APA YANG ANDA PERLU TAHU BERKAITAN PENYAKIT TIBI?

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan menasihati supaya rakyat Malaysia tidak panik berikutan terdapat beberapa kes Tibi dikenalpasti berlaku di Lembah Klang. Menurutnya, kes masih dalam kawalan pihak berkuasa.

Mari kita dapatkan info asas berkaitan penyakit Tibi dan apa yang kita boleh lakukan untuk mencegah penularan penyakit ini.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit Tibi?

Tibi atau batuk kering merupakan sejenis penyakit berjangkit yang boleh dirawat. Ia boleh membawa maut jika tidak diubati. Penyakit ini berpunca dari sejenis kuman Mycbacterium Tuberculosis. Kebanyakan kuman tibi biasanya menyerang paru-paru. Walaubagaiamanapun, melalui peredaran darah, ia dapat merosakkan anggota tubuh badan yang lain seperti otak ,tulang, dan lain-lain.

2. Bagaimana penyakit Tibi disebarkan?

Kuman Tibi boleh merebak melalui udara. Apabila pesakit Tibi batuk, bersin atau bercakap, mereka akan mengeluarkan berjuta-juta kuman Tibi yang bertebaran di udara dalam bentuk titisan halus. Mereka yang berhubung rapat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja lazimnya paling berisiko untuk dijangkiti. Selain itu, golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan adalah warga tua, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan sistem imun badan yang lemah seperti HIV.

3. Apakah simptom yang biasa dialami apabila seseorang dijangkiti Tibi?

Pesakit Tibi biasanya mempunya gejala batuk berpanjangan selama 2 mingu atau lebih, batuk berdarah, demam dan berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan dan susut berat badan.

Penyakit Tibi dapat dikesan dengan membuat pemeriksaan kahak bagi mengesan kuman Tibi. Selain itu, doktor juga menggunakan pemeriksaan xray sebagai saringan penyakit Tibi. Kedua-duanya boleh dilakukan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang berhampiran.

4. Bagaimana Tibi dirawat?

Sekiranya dijangkiti Tibi, anda perlu menjalani rawatan yang mengambil tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan. Pesakit perlu menelan ubat setiap hari tanpa gagal dengan diawasi oleh penyelia DOT (Directly Observed Treatment) yang telah dilatih sepanjang tempoh rawatan. Rawatan adalah percuma bagi warganegara Malaysia.

5. Apakah langkah pencegahan penyakit Tibi?

Bagi mencegah jangkitan Tibi, Malaysia telah mewajibkan suntikan imunisasi BCG kepada setiap kanak-kanak yang baru lahir sejak tahun 1961. Sekiranya anda mempunyai batuk selama 2 minggu atau lebih, segeralah dapatkan nasihat doktor. Sekiranya disahkan mengidap penyakit Tibi, jalani rawatan Tibi sehingga tamat. Ahli keluarga dan kontak rapat anda perlu menjalani pemeriksaan lanjut di klinik berhampiran.

Bagi mengelakkan risiko jangkitan Tibi, pastikan rumah anda sentiasa berada dalam keadaan bersih. Buka tingkap rumah agar udara baru sentiasa mengalir dan cahaya matahari dapat memancar kedalam rumah kerana cahaya matahari dapat membunuh kuman Tibi yang terapung di udara. Sentiasalah mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan makan makanan yang seimbang, banyak bersenam dan rehat yang cukup.

Disediakan oleh ;

Dr Muhammad Afif bin Mhd Bookeri

Pegawai Perubatan Sarjana Kesihatan Awam

Universiti Malaya

Aktivis I-Medik Kuala Lumpur

Leave a Comment