MENU

Comments (0) Motivasi

Tips thabat dalam dakwah untuk Doktor Pelatih dan pengamal perubatan lainnya

Ramai yang tanya saya dahulu, bagaimana caranya untuk thabat di jalan dakwah walaupun sibuk bekerja sebagai doktro? Ada yg bertanya masih dikalangan student perubatan, ada yang dah bergelar Houseman dan ada yang berada di bidang lain.
Lama juga saya berfikir tentang jawapannya. Saya juga pernah berbincang dengan rakan-rakan perubatan yang juga bergelar Daie.  Hasil dari pengalaman yang lama dan perkongsian dengan rakan-rakan, diharap beberapa tips ini boleh membantu :
1.    Letakkan dari awal keutamaan bahawa dakwah dan tarbiyah tetap No 1 dan kerjaya tidak akan diabaikan
Ramai pelajar perubatan apabila mula bekerja sebagai Houseman telah tersilap meletakkan keutamaan mereka. Semasa pelajar  mereka mampu meletakkan dakwah sebagai keutamaan (walaupun begitu pelajaran tidak dilupakan). Tapi, apabila masuk ke alam pekerjaan, “demand” daripada pekerjaan yang mengambil banyak masa mereka menyebabkan mereka tersalah keutamaan. Kerjaya menjadi isu yang utama dalam kehidupan mereka dan Tarbiyah menjadi perkara yang kedua.Apabila peringkat awal telah meletakkan dakwah sebagai  perkara yang kedua, maka tentulah lama-kelamaan ia akan dilupakan disebabkan oleh kesibukan kerjaya.

2.     Sentiasa merasa izzah dan mulia dengan dakwah ini.
 
Kadang-kadang kita segan untuk meminta bantuan kawan-kawan untuk menggantikan kita supaya kita dapat pergi usrah. Tapi kita tidak segan untuk meminta bantuan mereka jika kita ada perkara duniawi lain yang perlu kita lakukan. Jika kita merasa izzah dan mulia dengan dakwah ini, pasti kita akan merasa mudah untuk meminta bantuan rakan untuk pergi Usrah. Tetapi jika sebaliknya, maka kita akan merasa segan untuk bertukar shif untuk pergi usrah.
3.        Cuba selaraskan masa bekerja untuk dakwah dan bukannya mengorbankan  dakwah untuk meraikan kerjaya/masa kerja.
Realiti hidup sebagai houseman memang memenatkan.  Bayangkan kita perlu bekerja jauh melebihi lapan jam seperti orang yang bekerja di pejabat. Ini akhirnya nanti akan memenatkan fizikal seorang houseman dan selalu dijadikan alasan untuk tidak pergi usrah dan program-program tarbiyah.
Sebenarnya, jika kita teliti, boleh saja masa kita bekerja disesuaikan supaya kita dapat hadir program tarbiyah. Jika shif kita bertembung dengan usrah, kita boleh minta supervisor/mereka yang menyusun shif bekerja untuk mengosongkan malam apabila kita perlu pergi usrah. Begitu juga, kita boleh juga bertukar shif dengan kawan-kawan houseman. Jikalau kita sanggup bertukar shif kerana urusan peribadi, kenapa kita tak dapat bertukar shif untuk urusan dakwah?
4.    Buat catatan tanggungjawab dakwah dalam satu nota, lihat dan lakukan senarai itu paling kurang sekali sehari.
 
Selain dari keletihan fizikal, houseman juga akan menghadapi kepenatan mental. Hal ini kerana, tempoh bekerja  yang lebih lama, selalu dimarahi dan berfikir menyebabkan minda kita akan kepenatan.  Kepenatan mental akan menyebabkan akal kita akhirnya tiada ruang untuk berfikir tentang dakwah.
Cara untuk mengatasinya ialah sediakan satu catatan tanggungjawab tarbiyah kita. Dari situ, cubalah lihat dan buat apa yang diperlukan sekali sehari pada masa yang tetap. Luangkan paling kurang 15-30 min masa kita untuk menyelesaikan semua perkara berkenaan. Selepas habis, tumpukan semula pada kerjaya kita. Catatan itu akan menjadi peringatan kepada kita untuk tetap menjalankan tanggungjawab dakwah kita dan supaya ia tidak terus dilupai di dalam kesibukan kita.
Begitulah serba sedikit tips yang boleh saya kongsikan. Namun, saya rasa tips yang paling baik sekali ialah tips yang diberikan oleh bekas murabbi saya dahulu. Sebelum saya balik ke Malaysia selepas sahaja habis belajar,  murabbi saya ada berpesan, “ Sesibuk macam manapun dengan urusan Houseman anta, cubalah jangan meninggalkan usrah, kerana itulah ikatan terakhir kita dengan dakwah.”
Akhirnya, tips terakhir yang saya nak kongsikan di sini ialah, “Cubalah konsisten untuk menghadiri usrah mingguan  anda.”
Semoga bermanfaat untuk umat
Dr Mohd Khairol bin Jambli
Pengerusi I-Medik Sarawak
YDP Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)  Cawangan Kuching

Leave a Reply