MENU

Comments (0) Info Sihat, Mesej

Vaksin Dicemari Unsur Logam?  

Vaksin Dicemari Unsur Logam?

 

Demam, menggigil, sakit tekak

 

Dan kemudiannya

 

Plak tebal terbentuk di tekak

Bengkak kelenjar leher

Sukar menelan

Sesak nafas

 

Boleh membawa kepada kematian

 

 

Itulah antara simptom-simptom perit yang dihadapi oleh bayi, kanak-kanak dan orang dewasa yang dijangkiti penyakit Difteria. Difteria merupakan penyakit berjangkit serius yang disebabkan oleh jangkitan Corynebacterium diphtheria bacteria pada tekak dan saluran pernafasan. 5-10% pesakit yang dijangkiti difteria membawa maut, dan statistik ini meningkat ke 20% untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun dan dewasa melebihi 40 tahun [1]. Difteria sangat mudah tersebar samada melalui titisan respiratori semasa bercakap, batuk, dan bersin atau merebak melalui sentuhan.

 

Pada 21 Februari 2019, kita dikejutkan dengan satu kes kematian akibat difteria di Johor yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki 2 tahun. 5 lagi kanak-kanak masih ditahan di wad Hospital Sultanah Aminah untuk memantau simptom Difteria. Pesakit yang meninggal dan kakaknya yang berusia 4 tahun dalam kes ini tidak menerima suntikan vaksin bagi menghalang jangkitan Difteria. Sebanyak 18 kes di Malaysia dengan 5 kematian akibat difteria dicatat pada 2018, di mana 4 daripada 5 kes ini tidak menerima imunisasi mencukupi. Terdahulu, pada 2017 terdapat 32 kes dengan 7 kematian [2,3].

 

 

Vaksin untuk Difteria, Tetanus dan Pertussis  (DTaP)  terdapat di dalam jadual imunisasi negara untuk dicucuk pada bayi berumur 2,3,5 dan 18 bulan bersekali dengan vaksin Haemophillus Influenza B (Hib) dan Polio.

 

Terdapat salah faham yang menyebabkan keengganan sebahagian ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka diberi suntikan vaksin lengkap seperti yang tercatat dalam jadual imunisasi kebangsaan. Antara yang dihebahkan adalah vaksin tercemar dengan unsur logam.

 

VAKSIN DICEMARI UNSUR MERKURI

 

Antara unsur logam yang disering dikaitkan dengan vaksin adalah merkuri.

 

Unsur merkuri yang disebut-sebut itu terkandung dalam sebatian organik Thimerosal, iaitu bahan pengawet dalam vaksin tertentu. Thimerosal bertindak menghalang pertumbuhan kulat dan bakteria pencemar dalam larutan vaksin. Thimerosal ini diurai dalam badan kepada ethylmerkuri yang mudah dikumuhkan dan dikeluarkan dari badan.

 

Ethylmerkuri dari Thimerosal berbeza dengan methylmerkuri yang terdapat dalam sesetengah ikan laut dalam, seperti king mackarel, dan ikan jerung. Methylmerkuri mudah terkumpul dalam badan apabila kita memakan ikan tersebut. Ini antara sebab ibu-ibu mengandung digalakkan untuk mengelakkan pengambilan ikan-ikan ini semasa mengandung.

 

Ethylmerkuri ini juga berbeza dengan merkuri  elemental , iaitu cecair merkuri yang berwarna keperakan di dalam termometer [5,6].

 

Untuk makluman semua ibu bapa, vaksin untuk mencegah DTaP, Polio, Hib,Hepatitis B, BCG dan MMR (measles, mumps dan rubella) TIDAK MENGANDUNGI unsur Thimerosal ini [7].

 

 

ALUMINIUM DAN VAKSIN

 

Aluminium dalam vaksin bertindak sebagai adjuvant. Adjuvant meningkatkan kesan imun badan terhadap vaksin. Unsur aluminium dalam vaksin wujud sebagai aluminum hydroxide, dan aluminum sulfate (Alum). Selain dalam vaksin, aluminium hydroxide ini juga wujud dalam ubat antacid untuk merawat sakit gastrik. Manakala, aluminium sulfate ini juga terkandung dalam air minuman terawat.

 

Aluminium dalam vaksin ini berbeza dengan aluminium oxide yang digunakan dalam penghasilan keluli.

 

Kuantiti aluminium dalam vaksin juga adalah rendah dan kurang risiko kepada kesihatan bayi yang diberikan suntikan vaksin.

 

 

 

 

 

Vaksin mencegah penyakit berbahaya

 

Vaksin merupakan satu usaha dalam membendung penyebaran penyakit berbahaya yang membawa maut seperti difteria. Vaksin bertindak merangsang sistem imun badan untuk membina antibodi memori B bagi melawan jangkitan akan datang atau mengurangkan keterukan simptom yang dihadapi.

 

الوِقَايَةُ خَيْرٌ مِنَ العِلَاجِ

Maksudnya: Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

 

Peratusan penerimaan vaksin yang tinggi membantu untuk membina imuniti kelompok (herd immunity). Ini menyukarkan penyakit berjangkit merebak kerana tidak ramai boleh dijangkiti. Imuniti kelompok ini penting bagi melindungi bayi yang terlalu muda untuk diberi sesuatu vaksin dari dijangkiti kuman. Imuniti kelompok juga melindungi golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah seperti kanak-kanak atau orang dewasa yang menerima rawatan steroid dan kemoterapi berpanjangan.

 

Pejabat Mufti Wilayah Perseketujuan Kuala Lumpur turut mengeluarkan kenyataan dalam Bayan Linnas Siri Ke-167: Kewajipan Mengambil Vaksin Mengiku Jadual Imunisasi Kebangsaan Daripada Perspektif Islam [10]. Dalam artikel ini, dinyatakan bahawa pemberian vaksin adalah memenuhi maqasid syari’ah kerana ‘hifz-al nafs’ , iaitu penjagaan nyawa adalah antara perkara yang dituntut.

 

Sebarang usaha untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap vaksin adalah perlu disokong, samada melalui agensi kerajaan atau NGO. Disarankan juga untuk kelas-kelas antenatal yang dijalankan oleh mana-mana pihak untuk memberi penekanan kepada bakal-bakal ibu dan bapa akan kepentingan vaksin untuk bayi yang akan lahir nanti.

 

Usaha ke arah mewajibkan vaksinasi terhadap kanak-kanak di peringkat Persekutuan oleh Kementerian Kesihatan juga haruslah disokong kuat bagi mengurangkan jumlah ahli masyarakat yang tidak divaksinasi serta mengelakkan penularan penyakit berbahaya yang membawa kecacatan atau maut.

‘Aisya Nabilah binti Abd Rahman

Pegawai Farmasi HCTM, PPUKM

Ahli Farmasi I-Medik

 

 

 

 

 

Sumber

Leave a Reply