MENU

Pharmacist Day
Tag Archive

529

Sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia 2017: Kami Sedia Berkhidmat untuk Meningkatkan Kesihatan Masyarakat

Mesej

25/09/2017

Tanggal 25 September telah dipilih sebagai tarikh Hari Ahli Farmasi Sedunia sejak tahun 1912, dalam sebuah kongres di Istanbul, Turki. Namun di Malaysia, sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia mula dirasakan sejak beberapa tahun lalu atas inisiatif beberapa pihak bagi mendekatkan profesion ini ke hati masyarakat.

Rata-rata rakyat Malaysia mungkin belum sepenuhnya mengenali tugas seorang ahli farmasi sebagaimana mereka memahami fungsi seorang doktor. Acapkali ahli farmasi dipanggil doktor walaupun ketika di premis farmasi sendiri kerana di mata masyarakat, penampilan kedua-dua profession ini kelihatan hampir sama.  Berbaju kot putih dan sering kali dilihat di dalam wad atau di kaunter ubat samada di farmasi hospital, klinik kerajaan mahupun di farmasi komuniti. Mereka inilah pegawai atau ahli farmasi yang memainkan satu peranan yang cukup besar dalam aspek kesihatan masyarakat.

Ahli farmasi bertugas di pelbagai sektor seperti sektor kesihatan awam di hospital atau klinik, sektor penguatkuasaan, sektor farmasi komuniti, sektor industri farmaseutikal, sektor penyelidikan dan banyak lagi. Tema sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia di Malaysia bagi tahun ini, iaitu “From Research to Healthcare: Your Pharmacist is at Your Service” merangkumi secara am bidang tugasan ahli farmasi dalam meningkatkan penjagaan kesihatan masyarakat.

Susunan rak ubat yang bersistem. (Sumber: Google images)

Antara peranan penting seorang ahli farmasi adalah memastikan ubat yang diberikan kepada pesakit adalah tepat dengan dos yang selamat untuk merawat  pesakit. Teringat suatu ketika saya bekerja di farmasi komuniti. Pelanggan begitu ramai sehingga mereka perlu beratur. Ada seorang pelanggan yang marah lalu berkata “Hei, kira tablet pun lambat ke?” Hakikatnya, pekerjaan seorang ahli farmasi bukan sekadar mengira tablet. Ada sesuatu yang lebih besar di sebaliknya.

Ahli farmasi adalah seorang yang mahir mengenai indikasi ubat, cara ubat bertindak ke atas tubuh badan manusia, kesan-kesan sampingan ubat, dos yang selamat untuk golongan bayi, kanak-kanak serta orang tua, ubat yang boleh diambil atau tidak boleh diambil untuk golongan tertentu seperti orang yang mempunyai penyakit kronik, pemilihan ubat yang betul untuk merawat penyakit-penyakit minor.

Tugasan ini menjadi semakin penting tatkala masyarakat kini gemar membeli produk yang tular di media sosial tanpa memeriksa kesahihan maklumat yang dipaparkan dan keselamatannya.  Terdapat produk kosmetik, makanan tambahan dan kopi campuran yang mempunyai bahan terlarang dan berisiko memberi kesan yang buruk kepada kesihatan seperti merkuri, sibutramine, sildenafil dan steroid yang tidak didaftarkan.  Di sini, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi memainkan peranan yang amat penting untuk menangani isu penjualan produk yang mengandungi campuran ubat terlarang. Ini sangat penting terutama sekali bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, diabetes, jantung dan kanser.

Farmasi komuniti boleh berperanan penting dalam mendekati masyarakat untuk mempromosikan pengambilan ubat atau supplemen yang tepat. Farmasi komuniti bukanlah sebuah kedai runcit. Sepapan ubat paracetamol dijual di kedai runcit untuk merawat demam tanpa perlu bersoal jawab dengan penjual. Sebaliknya di farmasi komuniti, anda mungkin akan ditanya oleh ahli farmasi mengenai tujuan dan untuk siapa anda membeli ubat tersebut. Ini kerana kami tahu berapa dos maksima bagi paracetamol yang sesuai untuk anda atau anak anda  bagi mengelakkan komplikasi pada organ hati.

Kaunter Farmasi (Sumber: Google images)

Tidak ramai yang tahu bahawa pemeriksaan asas kesihatan seperti tekanan darah, paras gula dalam darah dan paras jumlah kolestrol boleh dilakukan di farmasi komuniti.  Seorang ahli farmasi mempunyai pengetahuan untuk memberikan anda kaunseling serta memberikan cadangan untuk anda memperbaiki tahap kesihatan anda. Bahkan, kami boleh membantu anda untuk menerangkan mengenai ubat yang anda ambil di klinik mahupun hospital.

Farmasi komuniti adalah tempat untuk dikunjungi sekiranya anda mengalami masalah sakit ringan seperti demam, selesema, batuk, alahan kulit, kudis, kutu dan banyak lagi. Akta Racun 1956 membenarkan seorang ahli farmasi untuk memberikan ubat daripada kategori Group C, iaitu yang tidak memerlukan preskripsi daripada doktor. Jika pesakit memerlukan rawatan lanjut, ahli farmasi akan menasihatkan pesakit untuk berjumpa dengan doktor dan mendapatkan preskripsi ubat. Jangan marah sekiranya pihak farmasi tidak dapat memberikan anda ubat tanpa preskripsi yang sah kerana antibiotik serta ubatan penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan darah tinggi memerlukan anda mempunyai preskripsi daripada doktor terlebih dahulu.

Ahli farmasi turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan hidup sihat tanpa rokok. Berdasarkan statistik Malaysian Pharmaceutical Society (MPS), setakat tahun 2016, terdapat kira-kira 2500 ahli farmasi yang terlibat sebagai “Certified Smoking Cessation Service Provider” (CSCSP) yang boleh membantu mereka yang mengalami masalah ketagihan merokok untuk berhenti merokok. Malah, ahli farmasi sebagai satu professional kesihatan turut membantah rokok bersaiz kecil atau ‘kiddie pack’ daripada memasuki pasaran Malaysia kembali seperti kenyataan dari meja Presiden MPS dan juga Jawatankuasakuasa Farmasi I-Medik.

Ahli farmasi adalah antara barisan hadapan dalam sistem kesihatan negara bagi mempromosikan penjagaan kesihatan yang betul dan merawat sakit minor. Malah, kami bersedia untuk bersama masyarakat dalam usaha melahirkan masyarakat yang sihat, produktif dan dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Selamat Hari Ahli Farmasi Sedunia!

Nor Syamimi binti Musa
Ahli Farmasi I-Medik
Calon PRP Farmasi Komuniti

Read article