MENU

Comments (0) Kolumnis

Tembakau & Penyakit Jantung

Sambutan Hari Tanpa Tembakau telah ditetapkan pada 31 Mei setiap tahun oleh Petubuhan Kesihatan Sedunia. Tema yang dipilih pada tahun 2018 adalah ‘Tobacco Breaks Heart – Choose health, not tobacco’. Untuk sambutan di peringkat kebangsaan pula, tema tersebut telah diterjemahkan sebagai ‘Tembakau & Penyakit Jantung – Ke Arah Generasi Tanpa Merokok’.

Penggunaan tembakau adalah antara faktor risiko penting menyumbang kepada penyakit jantung koronari, strok dan penyakit vaskular periferi. Sayugia diingatkan bahawa penyakit jantung yang dahulunya merupakan penyakit yang hanya terdengar di negara barat atau pun negara maju, sekarang ini sudah endemik dan menjadi masalah di mana sahaja.

Walau pun terdapat kemudaratan yang disebabkan oleh tembakau kepada kesihatan jantung, ditambah pula dengan adanya penyelesaian untuk mengurangkan kematian dan penyakit yang berkaitan dengan tembakau, namun kesedaran terhadap fakta tersebut dalam kalangan masyarakat awam terutamanya perokok adalah rendah.

Malaysia memberikan komitmen untuk mencapai penurunan prevalen merokok kepada 30% menjelang tahun 2025 dan mencapai ‘End Game of Tobacco’ atau penghujung permainan pada tahun 2045 di mana prevelan yang disasarkan adalah kurang daripada 5%. Pada tahun 2011, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia mendapati prevalen merokok dikalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah sebanyak 23.1% atau seramai 4.7 juta orang dan ini jelas menunjukkan bahawa perokok adalah golongan yang minoriti. Oleh demikian, usaha untuk membanteras gejala merokok perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dan usaha tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil.

Untuk merealisasikan tema Sambutan Hari Tanpa Tembakau 2018, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyeru supaya tindakan bersepadu seperti aktiviti penguatkuasaan, pendidikan kesihatan melalui kempen media, aktiviti out-reach kepada kumpulan sasar, perkhidmatan berhenti merokok dan kenaikan cukai perlu terus diperkasakan. Kerjasama di antara pihak kerajaan dan sektor swasta serta masyarakat awam perlu dikukuhkan supaya dapat menjadi teras utama dalam menolak budaya merokok ke arah penghasilan generasi tanpa merokok.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rokok dikecualikan sebagai satu barangan yang perlu mematuhi penetapan kadar GST 0%. I-Medik menyokong pendirian KKM yang berusaha untuk membendung budaya merokok. I-Medik menggesa agar cukai rokok sedia ada dinaikkan supaya dapat menjejaskan kemampuan untuk membeli rokok terutama sekali dalam kalangan remaja yang mana 30% daripada mereka masih mampu membeli rokok dengan harga sekarang.

Bersempena dengan Bulan Ramadhan yang mulia, momentum ini perlu dimanfaatkan oleh perokok dalam kalangan Muslim untuk belajar mengurangi sekaligus berhenti merokok. Ia sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja namun Bulan Ramadhan kali ini adalah waktu yang tepat mengingatkan setiap Muslim diwajibkan untuk menahan nafsu. Mereka seharusnya kekal tidak merokok ketika saat berbuka sehinggalah sahur pada keesokan harinya. Apabila sudah menjadi kebiasaan, secara tidak langsung ia akan menjadi mind set seseorang untuk menahan keinginan untuk merokok.

Leave a Reply