi sifat merendah-rendahkan orang lain. Seperti dalam surah Al-Hujurat, ayat 11:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.” (QS. Al-Hujurat: 11)

Kes buli siber dalam bentuk penyeberan keaiban kanak-kanak dan pelajar sekolah seharusnya mendapat perhatian serius pihak berkuasa bagi mengelakkan ianya berulang. Sekolah bukan sekadar medan perkembangan kognitif dan akademik kanak-kanak. Ia juga merupakan tempat berlakunya proses perkembangan sosial, emosi dan psikologi kanak-kanak. Sekolah juga harus menjadi tempat yang meraikan kepelbagaian perkembangan kanak-kanak yang unik temasuk anak-anak yang mengalami masalah gangguan perkembangan neuro seperti autisme dan ADHD. Apabila mereka terdedah kepada kecelaruan akibat kealpaan sebahagian kecil dewasa yang tidak bertanggungjawab, maka kita perlu mengambil tindakan memperbaiki keadaan ini. Semua pihak perlu mengambil inisitif menghentikan budaya penyebaran perkara yang tidak positif seperti ini di dalam media sosial.

 

Dr Rozanizam Zakaria,
Pensyarah dan Pakar Psikiatri,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
I-Medik Pahang

 

Rujukan:

Balakrishnan, V. (2015). Cyberbullying among young adults in Malaysia: The roles of gender, age and Internet frequency. Computers in Human Behavior, 46, 149-157.

Lai, C. S., Mohamad, M. M., Lee, M. F., Salleh, K. M., Sulaiman, N. L., Rosli, D. I., & Chang, W. V. (2017). Prevalence of Cyberbullying among Students in Malaysian Higher Learning Institutions. Advanced Science Letters, 23(2), 781-784.

Kowalski, R. M., & Limber, S. P. (2013). Psychological, physical, and academic correlates of cyberbullying and traditional bullying. Journal of Adolescent Health, 53(1), S13-S20.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/skmm-terima-38-kes-aduan-kes-buli-siber-dalam-tempoh-11-bulan-tahun-ini-1.548823#ixzz55XS0iwxB

Read article

2499

Apabila Wanita Menjadi Mangsa Dadah

Kolumnis, Utama

10/01/2018

Isu wanita menjadi mangsa dadah tidak banyak dikupas dengan mendalam di paparan media sebelum ini. Mungkinkah kerana masyarakat memandang ia sebagai satu isu retorik? Atau mungkin kerana penagihan dadah lebih sinonim dengan kaum lelaki. Statistik yang dikeluarkan oleh AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) menunjukkan peningkatan penagihan dadah dalam kalangan wanita daripada 1.8% pada tahun 2009 kepada 3.8% pada tahun 2015. Malah terbaru kisah wanita beranak lapan yang ditahan berulangkali akibat dadah telah mendapat liputan berita. Jelas, ia adalah satu tanda bahawa isu ini semakin serius dan membarah dalam masyarakat kita.

Walaupun mengikut statistik wanita adalah minoriti dalam kalangan penagih dadah tetapi banyak kajian telah membuktikan wanita mempunyai risiko lebih tinggi berbanding lelaki dalam mendapat kesan buruk dan komplikasi akibat penagihan. Wanita sebagai bekas penagih juga berdepan dengan konflik dan stigma masyarakat yang lebih kuat berbanding lelaki. Kurangnya sistem sokongan, pantauan berterusan selepas proses pemulihan menyebabkan mereka kembali menagih dadah. Benar, tidak mudah untuk merawat masalah ini!

Kita harus sedari bahawa wanita adalah tunjang keharmonian dan kesejahteraan sesebuah keluarga dan masyarakat. Ibarat pepatah, rosak wanita maka tumbanglah negara.  Permasalahan wanita di dalam isu dadah ini harus dilihat sebagai satu ancaman kepada masa depan negara.  Tanggungjawab sebagai ibu dan sebagai isteri terjejas teruk bila wanita bergelumang dengan dadah, melahirkan anak-anak yang tidak mendapat sentuhan ibu yang sewajarnya, terdedah kepada masalah kebejatan sosial, pelacuran dan penagihan dadah itu sendiri. Masalah sosial kita akan membiak sekiranya isu ini terus dibiarkan berlarutan.

Dari aspek kesihatan, wanita yang mengambil dadah lebih berisiko menghidap masalah kesihatan berbanding penagih lelaki. Satu kajian yang dilakukan oleh Gilchrist di Sepanyol pada 2011 membuktikan penagih wanita cenderung untuk mendapat penyakit psikiatri seperti kemurungan dan psikosis, malah juga jauh lebih mudah dijangkiti HIV berbanding lelaki. Kemurungan yang dihadapi juga lebih sukar untuk dirawat kerana berkait rapat dengan kesan dadah yang telah mengubah keseimbangan hormon di dalam otak mereka. Tidak juga dilupakan beberapa kes yang dilaporkan diluar negara wanita mengalami kemurungan selepas bersalin juga berpunca daripada penagihan dadah.

Bagi anak yang dilahirkan oleh ibu yang mengambil dadah pula mereka amat berisiko mendapat kesan daripada dadah tersebut dan boleh membawa maut, gejala ini disebut “Neonatal Abstinence Syndrome”. Di satu sudut yang lain, Margot Sunderland penulis buku “The Science of Parenting” menerangkan kesan kritikal yang berlaku antara hubungan penagih wanita dan anak yang baru dilahirkan. Kebanyakan ibu ini akan mengalami kesukaran untuk menangani anak kecil kesan daripada ketidakseimbangan emosi dan kognitif mereka daripada penagihan dadah. Hasilnya, perkembangan otak dan emosi anak terbantut dan menjadi negatif. Anak dibesarkan dalam keadaan terabai yang seterusnya mengesani psikologi kanak-kanak ini sehingga sukar untuk mengawal kemarahan, rasa tidak puas hati, sikap agresif dan kurang perasaan empati. Semua ini adalah antara penyebab mengapa anak-anak yang lahir dalam latar belakang gelap begini mudah terdedah kepada masalah sosial seperti buli, penyalahgunaan dadah, bunuh, rogol dan sebagainya. Semestinya semua ini akan memberi impak kepada kesihatan umum masyarakat dan menambah kos rawatan dan liabiliti kepada negara dan masyarakat.

Sumber gambar dar mStar

Mengapa wanita terlibat dengan dadah? Sebagai seorang wanita saya juga sering melontarkan persoalan ini. Mengenali fitrah wanita yang berjiwa halus dan kurang cenderung kepada aktiviti berisiko, dapat disimpulkan bahawa wanita terlibat dengan dadah kerana faktor-faktor kritikal yang sangat mempengaruhi jiwa dan kehidupan mereka. Kajian terdahulu berjaya membuktikan kemiskinan, tekanan hidup dan kancah pelacuran merupakan faktor terbesar yang menjerumus wanita ke dalam kancah dadah. Namun di dunia moden hari ini memperihatkan kita trend terbaru di mana berlakunya peningkatan bilangan penagih dadah di kalangan wanita elit dan berpelajaran tinggi. Tidak ketinggalan peratusan yang meningkat dari kalangan remaja dan belia. Jelas, jika dahulu ramai wanita terlibat secara ‘paksa rela’ dek kepayahan hidup, membesar didalam kelompok pelacuran & dadah, namun hari ini ramai juga wanita yang merelakan diri untuk memilih dadah!  Dunia moden telah mengubah dadah sebagai entiti mudah diperolehi, tidak berbahaya dan  jalan pintas kepada melepaskan tekanan hidup. Remaja & belia seawal usia telah terdedah dengan penagihan gam, pil ecstasy di pusat hiburan. Malah satu trend yang lebih merisaukan adalah ada segelintir wanita menggunakan ecstasy sebagai pil ‘langsing’ dan dadah sebagai modal kecantikan diri. (Marican, Mohamed & Rosnah Ismail (2007) )

Rawatan dan pencegahan harus diambil dengan segera untuk menyelamatkan generasi wanita kita hari ini. Amat menggerunkan bila memikirkan wanita muda kita hari ini semakin ramai berjinak-jinak dengan dadah, mampukah mereka keluar dari kancah penagihan ini? Bagaimana dengan generasi anak-anak yang lahir kemudiannya? Masalah rumahtangga yang bercerai berai, pengabaian anak-anak, dan seterusnya anak-anak bergelumang dengan masalah buli, hidu gam, dadah, dan kes bunuh..Apakah ini yang kita mahukan dalam masyarakat kita nanti?

Persoalannya dimana kita harus bermula. Jelas, tidak ada satu jalan yang efisien dan mudah untuk kita laksanakan. Ia adalah peranan setiap dari kita bukan hanya kerajaan, NGO dan badan berkuasa. Peningkatan statistik menunjukkan kita tidak boleh lagi bergantung kepada langkah pembasmian dari kerajaan dan badan berkuasa semata, tetapi kita sebagai ahli masyarakat harus memainkan peranan yang lebih serius.  Satu pendekatan holistik harus dimainkan oleh semua. Sebagai individu, kita harus menyedari keseriusan masalah ini. Ibu bapa harus benar-benar berfungsi dan mendekati anak-anak. Penekanan aspek agama adalah kunci kepada ibu permasalahan kita, ajarlah anak untuk solat dan sentiasa berbalik kepada solat dan sabar dalam mencari ketenangan hati dalam berhadapan dengan tekanan hidup. Selari dengan firman Allah s.w.t.,

“Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat”- surah Al Baqarah ayat 45.

Sebagai ahli masyarakat, kita juga harus memainkan peranan. Berhentilah mendokong seks bebas, pesta bebas, kelab-kelab hiburan dan aktiviti berisiko yang lain seperti LGBT, rokok, mengambilan ketum dan sebagainya. Buat para wanita, libatkan diri anda dengan aktiviti yang produktif, kumpulan yang membina diri dan hidup positif. Dalam waktu yang sama kita mengharapkan sistem pemulihan yang lebih ekslusif & berfokus kepada para wanita. Sistem sokongan untuk membantu bekas penagih memulakan hidup, rawatan dan sokongan psikologi untuk menghindari “post addiction depression” & “relapse”. Kita harus mengubah stigma kepada bekas penagih dan membina sistem sokongan yang lebih membantu.

Ingatlah, pemodenan negara tidak seharusnya menenggelamkan masyarakat kita dalam gelumang kebejatan sosial. Pesta bebas, parti, kelab hiburan bukanlah kayu ukur kepada urbanisasi masyarakat, sebaliknya kekuatan jati diri sebagai ahli timur yang berprinsip, bermaruah dan kuat spiritual, emosi dan intelek adalah kunci utama kepada pembangunan sesebuah tamadun. Hindari gaya hidup berisiko, usah dekati dadah, dan marilah menjadi masyarakat bergaya hidup sihat!

Dr. Nadiah Binti Norudin
Unit Kawalan Ketagihan Dadah I-Medik

 

Rujukan:

  1. Mohamed Harith, Yarina Binti Ahmad (dr), Sitizulaikhamustapha, 2017; Women And Drug Abuse In Malaysia: A Marginalized Clients Of Drugs Treatment And Rehabilitation, International Journal For Studies On Children, Women, Elderly And Disabled, Publisher International Journal of Children, Women, Elderly and Disable People (IJCWED eISSN 0128-309X), pageno : 40, vol : 1,issues : 1
  2. Lori E. Ross and Cindy-Lee Dennis. Journal of Women’s Health. April 2009, 18(4): 475-486.https://doi.org/10.1089/jwh.2008.0953
  3. Quinlivan, J. & Evans, S. Arch Womens Ment Health (2005) 8: 191. “Impact of domestic violence and drug abuse in pregnancy on maternal attachment and infant temperament in teenage mothers in the setting of best clinical practice” https://doi.org/10.1007/s00737-005-0079-7
  4. The prevalence of postpartum depression among women with substance use, an abuse history, or chronic illness: a systematic review: Citation. Ross LE, Dennis CL.
  5. Agensi Anti Dadah Kebangsaan. (2016).Laporan tahunan dadah 2015. Retrieved 2016,from http://www.adk.gov.my/html/ laporan dadah/2015/ Laporan %20tahunan %20Dadah %%202015.pdf Agensi Anti Dadah Kebangsaan. (2015). Laporan tahunan dadah 2014. Retrieved 2015,from http://www.adk.gov.my/html/ laporan dadah/2014 /Laporan %20tahunan %20Dadah%%202014.pdf
  6. Margot Sunderland; “ The Science of Parenting”; 2nd version published in 2016
  7. Gail Gilchrist, Alicia Blazquez and Marta Torrens, ‘Psychiatric, Behavioral and Social Risk Factors for HIV Infection Among Female Drug Users’ (2011) 15(8) AIDS and Behavior 1834

Read article