MENU

merokok
Tag Archive

145

Hijrah: Azam Kesihatan

Info Sihat, Motivasi

30/09/2017

Tidak terlambat untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada sekalian umat Islam. Pada kebiasaannya, Awal Muharam akan dijadikan sebagai titik mula bagi menetapkan azam tahunan bagi sesetengah umat Islam untuk berhijrah kepada keadaan yang lebih baik.

Oleh sebab itu, boleh juga kita cuba menambah di dalam azam hijrah tahun ini kandungan azam yang berbentuk kesihatan. Hal demikian kerana penjagaan kesihatan juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab agama yang dituntut.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di dalam hadis lain: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW juga pernah bersabda: “Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Doa Rasulullah SAW yang sering dibaca di dalam Al-Ma’thurat: “Ya Allah, sihatkanlah badanku, Ya Allah sihatkanlah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku.”

Tokoh dakwah terkenal, Imam Hassan Al-Banna yang mengasaskan pertubuhan dakwah Ikhwan Muslimin di Mesir pernah menasihati ahlinya agar melengkapkan diri dengan ciri-ciri peribadi muslim yang salah satunya ialah “tubuh badan yang kuat”. Beliau menasihati ahlinya (umat Islam umumnya) supaya melakukan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh, menjauhkan pengambilan teh dan kopi, serta tidak makan secara berlebihan.

Hanya dengan tubuh badan yang sihat dan kuat, kita akan mampu menunaikan tanggungjawab agama. Di dalam kaedah feqah ada menyebut: “Apa-apa yang tidak sempurna sesuatu perkara wajib kecuali dengannya, maka hal itu menjadi wajib”. Penunaian tanggungjawab agama hanya dapat disempurnakan dengan tubuh badan yang sihat.

CADANGAN PERTAMA bagi azam kesihatan untuk tahun hijrah kali ini ialah mengamalkan gaya hidup yang sihat. Perkara ini meliputi:

i. Mengamalkan pemakanan sihat

  • Seperti rendah kalori dan lemak tepu, kurang garam, tinggi kandungan serat, rendah glycaemic index (GI), mengurangkan pengambilan minuman bergula tinggi.

ii. Kerap bersenam

  • Individu yang beriadah secara sederhana sebanyak 150 minit seminggu dilaporkan kurang berisiko mendapat penyakit jantung sebanyak 14% berbanding mereka yang tidak beriadah.
  • Bagi mereka yang sihat, kerap melakukan aktiviti fizikal dapat mengurangkan risiko daripada menghidap penyakit-penyakit yang menyebabkan masalah kardiovaskular sebanyak 20%-30%.
  • Aktiviti seperti berjalan, berjoging, dapat menurunkan tekanan darah sebanyak 13/18mmHg (SBP/DBP)

iii. Berhenti merokok

  • Amalan merokok berisiko meningkatkan kebarangkalian sebanyak 2-4 kali menyebabkan penyakit kardiovaskular berbanding dengan mereka yang tidak merokok.
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 Pusat Islam Kuala Lumpur pada 23 Mac 1995 telah membincangkan isu Merokok Dari Pandangan Islam dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

“Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan”.

  • Bagaimana pula dengan rokok elektronik atau vape? Laporan terbaru US Surgeon General melaporkan remaja yang terdedah kepada nikotin akan menyebabkan ketagihan dan membahayakan perkembangan otak mereka.

iv. Mengekalkan berat badan pada tahap ideal

  • Berat badan ideal (BMI 18.5-22.9), ukur lilit pinggang (lelaki <90cm, wanita <80cm). Obesiti (BMI >27.4)
  • Obesiti meningkatkan risiko kematian disebabkan oleh penyakit jantung sebanyak 50% bagi wanita dan 60% bagi lelaki.
  • Pengurangan berat badan sebanyak 5-10% dapat menurunkan tekanan darah, mengawal paras gula dan lemak dalam darah dan kehidupan akan lebih berkualiti.

v. Faktor diet dan gaya hidup seperti merokok, kurang melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan alkohol, akan menyumbang kepada faktor kardiovaskular seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis dan tinggi paras kolesterol dalam darah sebanyak 70%. Juga kesemuanya menyumbang kepada lebih 95% serangan jantung.

CADANGAN KEDUA ialah menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala.

  • Pemeriksaan kesihatan bertujuan untuk mengesan penyakit lebih awal supaya boleh diberi rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi.
  • Bagi mereka yang sihat dan tidak mempunyai risiko, ujian saringan untuk penyakit kencing manis harus dilakukan semenjak umur 30 tahun. Jika keputusan normal, ujian boleh dilakukan sekali pada setiap tahun.

Pemeriksaan kesihatan tidak mengira usia

CADANGAN KETIGA ialah bagi mereka yang telah menghidap sebarang penyakit, berazam untuk mematuhi temujanji kesihatan, berdisiplin memakan ubat-ubatan dan mematuhi nasihat doktor.

  • Mematuhi sepenuhnya pengambilan ubat pencegah penyakit kardiovaskular (aspirin, ubat darah tinggi dan ubat penurun kolesterol) dapat menurunkan kebarangkalian serangan penyakit kardiovaskular kali pertama atau kali kedua sebanyak 80%.
  • Lebih lama tempoh interaksi antara pembimbing dan pesakit, penurunan A1C (kandungan gula dalam darah selama 3 bulan) akan lebih baik. Pembimbing di sini boleh jadi merupakan seorang doktor, ahli farmasi, jururawat diabetes, dan pakar pemakanan.

Bagi mereka yang mengimani kesempurnaan Islam, mereka pasti tidak akan mengasingkan kepentingan penjagaan kesihatan daripada kesempurnaan agama ini. Tubuh badan merupakan amanah daripada Allah yang harus dijaga seperti amanah-amanah lain. Muslim yang mempunyai tubuh badan yang sihat akan melahirkan umat yang kuat. Semoga tahun 1439 Hijrah merupakan tahun yang lebih baik untuk kita semua. Insya-Allah.

Dr Mohamad Azrul Azly Bin Zarul Fu’ad
Pegawai Perubatan Hospital Selama, Perak
Ahli I-Medik Perak

 

Rujukan:

  1. Risalah Taalim Imam Hassan Al-Banna
  2. Clinical Practice Guidelines On Primary And Secondary Prevention Of Cardiovascular Disease 2017, KKM.
  3. Clinical Practice Guidelines On Management Of Hypertension 4th Edition, KKM.
  4. Clinical Practice Guidelines On Management OF Type 2 Diabetes Mellitus 5th Edition, KKM
  5. Kenyataan Media JAKIM Mengenai Hukum Merokok Dari Pandangan Islam Pada 25 Julai 2011.

Read article

175

Merokok, Pekerja, Majikan & Penjimatan Kos

Kolumnis, Mesej

18/08/2017

FAKTA: Merokok merupakan salah satu faktor risiko utama kepada banyak penyakit yang boleh dicegah seperti serangan jantung, angin ahmar, penyakit peparu yang seterusnya boleh menyebabkan kematian. Bahan kimia nikotin yang menyebabkan ketagihan kepada perokok untuk terus merokok ini telah membawa kepada kematian sebanyak 5.4 juta orang seluruh dunia akibat daripada merokok1.

Imej dari Google

KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Tak perlu perlu jauh, anda cuba tanya dalam kalangan ahli keluarga anda sendiri, yang mana ada sakit jantung, masalah penat (peparu), cuba tanya hisap rokok tak?

KOS SECARA LANGSUNG: Kita tahu bahawa kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia telah membelanjakan berbilion ringgit untuk rawatan penyakit yang berkaitan dengan merokok. Statistik menunjukkan bahawa pada 2006, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM 3.5 bilion untuk rawatan 3 penyakit utama berkaitan rokok. Ini dipanggil kesan langsung akibat merokok2. Ya tuan-tuan dan puan-puan, itu angka pada tahun 2006, dan jika mengikut jangkaan, pastinya angka semakin meningkat dari tahun ke tahun ditambah pula dengan kesesakan ekonomi pada masa sekarang.

KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Kesan langsung pada ekonomi poket anda macam mana? Rokok punya asap, poket jadi nipis.

KOS TIDAK LANGSUNG: Apa yang masyarakat kurang peka adalah kesan tidak langsung akibat merokok seperti penurunan produktiviti dan kehilangan sumber pendapatan akibat jatuh sakit dan tidak boleh bekerja disebabkan kesan rokok. Pengiraan kos ini adalah lebih rumit berbanding pengiraan kos secara langsung seperti di atas. Kita ambil  contoh di mana seorang pekerja yang dibayar gaji/upah sebanyak RM200 sehari untuk 12 jam waktu kerja. Katakan pekerja ini jatuh sakit dan tidak dapat bekerja sebanyak sepuluh hari, kos yang terbuang untuk senario ini adalah sebanyak RM 2000. Ini baru seorang pekerja. Bayangkan sesebuah syarikat mempunyai 5 orang pekerja yang mengalami situasi seperti di atas, berapa kerugian yang dialami??

KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Ramai dari kalangan pekerja yang telah jatuh sakit disebabkan oleh tabiat merokok ini menyesal kerana tidak berhenti merokok awal sejak dahulu. Namun, tidak kurang pula mereka yang masih meneruskan merokok walaupun telah disahkan menghidap sakit jantung, kepada mereka ini saya ucapkan takziah kepada bakal balu dan anak-anak yatim anda.

ANTARA ROKOK, PEKERJA & MAJIKAN: Banyak kajian di negara-negara luar menunjukkan bahawa peningkatan kos yang signifikan kepada sesebuah syarikat. Antara masalah yang sering dihadapi adalah ‘absenteeism’ dan ‘presenteeism’. Kedua-dua keadaan ini merugikan seseorag majikan. Yang pertama, absenteeism merupakan masalah pekerja yang sering mengambil cuti sakit (MC) atau cuti kecemasan.  Yang kedua, presenteeism adalah masalah di mana pekerja hadir bekerja, namun disebabkan kurang sihat atau sakit, mereka ini tidak dapat melakukan tugas dengan sempurna dan seterusnya mengurangkan produktiviti syarikat. Kajian juga menunjukkan mereka yang merokok mengambil masa rehat lebih lama berbanding mereka yang tidak merokok malah terdapat kajian yang menunjukkan, pekerja yang telah berhenti merokok, peningkatan produktiviti di tempat kerja adalah sangat signifikan berbanding mereka yang masih meneruskan tabiat merokok. Tahukah anda bahawa, kos penyelengaraan dan pembersihan bangunan juga meningkat dengan adanya pekerja yang merokok? Majikan perlu menyediakan tempat khas merokok, menyediakan papan tanda khas merokok, membersihkan punting-puntung serta abu rokok.

KOMEN DOKTOR KESIHATAN PEKERJAAN: Pengalaman saya dalam menghadiri mesyuarat jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan (Safety & Health Committee) di sebuah syarikat, majikan pening memikirkan masalah pekerja yang merokok di kawasan larangan merokok walaupun telah disediakan kawasan khas untuk merokok dan penguatkuasaan polisi. Mudah sahaja jawapan yang saya berikan pada majikan ini, rujuk pekerja ke Klinik Berhenti Merokok yang terdapat di fasiliti kesihatan KKM. Tahukah anda bahawa kajian di luar negara menunjukkan dalam kalangan perokok, sebanyak 75% mengharapkan kawasan persekitaran mereka bebas dari asap rokok. Ini kerana kawasan yang bebas asap rokok sebenarnya dapat membantu mereka untuk berhenti merokok. Ramai juga pekerja yang saya temui mengakui yang mereka hanya merokok jika berada di tempat kerja, jika pulang ke rumah, atau waktu hujung minggu, mereka tidak merokok.

RUMUSAN: Tiada manfaat dan faedah yang datang dari tabiat merokok selain bukan sahaja memberi kesan kepada anda, malah kepada orang di sekeliling anda terutama keluarga tersayang. Jika anda seorang pekerja dan anda merupakan ketua keluarga yang mencari rezeki untuk anak isteri, fikirkan anak isteri anda yang kehilangan mata pencarian jika anda jatuh sakit. Jika anda seorang majikan, anda mungkin boleh memikirkan cara yang dapat membantu anda mengatasi masalah pekerja yang merokok sama ada menetapkan polisi pengambilan pekerja yang tidak merokok, mengurangkan bonus/insentif tahunan kepada mereka yang merokok, menyediakan tempat kerja bebas asap rokok (larangan merokok di tempat kerja).

Dr. Muhammad Ihsan Bin Suhaidi
Doktor Kesihatan Pekerjaan
I-Medik Pulau Pinang

Rujukan:

  1. Factsheet on Tobacco, World Health Organization (WHO).
  2. Dr. Norashidah Binti Mohamed Nor, Cost of Cigarette Smoking, , Kementerian Kesihatan Malaysia.2017.
  3. The Business Case for Investing in a Smoke-Free Workplace is Clear, Centre for Tobacco Research and Intervention, University of Wisconsin.
  4. Victor U and Abraham K, The Economic Impact of Smoking and of Reducing Smoking Prevalence: Review of Evidence, Tobacco Use Insight. 2015.
  5. Christine L et al. Benefits of quitting smoking on work productivity and activity impairment in the United States, the European Union and China, International Jurnal of Clinical Practice. 2017.

Read article