5 Kategori Pelajar Jururawat di Mata Pengajar Jururawat

Sebagai salah seorang pengajar klinikal, kemenjadian seorang jururawat yang berkemahiran adalah ‘perniagaan’ utama kami. Individu yang menjalani latihan kejururawatan harus ditempa dengan acuan yang betul, baik secara teori ataupun amali. Baik secara intelek mahupun kemahiran insaniah. Hal ini disebabkan kerjaya kejururawatan adalah sebuah sinergi antara kemahiran berfikir secara saintifik dan diterjemahkan dalam motor kemahiran bersulamkan kemahiran interpersonal yang tinggi.

Bukan mudah melahirkan seorang jururawat!

Secara umumnya, saya boleh mengelaskan pelajar kepada beberapa kategori berikut.

TIDAK SENSITIF
Ada segelintir pelajar yang tidak bergerak apabila diberikan tugasan. Contoh, dari pagi pengajar klinikal menyuruh mandikan pesakit di katil, sampai habis syif belum lagi mandi pesakit tersebut. Ini kategori pelajar yang tidak sensitif. Keadaan sekeliling tidak memberikan kesan yang jelas pada dirinya.

PASIF
Ada sekumpulan pelajar jururawat yang hanya bekerja apabila diberikan arahan atau tugasan. Selebihnya mereka menjawab,

“Dah selesai semua kerja Puan, tiada apa-apa lagi yang boleh kami buat dan belajar.”

Sedangkan DDA belum lagi diaudit, beg urin masih gemuk-gemuk belaka dan carta I/O pun belum dikemaskini. Sekiranya ditunjuk, barulah mereka berbunyi “Ohh…”, “Iya, betul jugak.” Ini kategori pelajar pasif.

RESPONSIF
Ada sesetengah pelajar bertindak balas kepada keperluan pesakit-pesakit. Sekiranya mereka melihat drip terhenti, mereka akan memeriksa apa yang berlaku kepada branula. Adakah terdapat sumbatan atau pergerakan pesakit yang menyebabkan ianya tidak berjalan. Mereka akan berfikir dan menyelesaikan permasalahan tersebut. Setelah ianya selesai mereka akan bertindak balas dengan rangsangan-rangsangan peristiwa yang lain. Ini kategori pelajar yang responsif. Namun belum cukup bagus.

REAKTIF
Ada sebahagian pelajar yang boleh berfikir dan mengenalpasti keperluan pesakit. Kumpulan pelajar ini wujud namun dalam bilangan yang sedikit. Saya ambil contoh, sekiranya pesakit mempunyai balutan luka di bahagian kaki yang sakit, pelajar kategori ini akan mengenal pasti keperluan dan menyediakan kerusi roda untuk bergerak atau pun menasihati penjaga agar membantu pergerakan pesakit. Mereka berjaya mengenalpasti keperluan dan bertindak mengikut situasi. Ini kategori pelajar yang reaktif.

PROAKTIF
Dan ada segelintir pelajar yang boleh menjangka lebih awal keperluan perawatan pesakit. Saya ambil contoh yang sama dalam situasi pesakit mempunyai balutan luka di bahagian kaki yang sakit, pelajar kategori ini akan mengenal pasti masalah dan menasihati pesakit agar kurangkan berjalan. Bukan itu sahaja, mereka boleh berfikir pelan tindakan mengurus risiko seperti memantau kebarangkalian jatuh dengan meletakkan borang penilaian kebarangkalian jatuh dan memantau dari masa ke masa. Ini kategori pelajar yang proaktif.

Setiap kemahiran ada aras-arasnya. Anda di aras yang mana?

 

Mohammed Rasheedan Ellin
Pengajar Klinikal
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Penulis buku “Lelaki Jururawat”

 

Leave a Comment