MENU

tekak
Tag Archive

576

Kesan Arak Kepada Tekak

Info Sihat

08/10/2018

Negara digemparkan dengan kematian 36 orang mangsa keracunan alkohol baru-baru ini. Walaupun punca kematian mereka adalah disebabkan arak yang diminum mengandungi paras alkohol yang tinggi, penemuan kajian meta-analisis terbaru membuktikan bahawa tiada paras alkohol minima yang selamat untuk diminum. Arak boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser termasuklah kanser tekak yang menjadi laluan makanan dan minuman sebelum masuk ke dalam perut.

Tekak atau nama saintifiknya larynx ialah satu organ dalam leher yang menghubungkan kawasan mulut dengan salur pemakanan esophagus. Selain mengeluarkan suara, tekak juga memainkan peranan penting dalam melindungi salur pernafasan daripada dimasuki sisa-sisa makanan yang boleh mengakibatkan kesesakan nafas. Tekak yang dicemari arak secara berterusan akan mengalami kerosakan pada struktur DNA dan ini boleh mengakibatkan pertumbuhan sel kanser pada tekak.

Kajian membuktikan peminum arak adalah dua kali ganda berisiko untuk mendapat kanser tekak dan risiko ini boleh meningkat mendadak jika peratusan alcohol yang digunakan lebih tinggi atau peminum arak tersebut turut menghisap rokok. Risiko kanser tekak turun sebanyak 15% jika seseorang berhenti meminum arak dalam masa lima tahun.

Walaupun terdapat rawatan yang berkesan untuk penyakit ini, kebanyakan rakyat Malaysia lewat dalam mendapatkan rawatan doktor. Kesannya kanser tersebut boleh membesar dan mungkin memerlukan pembedahan mengeluarkan salur tekak atau laryngectomy terpaksa dilakukan.

Pembedahan membuang salur tekak atau larynx

Salur tekak atau larynx yang dihidapi kanser

Selain kanser tekak, arak juga boleh menyebabkan radang tekak atau laryngitis. Antara gejala penyakit ini adalah seperti suara menjadi serak dan tekak merasa sangat tidak selesa. Oleh itu, jauhilah arak untuk menjaga kesihatan tekak anda.

Disediakan Oleh,


Dr. Khairil Afif Bin Mahmud
Aktivis I-Medik
Pensyarah Perubatan Pelatih
Jabatan Otorhinolaringologi-Pembedahan Kepala & Leher
Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)

 

Rujukan:

  1. GBD 2016 Alcohol Collaborators. Alcohol use and burden for 195 countries and territories, 1990–2016: a systematic analysis for the Global Burden of Disease Study 2016. Lancet 2018; 392: 1015–35
  2. A Sani et al. Carcinoma of the Larynx in Malaysia, Med. J. Malaysia Vol. 47 NoA December 1992
  3. La Vecchia C et al. Alcohol and laryngeal cancer: an update. European Journal of Cancer. Prev.2008 Apr;17(2):116-24
  4. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kematian-akibat-keracunan-alkohol-kekal-36-orang-186389
  5. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/methanol-30-peratus-hingga-50-kali-lebih-tinggi-punca-keracunan-1.754486
  6. http://www.aicr.org/cancer-research-update/2018/2-7/new-study-clarifies-how-alcohol-causes-cancer.html

 

 

Read article

1480

Bukan Sekadar Dengkur (Bhgn. 1)

Info Sihat

18/12/2017

“Saya kerap mengantuk di waktu pagi, keletihan dan kerap kali tertidur semasa bekerja.”

“Takut juga saya, doktor. Sebab kerja saya pun melibatkan mesin-mesin merbahaya.” ujar encik Hasbullah.

“Isteri ada beritahu encik berdengkur semasa tidur?” Tanya doktor Zek.

“Ada, doktor. Dia kata bukan sekadar dengkur. Kerapkali juga dia lihat saya terhenti bernafas dan bangun termengah-mengah ketika tidur,” tambah encik  Hasbullah lagi dengan penuh bimbang.

“Encik merokok?” Satu persoalan wajib dari Dr. Zek

“Errr… Ada jugalah, doktor. Kawan-kawan tempat kerja saya semuanya merokok.”

Mendengar keluhan pesakit dengan penuh perhatian, Dr. Zek melakukan pemeriksaan ke atas encik Hasbullah termasuk melakukan ‘flexible endoscopy’ bagi menilai salur pernafasan dengan lebih teliti.

“Doktor, sepupu saya baru-baru ni meninggal semasa tidur. Muda lagi umurnya. Baru 32 tahun. Anak pun masih berumur 2 tahun. Kasihan saya lihat isterinya. Katanya arwah pun berdengkur macam saya.  Berat badannya pun lebih kurang macam saya; bulat,” Sempat lagi  encik Hasbullah mencelah. Senyum Dr. Zek mendengar.

“Encik Hasbullah minta timbang berat badan,” arah Dr. Zek.

Jarum penimbang naik laju, akhirnya berhenti pada 120kg. Tinggi, hanya 160 sentimeter. BMI melebihi 40!!!

“Beginilah, encik Hasbullah. Saya merasakan encik berkemungkinan besar menghadapi penyakit kesukaran bernafas semasa tidur. Dalam perubatan namanya ‘Sleep Apnoea Syndrome’ (OSA). Encik bukan sekadar berdengkur semasa tidur tetapi salur penafasan encik tersekat menyebabkan otak encik kurang menerima oksigen. Itu  yang menyebabkan encik kerap terbangun dan tercungap-cungap semasa tidur”.

“Penyakit ini merbahaya  kepada nyawa dan boleh menyebabkan banyak penyakit lagi melibatkan kegagalan fungsi otak, jantung, paru-paru dan banyak organ lain.”

Berubah air muka encik Hasbullah saat mendengar penjelasan Dr. Zek.

“Saya merasakan sepupu encik Hasbullah meninggal mungkin disebabkan penyakit ini. Antara komplikasi OSA adalah kematian mengejut.”

Muka encik Hasbullah terus menjadi merah.

“Eh, sampai begitu teruk sekali jadinya ya, doktor?” tanya encik Hasbullah.

“Saya ramai menerima pesakit macam encik Hasbullah dan ada juga yang dikhabaran meninggal mengejut macam tu,” ujar doctor Zek.

“Yang membimbangkan kami adalah bilangannya semakin mendadak. Cara hidup dan cara pemakan masyarakat kita dah berubah, McD, KFC, Pizza, kedai mamak 24 jam. Bersenam pun makin culas, rata-rata ‘tenggelam’ dengan handphone dan komputer saja.”

“Saya akan melakukan ujian yang lebih lanjut terhadap encik Hasbullah bagi mengesahkan penyakit encik dan menilai tahapannya. Temujanji ujian tidur atau Sleep Study encik Hasbulah adalah pada Isnin malam, Selasa minggu depan. Sleep study appointment saya sekarang hampir 6 bulan sebab kami ramai pesakit, tetapi saya selitkan nama encik lebih awal kerana symptom encik agak teruk’.

Encik datang ke hospital untuk ujian tidur sambil dibuat pemantauan. Ingat, datang nanti untuk tidur saja ya. Jangan bawa gajet, isteri, anak, jangan tidur di siang hari dan jangan minum minuman yang menyegarkan. Rokok tu… KENA BERHENTI.” tegas doctor Zek.

“Ya, doktor,” jawab encik Hasbullah berbasa-basi.

Encik Hasbullah mengambil kad temujanji dan menunggu untuk ujian tidur sleep study dengan penuh harapan.

(bersambung..)

*nama pesakit dan doktor hanyalah rekaan semata-mata dan bukan nama sebenar

 

 

Dr Zulkifli b Yusof
Ketua Jabatan dan Konsultan
Jabatan Otorinolaringologi
Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar

Read article