#KitaJagaKita

Apakah Yang Boleh Menyebabkan Seseorang Pesakit Tidak Mendapat Bekalan Ubat di Jabatan Farmasi Hospital

WhatsApp Image 2022-01-13 at 11.00.15 AM

Tular sejak semalam berkenaan aduan pesakit yang tidak mendapat bekalan ubat dari farmasi sebanyak seperti yang tertera pada preskripsi.

Apakah Yang Boleh Menyebabkan Seseorang Pesakit Tidak Mendapat Bekalan Ubat di Jabatan Farmasi Hospital walaupun telah dipreskrib oleh doktor?

Terdapat beberapa faktor yang perlu diketahui umum yang memberi kesan kepada proses pembekalan ubatan kepada pesakit.

1) Terdapat ubat yang menghadapi masalah pengilangan atau pembuatan ubat. Faktor utama adalah disebabkan oleh kekurangan bahan mentah atau pun masalah kerosakan pada kilang pengeluar ubat tersebut. Contoh ubat yang pernah berlaku masalah pembekalan ubat yang berpanjangan adalah conjugated estrogen (ubat gantian hormon wanita) dan tolterodine tablet (rawatan untuk penyakit kerap kencing e.g. incontinence).

2) Pesakit atau waris tidak membawa preksripsi yang sah dan betul untuk farmasi disiplin tersebut. Acap kali petugas farmasi berhadapan dengan pesakit atau waris yang datang dengan preskripsi yang sudah tamat tempoh ataupun pesakit/waris membawa preskripsi dari disiplin lain (seperti kardiologi) ke farmasi disiplin lain (seperti farmasi O&G atau kanak-kanak). Pastikan preskripsi yang dibawa adalah sah dan betul bagi memudahkan proses penyerahan ubat yang dipreskrib kepada pesakit atau waris.

3) Perbezaan polisi antara hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Hospital Pengajar Universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT.). Polisi pembekalan ubat adalah berbeza di antara kedua-dua jenis hospital ini dan selalunya Hospital Pengajar Universiti (HPU) di bawah KPT mempunyai polisi pembekalan ubat yang lebih bersesuaian dengan peruntukan HPU dan penggunaan majoriti ubat oleh pesakit di hospital terbabit. Apa yang ada di HPU mungkin tidak dibekalkan oleh fasiliti KKM dan juga sebaliknya.

Malah, jumlah pembekalan ubat di antara fasiliti juga berbeza. Contohnya terdapat HPU yang membekalkan maksima stok sebanyak 1- 2 bulan setiap kali walaupun preksripsi adalah untuk setahun. Pesakit perlu datang ke hospital setiap 1-2 bulan sekali bagi mendapatkan ubat sepanjang tempoh sah preksripsi tersebut.

4) Bagi Hospital Pengajar Universiti (HPU), terdapat juga polisi yang membezakan pembekalan ubat di antara disiplin bergantung kepada peruntukan hospital. Contohnya terdapat ubat kencing manis generasi baru seperti empagliflozin yang hanya boleh dipreskrib oleh disiplin endokrinologi dan jika dipreskrib oleh doktor dari disiplin Kardiologi atau Nefrologi, pesakit perlu membeli sendiri ubat tersebut, walaupun pesakit berstatus percuma.

5) Terdapat juga ubat yang perlu dibancuh dahulu dan tidak dapat dibekalkan dengan serta merta kepada pesakit. Contoh yang paling mudah adalah suspensi baclofen dan pyrazinamide yang sangat keras dan sukar larut dalam larutan bancuhan. Ini memerlukan masa untuk dibancuh dan tidak dapat dibekalkan serta merta kepada pesakit. Selain itu, ubat titis mata atau injeksi yang perlu disediakan oleh unit sterile juga perlukan masa yang lebih untuk penyediaan dan bergantung kepada waktu operasi unit terbabit.

6) Ubat yang mempunyai tarikh luput pendek juga menyebabkan pesakit tidak dapat dibekalkan ubat sebanyak empoh pembekalan preskripsi. Contoh, terdapat sesetengah ubat bancuhan sirap dan juga ubat titis mata yang hanya mempunyai stabiliti selama 14 hari dan hanya dapat dibekalkan selama 2 minggu maksima setiap kali. Maka, pesakit atau waris perlu datang setiap 2 minggu sekali bagi mendapatkan bekalan ubat.

Terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi proses pembekalan ubat. Justeru itu, perlu ada komunikasi berkesan di antara petugas di Jabatan Farmasi serta pesakit/ waris bagi memastikan proses penyampaian ubat berjalan lancar.

Pesakit atau waris juga diingatkan untuk sentiasa membawa preskripsi yang betul untuk pengambilan ubat ulangan bagi memudahkan proses pembekalan ubat dan mengelakkan kesalahan dispensi.

Sekian.

‘Aisya Nabilah binti Abd Rahman
Pegawai Farmasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp