MENU

Comments (0) Kolumnis

Tular: Bentuk Baru Buli Siber

Sememangnya sifat semulajadi manusia menggemari sesuatu yang mengujakan, melucukan ataupun menyentuh emosi. Sifat ini biasanya disusuli dengan tolakan yang kuat untuk menyebarkan dan menghebahkannya akibat keterujaan untuk berkongsi perasaan yang sama. Mungkin di sinilah bermulanya kebanyakkan video, gambar dan cerita yang  tular dalam masyarakat harini. Kewujudan alam tanpa sempadan atas nama internet, media sosial dan seangkatan dengannya pula menjadi katalis bagi fenomena ini.

Minggu-minggu awal persekolahan ini media sosial dihujani dengan video-video lucu gelagat anak murid di sekolah. Kebanyakkannya datang dengan tema yang kononnya lucu dan menghiburkan ditambah perisa dengan coretan-coretan jenaka. Termasuklah video kanak-kanak yang gagal membaca dengan betul, menangis di kelas, dan mengungkap kata-kata yang melucukan bagi sesetengah dewasa. Tidak kira yang siapa yang merakam atau menyebarkannya, apa yang kita tahu ialah ianya telah tular ke segenap kumpulan-kumpulan media sosial dan laman-laman web seperti Facebook, twitter dan sebagainya. Ianya disambut dengan senyuman, tawa dan akhirnya kembali tular.

Namun sisi lain fenomena ini yang sering kita terlepas pandang ialah akibat dan kesannya kepada mangsa yang dirakam. Dalam kes ini, kanak-kanak itu sendiri. Perbuatan merakam dan menyebar tanpa izin itu sendiri bukan sahaja menyalahi sempadan privasi individu malah lebih teruk mengesani mereka secara langsung. Dimalukan, menjadi bahan tawa dan diejekan merupakan komplikasi yang lumrah hasil tangan manusia itu sendiri. Apa yang lebih malang, semua ini akan kekal dalam simpanan alam siber sehingga kanak-kanak ini dewasa.

Inilah bentuk baru buli siber yang jelas, sebagaimana yang digariskan dalam definisi buli siber itu sendiri. Raskauskas dan Stolz (2007) mendefinisikan buli dalam kategori ini sebagai sebarang serangan bukan fizikal yang termasuk menghina, mengejek, menipu, mempersenda, menyebar berita palsu atau mengancam seseorang menggunakan medium siber. Nyata dalam kes ini, pembulian berlaku tanpa segan silu dalam bentuk memalukan mangsa, tidak kira apa jua niat pembuli tersebut. Sekalipun tidak ada sebarang kecederaan fizikal yang ditinggalkan dalam kes ini, apa yang nyata adalah kajian secara konsisten menunjukkan buli siber boleh memberi kesan yang lebih serius berbanding fizikal. Ini termasuk menggangu perkembangan emosi kanak-kanak, menyebabkan rasa rendah diri dan termasuklah risiko mengalami masalah mental yang serius seperti kemurungan dan keinginan untuk membunuh diri.

Peningkatan kes-kes masalah mental dan bunuh diri oleh mangsa buli siber di luar negara juga dikhuatiri akan merebak ke Malaysia akibat fenomena yang sama. Ini tidak menghairankan memandangkan laporan Kajian Kebangsaan Mengenai Keselamatan Siber Sekolah di Malaysia sendiri menunjukkan lebih daripada 70 peratus pelajar sekolah, berusia antara 13 hingga 15 tahun, terlibat dalam buli siber. Kajian oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat pada tahun 2017 pula menunjukkan hampir 40 peratus belia berusi 19 hingga 30 tahun mengaku pernah menjadi mangsa buli siber.

Teknologi seharusnya menjadi alat pemacu pembangunan manusia dan bukannya pemusnah kepada nilai kemanusian. Garis panduan dan etika manusia jelas menggariskan kepentingan menjauhi sifat merendah-rendahkan orang lain. Seperti dalam surah Al-Hujurat, ayat 11:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.” (QS. Al-Hujurat: 11)

Kes buli siber dalam bentuk penyeberan keaiban kanak-kanak dan pelajar sekolah seharusnya mendapat perhatian serius pihak berkuasa bagi mengelakkan ianya berulang. Sekolah bukan sekadar medan perkembangan kognitif dan akademik kanak-kanak. Ia juga merupakan tempat berlakunya proses perkembangan sosial, emosi dan psikologi kanak-kanak. Sekolah juga harus menjadi tempat yang meraikan kepelbagaian perkembangan kanak-kanak yang unik temasuk anak-anak yang mengalami masalah gangguan perkembangan neuro seperti autisme dan ADHD. Apabila mereka terdedah kepada kecelaruan akibat kealpaan sebahagian kecil dewasa yang tidak bertanggungjawab, maka kita perlu mengambil tindakan memperbaiki keadaan ini. Semua pihak perlu mengambil inisitif menghentikan budaya penyebaran perkara yang tidak positif seperti ini di dalam media sosial.

 

Dr Rozanizam Zakaria,
Pensyarah dan Pakar Psikiatri,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
I-Medik Pahang

 

Rujukan:

Balakrishnan, V. (2015). Cyberbullying among young adults in Malaysia: The roles of gender, age and Internet frequency. Computers in Human Behavior, 46, 149-157.

Lai, C. S., Mohamad, M. M., Lee, M. F., Salleh, K. M., Sulaiman, N. L., Rosli, D. I., & Chang, W. V. (2017). Prevalence of Cyberbullying among Students in Malaysian Higher Learning Institutions. Advanced Science Letters, 23(2), 781-784.

Kowalski, R. M., & Limber, S. P. (2013). Psychological, physical, and academic correlates of cyberbullying and traditional bullying. Journal of Adolescent Health, 53(1), S13-S20.

http://www.utusan.com.my/berita/nasional/skmm-terima-38-kes-aduan-kes-buli-siber-dalam-tempoh-11-bulan-tahun-ini-1.548823#ixzz55XS0iwxB

Leave a Reply