Agensi kerajaan wajar tambah-baik kemudahan anak istimewa

KUALA LUMPUR: Pakar psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencadangkan penambahbaikan perkhidmatan untuk anak-anak istimewa.

Dr Rozanizam Zakaria mencadangkan kerajaan untuk menukar istilah kad orang kurang upaya (OKU) kepada kad pengesahan Murid Berkerpeluan Khas (MBK).

Katanya, penukaran istilah pada kad itu dapat mengurangkan stigma dan meningkatkan kadar pendaftaran oleh ibu bapa.

“Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah terapi yang sedia ada seperti rawatan terapi pekerjaan, terapi pertuturan dan juga menambah ahli psikologi klinikal di fasiliti kerajaan.

“Bagi memulakan usaha ini, insentif pensyarah pakar bidang perlu ditingkatkan. Berikan mahasiswa biasiswa penuh, tingkatkan pengambilan dan membenarkan konsep kerja separa kerajaan-separa swasta untuk juruterapi bagi mengatasi isu gaji kompetitif,” katanya.

Beliau turut mencadangkan skim penilaian saluran pantas diadakan untuk anak lewat perkembangan dengan mewujudkan pusat sehenti yang terdiri daripada ahli profesional dalam bidang perkembangan kanak-kanak.

Katanya, kemahiran guru prasekolah juga perlu ditingkatkan supaya dapat membantu mengesan dan membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.

“Selain itu, elaun khas guru Program Pendidikan Khas perlu diwujudkan berdasarkan per kapita murid berkeperluan khas.

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta untuk memperbaiki fasiliti murid berkeperluan khas, termasuk menyediakan tajaan untuk penilaian di tapak di sekolah oleh ahli terapi.

“Kerajaan juga boleh menyediakan baucar terapi untuk golongan B40 dan M40 seperti memberikan beberapa sesi terapi di fasiliti swasta dan memperbanyak pusat transit bersubsidi untuk murid berkeperluan khas, selepas sekolah bagi membantu ibu bapa,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan wajar memperbaiki konsep pendidikan inklusif bermula daripada prasekolah sehingga sekolah menengah dengan memberikan peluang anak istimewa untuk belajar bersama pelajar biasa.

Rozanizam turut mencadangkan kerajaan supaya meningkatkan pengecualian cukai sedia ada kepada RM10,000 setahun.

“Lebih baik cukai pendapatan untuk ibu bapa yang mempunyai anak istimewa dilupuskan kerana mereka sudah banyak berkorban,” katanya.

Sumber daripada Beria Harian Online

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1038250/agensi-kerajaan-wajar-tambah-baik-kemudahan-anak-istimewa

Leave a Comment