MENU

sekolah perubatan
Tag Archive

579

Rahsia Mahasiwa Perubatan Cemerlang

Kerjaya, Motivasi

02/11/2017

Jurusan perubatan mempunyai kisah unik yang tersendiri bagi mereka yang telah dan sedang melaluinya. Ia dilakarkan atas kanvas kehidupan dengan pelbagai warna-warni dan suka-duka perjalanan sebelum masuk ke alam kerjaya sebagai seorang pegawai perubatan. Sudah pasti ia mempunyai cabarannya yang tersendiri bagi setiap individu yang melaluinya kerana bidang perubatan adalah jurusan profesional yang sangat kompetitif kerana ia memerlukan kesungguhan dan minat yang mendalam bagi setiap pelajar untuk menamatkan Medical School sebelum melangkah ke alam Housemanship.

Bagi penulis sendiri, setelah melalui 4 tahun setengah melalui fakulti perubatan (kini semester akhir) hakikatnya ia adalah satu anugerah Tuhan yang tidak ternilai untuk mencari makna apakah erti hidup pergantungan kepada Tuhan. Kesusahan dan keringat untuk melayakkan diri ke Medical School ditambah dengan perjalanan setiap tahun yang berliku telah banyak melatih diri penulis untuk menjadi seorang yang banyak bersyukur, bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasan dan amanah serta lebih rajin berusaha untuk bangkit dari kegagalan.

Dengan penulisan artikel ini bukanlah bermakna penulis adalah yang terbaik sewaktu menjalani fasa pra-klinikal dan klinikal di fakulti perubatan dalam dan luar negara, tetapi ia adalah himpunan pengalaman yang dikutip sepanjang lebih kurang 4 tahun berada dalam jurusan perubatan dikelilingi oleh latar belakang mahasiswa/mahasiswi perubatan yang hebat disamping panduan dan nasihat daripada mereka yang telah berjaya menamatkan medical school dengan First Class Honours dan berjaya menamatkan fasa housemanship dengan jayanya. Moga-moga ia bermanfaat buat para pembaca untuk sama-sama menjadi graduan perubatan yang cemerlang.

1. Be a morning person!

Kebiasaannya, pelajar perubatan yang cemerlang mereka mempunyai budaya untuk berpagi-pagian ke wad untuk berjumpa dengan pesakit. Bagi pelajar perubatan yang biasa-biasa, kita akan menganggap  bahawa datang ke wad seawal 8 pagi adalah sangat membebankan. Bagi mereka yang biasanya gemar untuk bangun lewat dan tidur selepas solat subuh akan menganggap clerking dan ward round pada awal pagi tidak menguntungkan dan membosankan. Tetapi hakikatnya itulah rahsia mereka yang berjaya apabila saya perhatikan gelagat mereka di wad setiap hari.

Rahsia berpagian di wad adalah terletak pada keadaan pesakit tersebut. Kebanyakan pesakit pada waktu pagi lebih segar kerana telah berehat sepanjang malam. Mereka juga lebih bersedia untuk menerima hari baru dengan lebih baik dan mood mereka juga lebih baik pada pagi hari. Anda perlu ingat bahawa anda bukanlah satu-satunya manusia yang akan melihat pesakit tersebut. Boleh jadi, Specialist, MO, Houseman, Nurse, Physiotherapist, dan Pharmacist juga akan menemuramah pesakit sewaktu rondaan wad pagi. Bagi kes-kes menarik di wad, pelajar-pelajar perubatan tahun lain yang akan turut clerking untuk sama-sama belajar. Sekiranya ia melibatkan kes acute (acute case) di wad sudah pasti soalannya lebih banyak. Sebagai seorang manusia, pesakit juga akan jemu apabila ditanya soalan yang sama berulang-ulang kali. Sudah pasti pesakit akan berasa kurang selesa dan akan bersikap tidak acuh untuk menjawab soalan. Hal ini akan menyebabkan kebarangkalian permintaaan kita untuk menemu-ramah pesakit untuk ditolak akan lebih tinggi.

Kebanyakan pesakit apabila kita meminta izin untuk ditemu ramah (consent),

“Minta maaf, adik. Pak cik tadi dah 3 orang tanya soalan yang sama dengan pak cik.”

Biasa atau tidak mendengar refusal sebegini?

Bayangkan sekiranya anda tiba lewat di wad seperti pada pukul 10 pagi ke atas, sudah pasti anda bukanlah orang pertama yang menemuramah kerana ada pelajar lain atau staf hospital lain yang sudah menemu ramah pesakit tersebut.

2. Clerking: One day, one case – then present!

Sewaktu mula melangkah ke fasa klinikal, seorang penysarah perubatan pernah berpesan kepada kami sewaktu sesi bed side teaching, “Remember, one day, clerk one case and then present.” Sewaktu memulakan pengajian klinikal ketika di tahun ketiga, penulis mula tertanya-tanya di mana relevannya untuk clerk pesakit setiap hari. Kini, apabila melangkah semester akhir perubatan, baru penulis sedar di mana kekuatannya kenyataan tersebut.

Practice makes perfect! Itulah kuncinya. Kita kena ingat peperiksaan profesional perubatan bukanlah hanya melibatkan teori (knowledge) sahaja semata-mata, tetapi ia melibatkan bagaimana kebolehan seorang pelajar perubatan untuk menjual idea sewaktu pembentangan kes di hadapan pakar perubatan sewaktu peperiksaan. Long Case dan OSCE merupakan peperiksaan yang memerlukan kemahiran tinggi dari para pelajar perubatan untuk mendapatkan sejarah pesakit (patient history) untuk mendapatkan diagnosis yang tepat. Kebanyakan mereka yang berjaya memperoleh diagnosis yang tepat dan mendapat markah yang tinggi sewaktu peperiksaan adalah mereka yang boleh membentangkan kes dengan baik, lancar dan menarik di hadapan pemeriksa. Tidak dapat tidak, kelancaran dan kefasihan untuk berbahasa Inggeris itu memerlukan latihan agar kita tidak berasa kekok untuk menggunakan istilah-istilah lebih mesra dengan kehidupan klinikal di hospital.

Sekiranya kita tidak berpeluang untuk membentangkan kes semasa bed side teaching dihadapan pensyarah atau pakar, kita boleh membentangkan kes di hadapan rakan-rakan kumpulan dan minta kritikan yang telus mengenai keurangan dan kelemahan dan bagaimana untuk menambah-baik bagaimana untuk membentangkan kes.  Tidak ada rugi sebenarnya membuat pembentangan kes kerana esok apabila sudah masuk ke alam kerjaya, kita akan membentangkan kes kepada pakar setiap hari!

3. Pick Up the Signs

Penulis tidak dapat nafikan, kadang-kadang akan ada satu waktu dan ketika kita akan berasa malas dan lost di wad. Kadang-kadang kita juga akan kerap down kerana kebanyakan kes-kes baik untuk belajar kebiasaanya sudah di-clerk oleh pelajar lain. Apabila situasi ini berlaku, penulis akan mengambil inisiatif untuk bergerak dari katil ke katil untuk melihat tanda fizikal pesakit. Kebanyakan pesakit yang ditemui di wad mereka akan lebih terbuka untuk diperiksa berbanding ditemu ramah (disebabkan temu ramah amat mengambil masa yang lama). Apa yang akan penulis lakukan adalah meminta izin dan terus melakukan pemeriksaan fizikal.

Kadang-kadang apa yang kita baca di dalam buku langsung tidak sama dengan tanda fizikal yang ada pada pesakit, dan sebenarnya kita akan lebih menghargai tanda-tanda tersebut apabila kita sendiri yang merasainya menggunakan deria pancaindera.

Sebagai contoh kes Kardiovaskular, bagaimanakah untuk membezakan pansytolic, systolic dan diastolic murmur sewaktu auscultation? Untuk kes Respiratori, bagaimanakah untuk membezakan bunyi Rhonchi dan Crepitations? Untuk kes Gastrologi, bagaimana kita ingin menghargai tanda hepatomegaly dan splenomegaly.

Dan sudah tentu itu hanya beberapa contoh yang penulis kemukakan untuk membuka fikiran para pembaca supaya berfikir bersama. Tidak dapat tidak, ia memerlukan latihan untuk membezakan yang normal dan tidak normal. Dan jawapannya sudah semestinya dengan latihan berulang kali!

 

4. Consistent – Istiqamah

Penulis melihat rakan-rakan yang cemerlang dalam pelajaran adalah mereka yang istiqamah untuk belajar satu topik pada setiap hari. Setiap kali topik yang diajar oleh pensyarah semasa di dalam kelas, akan terus diulang kaji. Setiap kes yang mereka jumpa di wad, mereka akan rekodkan dalam buku catatan dan akan membuat rujukan apabila pulang ke rumah. Mereka cuba hadam kes dengan baik dari A-Z seperti definisi, epidemiology, pathophysiology, aetiology, penyiasatan dan pengurusan.

Penulis masih ingat lagi seorang sahabat yang mampu menghabiskan buku Kumar and Clark Clinical Medicine setebal 1400 muka surat dalam masa 3 bulan dan buku Illustrated Textbook of Paediatrics karangan Tom Lissauer dalam masa 2 minggu!  Kebanyakan mereka membuat nota-nota di dalam buku rujukan mereka dan membawanya ke wad untuk mengulang kaji sekiranya mereka menemui kes yang sama di wad pada hari-hari yang lain. Hal ini akan memudahkan kita untuk lebih ingat hasil pembacaan kita yang kerap dan konsisten setiap hari.

5. Study Group

Belajar secara berkumpulan merupakan kaedah pembelajaran yang sangat berkesan bagi mereka yang belajar dalam bidang perubatan. Jurusan perubatan memerlukan setiap graduan untuk berbincang sesama sendiri untuk menambahkan kefahaman. Penulis tidak nafikan ada juga pelajar perubatan yang lebih selesa untuk mengulang kaji secara individu. Tetapi hal yang tidak disedari adalah dengan banyaknya berdiskusi dengan rakan-rakan akan melatih kemahiran kita berkomunikasi khususnya sekiranya kita berada dalam peperiksaan lisan (OSCE dan VIVA) untuk bersoal jawab dengan pemeriksa (examiner) tentang sesuatu topik. Pada pengamatan penulis, mereka yang banyak mengajar orang lain, mereka akan lebih faham tentang sesuatu topik dan mereka mampu bersoal jawab dengan pakar dengan baik dan lebih yakin.

 6. Be Opportunistic

Bagi kebanyakan pelajar perubatan, prosedur-prosedur asas seperti blood taking, dressing, suturing, IV lines and CBD ini bukanlah tugas hakiki bagi mereka. Namun hakikat yang mengejutkan adalah tugasan-tugasan seperti inilah merupakan perkara rutin yang akan dilalui oleh seorang houseman apabila masuk ke alam kerjaya kelak. Peluang-peluang melakukan prosedur asas di wad ini tidak akan dapat dirasai oleh pelajar perubatan sekiranya mereka tidak proaktif dan takut-takut untuk mencuba. Apa yang penulis risau adalah graduan perubatan yang dilahirkan nanti adalah graduan perubatan yang kurang kompeten kerana kurang pendedahan dan latihan melakukan prosedur asas di hospital.  Penulis tidak nafikan, rutin pelajar perubatan adalah physical examination dan patient clerking. Itu sahaja. Boleh jadi rutin yang dilakukan pada setiap hari tersebut akan menyebabkan kehidupan di wad agak membosankan. Sedangkan keberadaan di wad sebenarnya boleh jadi perkara amat menyeronokkan dengan mencuba pelbagai prosedur dan membantu staf-staf di hospital melakukan kerja-kerja rutin mereka. Rajinkan diri bertanya,

Nurse, ada apa-apa yang boleh saya bantu? Atau saya ingin buat prosedur ini, boleh doktor semakkan untuk saya?”

Penulis melihat pelajar yang mudah mesra dengan staf hospital dan menghormati sistem hospital dan pesakit akan lebih banyak belajar dan akan diajar tentang perkara-perkara yang tidak diajar dalam kurikulum perubatan seperti sistem perjalanan hospital seperti blood investigation, admission clerking, discharge summary. Biasanya mereka yang rapat dan tagging dengan doktor secara langsung akan lebih banyak megetahui kerana diajar secara tidak langsung.

7. Knowledge, Competency, Attitude!

Tiga perkara yang akan menentukan anda adalah houseman yang cemerlang – Knowledge, Competency dan Atitude. Inilah tiga perkara yang penulis perhatikan di hospital yang membezakan kualiti seorang houseman dan doktor dengan yang lain. Knowledge dan Competency mungkin boleh dipupuk dengan latihan dan pembacaan dalam tempoh yang sekejap. Tetapi Attitude yang akan membezakan kita dengan seorang doktor yang lain. Attitude atau sikap adalah masalah kritikal yang perlu dirawat dengan segera oleh mahasiwa perubatan. Masalah ponteng dan hadir lewat ke kelas, masalah meniru assignment (plagiarism) juga masalah menipu kehadiran (meniru tandatangan kehadiran) merupakan masalah yang perlu segera dirawat kerana ia akan terbawa-bawa sehingga ke alam kerjaya kelak. Mungkin bagi kita ia adalah masalah kecil tetapi hakikatnya masalah sikap ini sangat sukar diubah sekiranya ia telah menjadi tabiat yang sebati dalam jiwa kita. Bermula pada hari ini, kita perlu mengubah sikap negatif ini kepada yang lebih baik untuk membudayakan tabiat dan sikap yang profesional dan matang dalam diri kita.

8. Keep Praying and Tawakkal

Pada pendapat penulis, inilah tip yang sangat penting. Ada rakan-rakan, junior dan senior yang terkandas di pertengahan jalan kerana terpaksa mengulang subjek dan tahun. Penulis tidak dapat nafikan bahawa walaupun kebanyakan pelajar perubatan berjaya menghabiskan pengajian dengan jayanya namun ada juga segelintir kecil yang tidak berjaya (dengan izin Allah). Oleh itu kita tidak akan pernah tahu kisah perjalanan kita pada masa hadapan. Justeru, banyakkan berdoa agar Allah mudahkan urusan peperiksaan, agar Allah berikan kita kemudahan dan supaya kita berjaya untuk menamatkan pengajian pada waktunya. Waktu rotation mungkin adakalanya kita merasakan mudah tetapi sewaktu peperiksaan ia boleh menjadi sangat rumit. Kes susah, bahasa pula sukar difahami, emosi pemeriksa kertas tidak bagus dan sebagainya.  Perjalanan bidang perubatan adalah satu perjuangan. Sentiasa merendah diri dengan orang lain dan saling membantu. Jangan pernah berkira untuk membantu rakan-rakan yang lain. Insya-Allah, Allah akan berikan kita kemudahan untuk berjaya. Moga Allah berikan kita taufiq untuk terus berjaya insya-Allah.

Sebagai penutup, berada dalam jurusan perubatan merupakan satu amanah yang besar yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Sudah menjadi kewajipan kepada kita untuk melaksanakan yang terbaik dalam kehidupan kita. Bukankah Allah menyukai umatnya yang memberikan usaha sepenuhnya dalam sesuatu bidang dan perkara? Betapa ramai mereka yang hebat-hebat dan cemerlang berada di luar sana yang mengimpikan untuk berada dalam profesion ini, tetapi tetap juga tidak diizinkan. Di sebalik kekurangan yang ada pada diri kita, Allah tetap memilih kita untuk berada di jalan kedoktoran. Seharusnya kesempatan yang diberikan oleh Allah ini, disalurkan atas memenuhi amanah dan tanggungjawab seterusnya menyumbang kembali kepada agama, masyarakat dan negara. Moga-moga akan terus lahirnya ramai golongan muslim yang professional dalam bidang perubatan yang akan terus beramal dengan penuh keikhlasan. Renung-renungkan dan selamat beramal 😊

 

 

Oleh
Mohammad Aiman Hazim Zamri
Mahasiswa Perubatan Tahun Akhir
Penang Medical College (PMC) – Royal College of Surgeon in Ireland (RCSI) Dublin
Aktivis I-Medik Pulau Pinang

Read article