Penyerahan Laporan UPR Sempena Psikofiqh 2018 Bukti Pencapaian I-Medik Di Peringkat Antarabangsa

Kuantan, 28 April 2018 – Konvensyen Kesihatan Mental dan Psikologi (Psikofiqh) 2018 anjuran Ikatan Pengamal Perubatan dan Sains Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)  telah melakar sejarah tersendiri apabila turut menyaksikan acara penyerahan dokumen laporan ‘Universal Periodic Review’ (UPR) yang telah disampaikan oleh Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Naib Presiden I-Medik kepada Presiden I-Medik, Profesor Dr Azmi Md Nor. I-Medik adalah badan gabungan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA).

I-Medik diwakili oleh Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Dr Norzila Baharin telah terlibat dalam sesi latihan UPR yang dikendalikan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva.  Sekembali ke Malaysia, mereka telah menyediakan laporan sekitar isu hak-hak asasi dalam menangani permasalahan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgander (LGBT) di Malaysia. Penglibatan I-Medik adalah untuk mengimbangkan laporan yang tidak tepat yang disediakan oleh pihak-pihak lain yang sering memperjuangkan isu LGBT dari aspek hak asasi individu semata-mata tanpa melihat kepentingan memelihara kesejahteraan dan kesihatan masyarakat secara menyeluruh.

Keprihatinan I-Medik dalam menangani isu LGBT disokong oleh Dr Rohaya A Rahman, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang berkata “Peratus kejayaan pemulihan masalah ketagihan dadah adalah lebih tinggi berbanding pemulihan ketagihan seks, terutama yang melibatkan seks songsang di kalangan LGBT. Gejala di luar fitrah ini bukan sekadar jelas bertetangan dengan hokum Islam, malah menyebabkan kesan negatif kepada kesihatan dengan peningkatan ketara kes HIV di kalangan LGBT”.  Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Psikofiqh 2018.

Kejayaan menyediakan dokumen laporan UPR yang akan diserahkan kepada PBB pada sesi semakan berkala ketiga November akan datang ini merupakan satu pencapaian I-Medik di peringkat antarabangsa dalam usaha I-Medik meletakkan isu LGBT pada sudut pandang yang lebih seimbang dan selari dengan syariat Islam dan juga kepentingan kesihatan individu dan masyarakat.

Konvensyen Psikofiqh ini dihadiri lebih 300 orang peserta dan telah diadakan di Auditorium Utama, Kuliyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan telah membincangkan isu ketagihan dari perpspektif perubatan, psikologi dan Islam. I-Medik berharap untuk terus komited dalam usaha  mendidik masyarakat agar lebih peka dan memainkan peranan pada setiap peringkat dan pendekatan yang lebih menyeluruh untuk membendung gejala ketagihan.

Leave a Comment