9 Daripada 10 Dewasa di Malaysia Mempunyai Gusi Bermasalah

Seringkali kita mendengar aduan berkenaan gusi berdarah yang terjadi kebiasaannya ketika memberus gigi. Ada juga yang mengadu ia berlaku secara tiba-tiba ataupun darah dilihat pada bantal setelah bangun dari tidur. Adakah gusi berdarah memberi apa-apa petanda berkenaan kondisi gusi dan gigi? Adakah ia berbahaya?

Cuba bayangkan kulit kepala yang berdarah ketika sedang menyisir rambut, adakah ini sesuatu yang normal? Tidakkah ini memberi satu petanda atau petunjuk bahawa ada sesuatu yang patut dilakukan kerana keadaan ini tidak normal. Begitu juga dengan gusi yang berdarah, ia adalah gejala atau simptom kepada masalah gusi, ia adalah tidak normal.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Malaysia pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 94% daripada golongan dewasa mempunyai penyakit gusi, samada pada peringkat awal (gingivitis) atau lanjut (periodontitis). Data yang dilaporkan dalam National Oral Health Survey of Adults (NOHSA) itu tidak wajar dipandang enteng, 9 daripada 10 orang dewasa di Malaysia mempunyai masalah gusi.

Selain daripada gusi yang berdarah, terdapat juga gejala lain yang memberi petunjuk yang seseorang sedang mengalami penyakit gusi seperti mulut yang berbau, gusi bengkak dan sakit, gusi yang menurun sehingga gigi nampak panjang, gigi sensitif, gigi yang berubah pergerakan dan gigi yang menjadi semakin longgar. Gejala-gejala ini sepatutnya memberi kesedaran kepada kita bahawa penyakit gusi bukan sesuatu yang normal, malah ia boleh menjejaskan kualiti hidup kita.

Bukan sahaja ia menganggu proses komunikasi, ia juga boleh menjadikan kita kurang berkeyakinan akibat keadaan gigi yang semakin buruk selain daripada kesukaran untuk mengunyah dan menikmati makanan. Kesan penyakit gusi adalah secara langsung kepada gigi. Selain itu, gigi yang terpaksa dicabut satu demi satu memungkinkan lebih banyak kos yang terpaksa ditanggung untuk rawatan pergigian yang lebih kompleks.

Oleh sebab itu kebiasaannya disampaikan oleh doktor pergigian bahawa gigi yang kuat disokong oleh gusi yang sihat. Jika gusi berpenyakit, gigi tidak dapat bertahan lama di dalam mulut. Penyakit gusi adalah berperingkat, dan mungkin ramai tidak sedar bahawa ia dapat dicegah dan dirawat. Bertepatan dengan sambutan ‘Gum Health Day’ yang diadakan pada setiap 12 Mei, tema pada tahun ini adalah ‘Gum diseases are peventable’ atau penyakit gusi dapat dicegah.

Sambutan tersebut bertujuan untuk meningkat kesedaran masyarakat tentang gejala atau simptom penyakit gusi. Jika tanda-tanda ini dapat dikesan lebih awal, maka tentulah peringkat penyakit gusi yang lanjut sehingga menyebabkan gigi menjadi longgar dapat dicegah. Penyakit gusi memang dapat dicegah, justeru diharapkan setiap lapisan masyarakat untuk cakna tentang gejala-gejala awal penyakit gusi seperti pendarahan gusi agar usaha untuk mendapatkan rawatan pergigian dapat dilakukan segera.

Pada peringkat awal, penyakit ini dikenali sebagai gingivitis. Gingivitis adalah satu keadaan keradangan yang berlaku hanya pada gusi, selalunya dikenalpasti melalui keadaan gusi yang mudah berdarah, gusi yang merah dan kebengkakan. Manakala, periodontitis iaitu peringkat lanjut penyakit gusi adalah keadaan keradangan yang berlaku bukan hanya pada gusi, tetapi juga kepada tisu-tisu yang menyokong gigi dikenali sebagai cementum, ligamen periodontal dan tulang alveolar.

Tisu-tisu ini boleh musnah dengan banyak menyebabkan gigi kehilangan tisu-tisu yang menyokongnya. Keadaan ini dapat dikenalpasti melalui gejala seperti yang dilihat ketika mengalami gingivitis, namun ia lebih serius kerana gigi sudah semakin longgar, berubah pergerakan dan tidak dapat lagi berfungsi secara normal. Tanda atau gejala periodontitis kebiasaannya bersifat kekal dan tidak dapat kembali normal sedangkan gejala gingivitis adalah sementara dan boleh dirawat.

Tidak semua orang menghidap penyakit gusi ini, tetapi ramai yang mungkin berpotensi tinggi terutamanya perokok, pesakit kencing manis, darah tinggi, ibu mengandung, mereka yang mengalami tekanan perasaan atau yang mempunyai sistem pertahanan imuniti yang rendah. Namun begitu, golongan yang sihat dan muda juga berpotensi untuk menghidap penyakit gusi, dalam sesetengah kes.

Keadaan-keadaan yang dinyatakan bukanlah punca kepada penyakit gusi, namun jika seseorang itu merokok dan berpenyakit tertentu boleh menyebabkan penyakit gusi menjadi lebih buruk. Justeru, golongan tersebut perlu mengambil langkah berwaspada lebih awal kerana risiko untuk menghidap penyakit gusi lebih tinggi.

Punca utama penyakit gusi adalah jangkitan bakteria yang terdapat di dalam poket gusi. Bakteria-bakteria yang berkumpul ini dikenali sebagai plak. Plak adalah lapisan lembut dan nipis yang melekat pada permukaan gigi, mempunyai berjuta bakteria. Ia selalunya terbentuk di celah-celah gigi, sepanjang garisan gusi dan di dalam poket gusi.

Jika gigi tidak diberus dengan efektif atau pemeriksaan dan rawatan pergigian berkala diabaikan, bakteria ini menghasilkan toksin yang boleh merosakkan tisu-tisu gusi. Akhirnya, penyakit gusi seperti gingivitis boleh berlaku diikuti dengan periodontitis.

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mewujudkan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang pentingnya menjaga kesihatan gusi agar penyakit gusi dapat dicegah. Bahagian kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia dan badan bukan kerajaan seperti Sektor Pergigian Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) terus berusaha menyampaikan mesej ini kepada masyarakat melalui pelbagai medium.

Anggapan sesetengah masyarakat bahawa gigi mesti menjadi longgar pada usia 60 dan 70 tahun adalah salah, sedangkan melalui rawatan pergigian yang berkesan, gigi dapat terus kekal berfungsi dengan baik walaupun pada usia lanjut.

Sebagai permulaan, langkah awal untuk mencegah penyakit gusi adalah dengan memberus gigi secara efektif, dua kali sehari. Seterusnya, setiap individu diharapkan untuk mendapatkan pemeriksaan gigi secara berkala dan rawatan seperti penskaleran gigi di klinik-klinik pergigian.

Dr. Yuliana Ayob adalah Ketua Sektor Pergigian I-Medik, calon kedoktoran dalam pakar pergigian periodontik, UiTM dan juga merupakan penulis di Berita Harian. Beliau juga menghasilkan beberapa buah buku antaranya Karies (2020) dan Dental Management for People with Disability (2020).

Leave a Comment