MENU

Comments (0) Kolumnis, Mesej, Motivasi, Utama

TAHUN 2017- TAHUN JURURAWAT SIHAT

Selamat datang tahun baru 2017!

Jururawat I-Medik berharap semua jururawat memiliki tenaga yang baharu untuk mengemban tugas mulia dalam mengembalikan kesihatan manusia di tempat asalnya – bebas daripada penyakit dan kekangan kesihatan. InshaAllah.

Jururawat I-medik tertarik dengan tema yang dibawakan oleh Persatuan Jururawat Amerika (American Nursing Association) sempena menghadapi tahun baru 2017 dalam nafas seorang jururawat. “Year of the Healthy Nurse” – Tahun Jururawat Sihat. Saya melihat tema ini relevan dengan apa yang dihadapi jururawat kita di Malaysia khususnya.

Menurut ANA, jururawat yang sihat adalah seseorang yang mampu memberikan fokus secara aktif dalam membentuk dan mengawal sinergi yang seimbang secara fizikal, emosi, sosial, peribadi dan keutuhan professional.

Tanpa melanjutkan bicara, kita sendiri – jururawat – di awal profession, bahkan semenjak bergelar sebagai seorang pelajar lagi, sudah sebati dengan nasihat “jururawat adalah teladan kesihatan”. Kita adalah individu kesihatan yang paling hampir dan selalu bersama pesakit dan masyarakat. Sudah tentu, neraca erti sihat bagi sesetengah masyarakat akan sedikit sebanyak melihat bagaimana jururawat memantulkan imej sihatnya.

Sebagai seseorang yang memahami makna sihat lebih daripada orang biasa, jururawat seharusnya menyediakan diri dari segi fizikal, mental, emosi dan spiritual yang baik terlebih dahulu sebelum berhadapan dengan pesakit. Hal ini kerana masyarakat lebih terkesan jika kita melaksakanakan apa yang kita nasihatkan kepada pesakit, pendek kata “cakap serupa bikin”.

Kita mungkin tertanya-tanya, bagaimana seseorang jururawat yang merokok berupaya menasihatkan pesakitnya agar berhenti merokok sedangkan dia sendiri merokok di belakang bangunan hospital atau klinik.

Kita mungkin menjadi segan-silu sekiranya seseorang jururawat yang mempunyai berat badan tahap obesiti memberikan nasihat kepada pesakitnya agar mengambil pemakanan yang seimbang.

Oleh hal yang demikian, jururawat perlu menginsafi bahawa titik tolak ke arah masyarakat yang lebih sihat juga dipengaruhi oleh peribadi pengamal perubatan dan kesihatan seperti jururawat dan doktor.

Justeru, Jururawat I-Medik menyeru agar jururawat melakukan perubahan diri ke arah yang lebih sihat lebih-lebih lagi bersempena dengan tahun baharu ini. Sebagai tambahan, Jururawat I-Medik juga menekankan agar para jururawat muslim juga harus sihat dan kuat dari segi spiritual. Hal ini merangkumi aspek penjagaan ibadah diri, akhlak apabila bermuamalah dengan pesakit dan pengetahuan tentang cabang ilmu fiqh khususnya dalam dunia perubatan. Hal ini penting kerana sejajar dengan kesedaran masyarakat Malaysia yang semakin dekat dengan Islam, jururawat juga harus memenuhi keperluan pesakit dari segi spiritualnya.

Semoga jururawat kita menjadi individu yang mampu menjadi cerminan yang sihat kepada institusi kesihatan lantas berupaya mendidik pesakit dan masyarakat dengan lebih berkeyakinan.

 

photo_2016-10-25_10-45-55Mohammed Rasheedan b Ellin
Jururawat U41
Pengajar Klinikal UNIMAS
Editor, Unit Jururawat I-Medik.

 

 

Leave a Reply