MENU

Comments (0) Info Sihat, Mesej

Tetap Warta Restoran & Gerai Makanan Sebagai Kawasan Bebas Asap Rokok

Merujuk kepada artikel bertajuk ‘Coffee shops, mamaks come together to oppose smoking ban’ keluaran Free Malaysia Today serta ‘Perokok juga manusia, bukan sampah sarap’ terbitan Malaysia Kini bertarikh 12 November 2018, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menggesa agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  terus kekal dengan pewartaan restoran terbuka dan gerai makanan sebagai kawasan larangan merokok bermula 1 Januari 2019. KKM tidak seharusnya tunduk kepada desakan dan tuntutan sebahagian pemilik restoran dan premis makanan supaya pewartaan tersebut dikaji semula.

Terdapat banyak kajian dan bukti yang jelas menunjukkan bahawa merokok mendatangkan kemudaratan kepada perokok primer dan sekunder. Di samping itu juga, kos rawatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan akibat komplikasi 3 penyakit sahaja (Ischemic Heart Disease, Lung Cancer & Chronic Obstructive Pulmonary Disease) yang berkaitan dengan amalan merokok  semakin meningkat saban tahun. Sebanyak RM4.22 bilion bakal diperuntukkan pada tahun 2020 untuk rawatan penyakit tersebut menurut laporan SEATCA pada tahun 2007. Ini adalah salah satu beban yang boleh dielakkan sekiranya budaya merokok dapat dibendung.

Persekitaran bebas asap rokok sama sekali tidak merugikan pemilik restoran dan gerai makanan. Pelanggan akan tetap mengunjungi premis makanan kerana makan adalah keperluan asas kehidupan. Bahkan keluarga bersama anak-anak kecil pasti memilih premis yang bebas daripada asap rokok. Jika ada pelanggan yang merokok, pemilik premis harus tegas menghalang perbuatan tersebut. Mereka juga boleh menasihati perokok untuk mendapatkan khidmat berhenti merokok di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan oleh KKM. Ini adalah antara peranan penting yang perlu dilaksanakan oleh pemilik premis untuk memastikan pematuhan penuh kepada usaha-usaha bebas asap rokok.

Majoriti penduduk di Malaysia adalah bukan perokok dan mereka berhak untuk mendapatkan udara yang bersih dan bebas daripada asap rokok. Mewujudkan persekitaran bebas asap rokok adalah antara usaha kepada pengawalan amalan merokok. Sehubungan itu, undang-undang untuk melindungi masyarakat awam daripada pendedahan kepada asap rokok perlu dipertahankan.

Dr Ahmad Farid Nazmi Bin Abdul Halim

Ketua Unit Kawalan Rokok & Vape I-Medik

Leave a Reply