BENARKAH ADA PENYAKIT EMOSI?

 

Emosi, mood adalah sesuatu yang secara zahirnya adalah di dalam kawalan sedar manusia. Betul kan, kita selalu fikir bahawa kitalah yang mengawal sama ada untuk berasa sedih, gembira, cemas, dalam apa-apa situasi.  Benar, Tuhan menjadikan manusia sebagai makhluk yang bijak dan mampu secara voluntary untuk menentukan perasaan mereka. Fungsi ‘ high brain centre’ membuatkan kita mampu berfikir baik buruk sesuatu perasaan, dan kita dapat mengawal tindak tanduk daripada dipengaruhi oleh emosi kita.

 

Ya, secara zahirnya beginilah yang difahami oleh kebanyakan orang. Emosi adalah untuk diurus oleh manusia. Mereka yang gagal mengurus emosi akan cenderung untuk terbawa-bawa dengan perasaan negatif & memberi implikasi pada kehidupan.

 

Namun tahukah anda bahawa di dalam ilmu perubatan, ada keadaan di mana sistem kawalan emosi seseorang tidak dapat berlaku dengan baik. Mengakibatkan emosi seseorang tidak lagi berada di radar sedar mereka. Saya pasti anda pernah berdepan dengan mereka yang pernah beritahu mereka rasa sedih berpanjangan tanpa ada sebab, rasa cemas yang melampau dan tidak mampu dikawal, ada juga yang terlalu positif, energetik sehingga tidak mampu untuk membuatkan dirinya ‘berehat’, tidak dapat tidur diwaktu malam, tidak dapat mengawal idea-idea yang datang dalam minda mereka.

 

Ya, ia benar- benar wujud. Inilah yang disebut di dalam dunia perubatan sebagai ‘ Mood Disorder’ yang mana emosi, perasaan bukan lagi dibawah kawalan seseorang. Kebiasaannya bagi manusia apabila berhadapan dengan situasi tertentu, tekanan atau stress akan memberi signal kepada badan untuk bersedia dengan keadaan. Perasaan sedih, marah, risau sebenarnya adalah salah satu tanda dimana badan sedang berhadapan dengan keadaan baru. Apa yang berlaku sebenarnya di dalam badan kita adalah sesetengah hormon akan meningkat dan menyediakan diri kita untuk hadapi stress, tetapi semuanya adalah dibawah kawalan ‘ high brain centre’ iaitu bahagian otak yang mampu membezakan baik & buruk. Maknanya, manusia masih dapat mengawal emosi selepas menganalisa baik buruk tindakannya. Maka ada manusia yang meredakan perasaan sedih dengan menangis, atau melepaskan perasaan marah secara positif dan sebagainya.

 

Namun untuk mereka yang diuji dengan penyakit ‘mood disorder’ seperti kemurungan, anxiety, maniac, sistem kawalan ini telah terganggu dan mereka tidak lagi dapat mengawal secara sedar. Gangguan ini menyebabkan badan gagal mengawal paras hormon yang mengawal emosi seseorang. Maka terjadilah kesedihan melampau tanpa ada sebab, rasa gembira melampau, rasa cemas tanpa sebab. Malah pesakit boleh menangis dan berasa sedih tanpa sebab, boleh menjadi agresif dan marah yang melampau.

Mereka bukan buat-buat. Mereka juga bukan gagal untuk menguruskan emosi. Tetapi mereka sebenarnya dalam keadaan penyakit yang dikatakan sebagai ‘mood disorder’. Keadaan begini memerlukan rawatan daripada doktor. Mereka memerlukan ubat & sokongan luar untuk mengawal emosi mereka.

 

Makan ubat untuk kawal emosi?

Ya. Bagi pesakit mood disorder mereka mesti mengambil ubat dan rawatan seperti yang digariskan oleh para doktor. Kesilapan besar para pesakit adalah kerana mereka gagal memahami bahawa penyakit ini bukan sekadar mengawal stress dalam kehidupan. Ketidakseimbangan hormon yang berlaku perlu dirawat, perlu dipastikan berada dalam keadaan normal supaya bahagian otak yang terlibat dapat berfungsi  dengan baik, dan pesakit dapat mengawal emosi dalam keadaan sedar.

 

Patofisiologi ini yang seringkali disalah tafsir oleh masyarakat. Kita merasakan penyakit berkaitan dengan emosi ini 100% adalah dalam kawalan sedar manusia; maksudnya kita boleh urus.

Benar, jika kita sihat kita akan mampu untuk mengurus emosi kita. Otak kita bila didalam keadaan optimum akan mampu untuk berfikir dan atasi tekanan. Namun kita juga harus menerima bahawa bagi seseorang pesakit Mood Disorder, mereka bukan di dalam keadaan optimum untuk mengurus, kerana itu simptom- simptom berlaku. Ibaratnya seperti wayar yang menyambungkan otak dan perasaan terputus, maka perasaan bergerak sendiri tanpa dapat dikawal. Tugas doktor adalah untuk memulihkan kembali litar ini supaya pesakit dapat mengawalnya sendiri semula seperti manusia normal yang lain.

 

Makanya,

Adalah paling utama untuk kita fahami bahawa penyakit emosi bukan dibuat-buat. Ternyata ramai pesakit yang tidak mahu mendapatkan rawatan kerana takut dikatakan gagal mengurus emosi, atau takut dilabel lemah. Stigma ini perlu diubah. Ibarat penyakit fizikal yang lain, tubuh badan kita fizikal & emosi memerlukan hak untuk kita pelihara. Sekiranya perlu mendapatkan rawatan, maka adalah tuntutan bagi kita untuk mendapatkannya. Gagal dirawat akan menyebabkan keadaan yang lebih teruk, seperti juga ibarat diabetes yang tidak dikawal tidak diubati juga akan melarat.

Begitu jugalah dengan penyakit emosi. Adalah amat penting bagi seseorang individu untuk sedar akan simptom-simptom yang tidak normal pada dirinya, dan mengambil langkah mendapatkan rawatan.

 

Marilah kita sama-sama membantu diri dan juga mereka yang disekeliling kita, bawalah berjumpa dengan doktor sekiranya anda mendapati simptom-simptom yang tidak normal berlaku pada mereka. Self Awareness, adalah kunci pertama dalam mendapatkan kesihatan mental yang baik. Mudah-mudahan lebih ramai yang akan tampil mendapatkan rawatan & tidak lagi segan dengan stigma.

 

Dr Nadiah Norudin

(Aktivis I-Medik Shah Alam)

Leave a Comment