5 TIPS DI ALAM HOUSEMANSHIP (Bahagian 2)

Tips Kedua : Menambah Dan Perkemas Ilmu
Semestinya kehidupan sebagai seorang doktor tidak lari daripada proses pembelajaran yang berterusan. Namun, hakikatnya ramai para doktor pelatih sudah keletihan setelah pulang daripada tugasan. Manakan tidak, keluar kerja di awal pagi, pulang ke rumah pula sudah lewat petang, dan rutin ini berulang hampir setiap hari. Namun, janganlah jadikan perkara tersebut sebagai alasan untuk kita tidak belajar.

Cubalah cari masa untuk memantapkan beberapa kemahiran asas. Sebagai contoh, kemahiran intepretasi ECG, ABG, chest xray dan mengetahui julat-julat normal sesuatu ujian makmal, sudah tentu ini akan membantu kita untuk manage pesakit. Inginkan bonus? Sudah tentu jika anda dapat memantapkan ilmu berkaitan posting yang anda sedang jalani. Janganlah apabila kadar hemoglobin pesakit 6 mg/dL anda masih tiada wake up call, hanya kerana anda tidak mengetahui julat normal hemoglobin. Bahaya bukan?

knowledge

Tips Ketiga : Bekerjasama Dan Toleransi
Kehidupan sebagai seorang doktor pelatih sememangnya memenatkan, tetapi ia akan menjadi lebih manis sekiranya kita dapat menghidupkan budaya kerjasama dan toleransi sesama doktor pelatih di setiap jabatan. Janganlah menjadi enau dalam belukar, hanya menyelesaikan kerja masing-masing. Hulurkanlah bantuan kepada kawan-kawan yang memerlukan apabila tugasan kita sudah selesai. Ringankanlah mulut untuk bertanya jika ada apa-apa yang boleh dibantu.

Pernah suatu hari, saya dan kawan, bekerja shift pagi pada hari tersebut (shift pagi bermakna boleh pulang pada pukul 5 petang). Hendak dijadikan cerita, hari tersebut sangat sibuk dan saya mempunyai 5 kes baru untuk di clerk manakala kawan saya sudah tiada kerja. Apa yang menyedihkan adalah, kawan saya pulang tepat pukul 5 petang tanpa bertanyakan khabar dan saya terpaksa pulang pukul 8 malam, mujur kawan saya di shift petang datang membantu meringankan beban dengan membantu ambil darah. Apalah salahnya sekiranya sama-sama kita membina suasana yang sihat dalam bekerja. Mungkin hari ini kita senang, bagaimana suatu hari nanti jika kita dalam kesempitan, adakah kawan-kawan kita yang lain sudi membantu?

tolong-menolong-2

 

Dr. Muhammad Hashemi Dahalan B Md Razip
HO, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar,
Pengerusi I-Medik Kedah.

Leave a Comment