Anak Sawan, Jangan Panik! Buat 5 Perkara Ini

Apakah itu sawan? Apakah jenis-jenisnya yang utama?

Sawan yang juga dikenali sebagai “tarik” ini merupakan peristiwa “short circuit” elektrik yang berlaku di dalam otak. Sawan terbahagi kepada dua jenis. Sawan yang mempunyai ransangan (febrile fit) ataupun sawan yang tidak mempunyai rangsangan (afebrile fit).

Apakah penyebab kepada sawan atau epilepsi?

Tidak semestinya semua yang mendapat sawan akan didiagnoskan menghidap epilepsi. Epilepsi juga merupakan serangan yang berlaku dalam otak seseorang. Seseorang akan didiagnoskan sebagai epelipsi sekiranya seringkali mendapat serangan sawan ini walaupun tanpa rangsangan luar.

Adakah ada rawatan untuk sawan atau epilepsi ini?

Bagi pesakit yang menghidap sawan, ada yang akan dibekalkan ubat sawan dan ada yang hanya perlu dipantau. Sebelum pakar neurologi kanak-kanak membuat keputusan perlunya ubat ujian EEG (electroencephalogram) dan imbasan otak melalui MRI (imej resonan magnetik) akan dilakukan. Dos ubat setiap pesakit akan sentiasa dinilai dari masa ke masa bergantung kepada kekerapan berlakunya sawan.

Kebanyakan penghidap epilepsi boleh menjalani kehidupan seharian yang normal. Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh menjejaskan aktiviti harian dan tumbesaran bergantung kepada tahap sawan yang dihadapi.

Apa yang terjadi semasa sawan atau epilepsi?

Pergerakan yang terjadi kepada kanak-kanak yang diserang sawan seperti air liur berbuih, mata melihat kepada satu tempat, tangan dan kaki kejang sehingga kadangkala akan mengakibatkan kanak-kanak terjatuh.

Seringkali bila berlakunya sawan jika tidak mempunyai pengetahuan, kita sering mendengar nasihat bawa kanak-kanak yang sawan ini ke bilik air dan mandikan, masukkan sudu atau kain di mulut supaya mereka tidak menggigit. Ketahuilah semua tindakan ini bahaya buat mereka.

Apakah tindakan yang sebetulnya semasa melihat anak sawan?

Apakah yang perlu kita lakukan sekiranya anak mendapat sawan?

  1. Tidak panik
  2. Catat berapa lama kejadian sawan mengambil masa
  3. Pastikan kanak-kanak di tempatkan di tempat yang selamat seperti atas katil atau atas lantai
  4. Tidak masukkan sebarang alat ke dalam mulut
  5. Tidak memberikan sebarang cecair mahupun ubat melalui mulut

Apabila keadaan anak sudah selamat dan sawan berhenti bawalah mereka ke hospital berdekatan.

Apa nasihat jururawat kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang sawan?

Pesanan saya, jangan panik jika kanak-kanak menunjukkan tanda sawan di hadapan kita. Fikiran yang tenang menjamin keselamatan mereka. Sawan boleh dirawat dan anak-anak anda boleh hidup seperti biasa, seperti kanak-kanak yang lain.

Hidayah Abd Halim
Sektor Jururawat I-Medik

Leave a Comment